Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Antara buku aku yang diharamkan bermula 1 April 2015 lalu adalah sebuah buku drama berjudul 'Karbala'.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri Hasmimah Nik Jaafar dilaporkan berkata buku-buku itu dikenakan Perintah Larangan Penerbitan berkuat kuasa 1 April kerana mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan.

Aku rasa amat payahlah untuk orang buktikan ada “unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan” dalam buku-buku ini.

Sebabnya, ramai yang tidak tahu, drama 'Karbala' tersebut pernah disirikan dalam Dewan Sastera bermula dari Vol. 36, No. 12 (2006). Drama Karbala ini terbit antara bulan Disember 2006 sehingga Julai 2007.

Seingat aku lapan bulan drama itu tersiar, tidak ada rusuhan berlaku. Lapan bulan adalah satu tempoh agak lama. Ada orang berjimak, hamil, kandungannya membesar dan beranak awal ketika usia kandungan itu lapan bulan. Antara Julai 2007 sehingga April 2015 tempohnya adalah sembilan tahun.

Ini bermakna anak yang lahir tahun 2007 itu akan menjadi murid darjah tiga (sekolah rendah). Pun aku tak ingat ada orang merusuh atau bakar tayar di tengah jalan kerana 'Karbala'.

Dewan Sastera dan bahagian majalah Dewan Bahasa dan Pustaka pada waktu puncaknya tatkala itu memang bersikap terbuka dan tidak melatah tanpa sebab dalam hal ini.

Sejarah menunjukkan idea tak boleh dilarang.  Apa yang boleh dilakukan, idea itu perlu diperdebatkan.

Karya bermutu tinggi

Karya aku berjudul Karbala itu memang bermutu tinggi. Aku ingin bersikap angkuh di sini. Biar aku jelaskan kenapa. Ia terbit di Dewan Sastera . Dahulu, Dewan Sastera adalah sebuah majalah yang berprestij.

Bukti karya aku itu bermutu ialah apabila Profesor EP Wieringa telah menulis sebuah esei akademik mengenai drama ini dengan judul ‘A Ta'ziya from 21st-century Malaysia: Faisal Tehrani's Passion Play Karbala’.

Ia dimuatkan dalam buku akademik bertajuk ‘Shi'ism in South East Asia’ suntingan Dr Chiara Formichi. Buku ini adalah terbitan C Hurst & Co Publishers Ltd dan mulai dijual di pasaran terbuka bermula 21 Mei 2015.

Chiara Formichi adalah Profesor Madya bidang Southeast Asian Humanities di Cornell University. Untuk makluman kau, Universiti Cornell berada di kedudukan ke-19 dalam dunia.

Aku tak ingat Universiti Malaya, sebagai contoh, duduk atau terjelepok di tangga ke berapa.

Profesor EP Wieringa yang mengkaji drama Karbala aku itu adalah seorang profesor dalam bidang Indonesian Philology and Islamic Studies, yang juga Director of the Institute of Oriental Studies, University of Cologne di Jerman.

Di dalam buku drama berjudul Karbala tersebut juga ada dimuatkan satu makalah akademik tulisanku yang berjudul ‘Sejarah Alternatif Dalam Ta’ziyeh (Iran) dan Boria (Pulau Pinang): Upaya Pemugaran Sejarah Yang Dinafi Penguasa’.

Makalah ini adalah asalnya pembentangan kertas kerjaku di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (Sakat) V antara 27-28 November 2007. Seminar tersebut adalah anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara, dan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dibeli Perpustakaan Negara Malaysia

Aku masih ingat ramainya hadirin di majlis ilmu tersebut. Yang duduk di hadapan sekali waktu itu adalah Profesor Solehah Ishak yang bidang kepakarannya adalah drama dunia. Tidak pula aku lihat dia meroyan tatkala itu.  

Tak ada peserta wanita terpekik terlolong membuka baju. Tak ada gaduh sedikit pun.

Seterusnya, untuk membuktikan buku 'Karbala' itu tidak sama sekali membahayakan dan merisikokan, Perpustakaan Negara Malaysia menerusi ‘Dana Pembelian Terus Buku-buku Karya Tempatan’ pernah membeli Karbala dengan jumlah yang besar pada tahun 2009.

Menurut laman Perpustakaan Negara Malaysia, ‘Dana Pembelian Terus Buku-buku Karya Tempatan’ ini diwujudkan untuk “menjana idea dan pandangan dalam memajukan dan mempelbagaikan karya terbitan di dalam industri perbukuan negara”.

Selain itu, ia juga bagi menunjukkan komitmen Perpustakaan Negara Malaysia dan penglibatan jabatan dalam membantu perkembangan industri perbukuan negara khususnya kepada golongan penulis tempatan.

Aku masih ingat, wang hasil jualan 'Karbala' itulah yang menjadi duit poketku untuk menunaikan haji pada tahun tersebut juga. Kira-kiranya, Karbala memberikan durian runtuh kepadaku.

Aku masih menyimpan surat menyurat rasmi pembelian buku 'Karbala' tersebut.

Justeru memanglah aneh apabila pada tahun 2015, tiba-tiba, dengan tidak semena-mena buku itu diisytiharkan haram setelah sembilan tahun.

Pengharaman demi pembodohan

Pengharaman buku tersebut bersama buku-buku lain eloklah digelakkan secara liar dan angkuh.

Alasan-alasan yang dibuat seperti contohnya aku menerapkan unsur-unsur Syiah, termasuk dalam drama 'Karbala' ini adalah satu lagi usaha mentololkan khalayak.

Benarlah kata Saidina Ali dalam Nahjul Balaghah, bahawa ‘An-Nas a'da'u ma Jahilu’; ‘Manusia selalu memusuhi apa yang dia tidak benar tahu.’

Mengapakah aku menulis drama 'Karbala'? Ada sebabnya. Aku pernah mendengar dakwaan segelintir sarjana kita yang dalam agama Islam tidak ada sebarang bentuk seni persembahan teater.

Hasil kajianku bagaimanapun menunjukkan ini tidak benar. Umat Islam Syiah mempunyai satu bentuk persembahan seni pentas yang dinamakan ta’ziyah. Aku ingin memperkenalkan ini kepada sarjana drama kita. Aku mahu berkongsi pengetahuan tersebut dengan orang lain.

Selama ini sarjana drama kita mengkaji drama liturgi, dan Corpus Christi (ini adalah bentuk drama agama Kristian). Pengkaji drama kita juga mengkaji format drama tragedi dan satyr sedangkan konsep drama Greek ini tidak cocok sama sekali dengan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Drama realisme juga tidak sejajar dengan ajaran Islam sunni, tetapi tidak siapa peduli. Kita juga merelakan seniman tertentu menarikan episod dari Rigveda (kitab Hindu), kalian tentu tahu siapa.

Kemudian ada sarjana kita mengkaji drama Noh iaitu drama Jepun yang ritual Buddha-Shintonya sangat kuat. Lebih kritikal sarjana kita boleh menerima drama aliran absurd dan eksistensialisme yang terang-terang menolak tuhan dalam tahun 70-an.

Datuk Johan Jaafar misalnya adalah antara mereka yang muncul ketika era ini. Dalam tahun 90-an pula ramai aktivis teater tergiur dengan bentuk pascamodernisme. Sedangkan, unsur asas dalam aliran tersebut ialah menolak kuasa mutlak.

Orang Islam yang berakidah tidak boleh menolak kuasa mutlak kerana yang menentukan hidup mati kita ialah Allah.

Jika sarjana kita yang beragama Islam boleh menerima semua bentuk drama di atas, yang tolak Tuhan, yang Buddha, yang Hindu, yang Kristian nah sekarang tunjukkan aku di mana salahnya drama ta’ziyah Karbala ini?

Tidak ada salah apa pun. Ulama di sebalik pengharaman Karbala ini hanya mahu kau menjadi bodoh. Itu sahaja.

Asas kajian

Drama ta’ziyah 'Karbala' bercerita tentang pembunuhan cucu Nabi di satu gurun bernama 'Karbala' ketika hari asyura.

Cucu Nabi Muhammad yang mulia adalah milik kita semua, sama ada sunni atau syiah, dan umat mana pun tidak dapat menerima kekejaman serta jenayah perang ini.

Insiden penyembelihan cucu Nabi adalah sesuatu yang tak tergambarkan. Tragedi inilah yang menjadi asas drama ta’ziyah. Selain itu drama ta’ziyah cuba menanamkan semangat mencintai keluarga Rasulullah. Entah di mana syiahnya aku pun tidak tahu.

Kala aku menulis drama ta’ziyah 'Karbala' tersebut, aku telah melakukan kajian mendalam. Aku turut membaca dua buku rujukan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri iaitu 'Peristiwa di Padang Karbala', karya Wan Yusof Hassan yang diterbitkan pada tahun 1981.

Buku ini dicetak lima kali, edisi paling terkini ialah tahun 1995. Aku membaca buku ini buat pertama kali ketika darjah lima. Buku rujukan lain ialah terjemahan tulisan Taha Husin, 'Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam', cetakan pertama Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990.

Jika drama 'Karbala' aku adalah haram dan dianggap membahayakan, mengapakah buku-buku seumpama ini masih berlegar dan boleh dibaca?

Bahkan, salah satu teks agung orang Melayu adalah 'Hikayat Muhammad Hanafiyyah' yang intinya adalah peristiwa tragis di Karbala itu. Hikayat lama tersebut masih dikaji dan diterbitkan.

Seingatku ia tidak pernah diharamkan. Dalam hikayat tersebut memang tepu unsur Syiahnya. Sejak mengenal hikayat itu selama beberapa kurun tidak pernah pun orang Melayu merusuh kerananya.

Malahan 'Hikayat Muhammad Hanafiyyah' dibaca di malam kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Ia menunjukkan bahawa membaca episod sedih di Karbala bukan menyesatkan, atau menggugat keselamatan.

Malah, ia menunjukkan Karbala menjadi tenaga keperwiraan orang Melayu meskipun semangat tersebut tidak dihayati oleh istana Melaka secara menyeluruhnya sebelum kedatangan Benggali Putih.

Merencat perkembangan ilmu

Pembangangan berlaku dengan pesat sekali di Malaysia hari ini. Tidaklah menghairankan bila mutu kesusasteraan tanahair merosot teruk meskipun sayembara demi sayembara didanai.

Pencurahan wang ke atas sasterawan hari ini mengakibatkan mereka terus kematian pucuk.

Bukan itu sahaja agenda pembangangan dan pembingaian ini mengakibatkan institut pengajian tinggi kita turut mendapat bahana kerana sarjana menjadi takut. Takut antara lain tidak dapat naik pangkat seperti Faisal Tehrani.

Bodohlah abadi kalau mahu jadi bodoh. Masakan tidaknya, sebuah drama berusia sembilan tahun pun boleh dianggap menggugat ketenteraman awam.

Aku rasa kalau aku hujahkan poin-poin di atas untuk mencabar “unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan” tersebut memadailah untuk menunjukkan mereka di sebalik pengharaman buku aku itu bebal.

Ia juga menunjukkan betapa bejatnya perkembangan ilmu di tanah air hari ini. Ada orang bertanyakan padaku apakah aku akan mencabar pengharaman ini?

Memang aku akan berjaya jika aku melawannya. Akan tetapi, soalnya adakah setelah menjadi halal kelak orang akan jadi pandai? Aku meragui itu.

Justeru, yang perlu dibetulkan dan diangkat bukan label haram. Yang perlu dilakukan adalah supaya menteri, pembuat polisi, penjawat awam yang terlibat menjadi pandai.

Buat masa ini, mereka tidak sedemikian.

Lihat Komen
ADS