Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu lalu saya bersurah tentang beberapa orang perempuan yang sering disebut-sebut dalam buku sejarah. Perempuan ini dikatakan memainkan peranan politik di belakang tabir dan dalam kelambu.

Perempuan ini bukan raja, bukan presiden atau perdana menteri. Tetapi mereka lebih berkuasa dari presiden dan perdana menteri.

Dari sejarah Eropah pramoden kita bertemu dengan Marie Antoinette (1774-1792). Di Argentina Amerika Latin kita bertemu dengan Evita Peron (1919-1952).

Kita juga bertemu dengan perempuan negara jiran – Siti Hartinah aka Ibu Tien dari Jakarta ( 1947-1996) dan Imelda Marcos (1929) dari Manila. Paling baru kita bertemu dengan Leila ben Ali (1956) dari Tunisia.

Di Malaysia – 28 juta rakyat sedang dipaksa berhadapan dengan seorang perempuan yang bernama Rosmah Mansor. Kisah, cerita, berita dan klip YouTube tentang Rosmah Mansor ini telah keluar bergantang-gantang.

Media baru atau media sosial kini sedang merakam dan menjadi saksi rakyat yang paling setia.

Di Malaysia ini usik apa sahaja – pasti akan terusik Rosmah Mansor. Berkumpul dalam apa sahaja majlis – kisah Rosmah akan timbul. Jantan dan betina rakyat Malaysia jika berkumpul – di lobi hotel lima bintang kendatipun di kedai Mamak – mereka pasti akan bersembang tentang Rosmah Mansor.

Seolah-olah, mata dan telinga 28 juta rakyat Malaysia sentiasa terbuka untuk melihat kerenah dan mendengar gosip tentang Rosmah Mansor.

Sentimen pengundi

Bayangkan – ketika banjir melanda Kelantan tahun lalu – satu keping gambar Rosmah sedang membeli-belah di Bangkok muncul dalam Facebook. Satu negara heboh. Gambar ini menjadi viral.

Minggu lepas, satu lagi gambar Rosmah muncul ketika Rosmah sedang berjalan di wilayah membeli-belah Singapura. Facebook meledak sekali lagi.

Marie Antoinette, Evita dan Siti Hartinah terselamat dari serangan media baru. Ketika arwah ini berkuasa, Internet, Twitter dan YouTube belum wujud. Kisah dan desas-desus kehidupan boros lagi lumayan mereka hanya bersambung dari mulut ke mulut, tidak seperti hari ini.

Melalui media sosial, kerana kehebatan media baru – perempuan yang bernama Rosmah Mansor ini berjaya dinobatkan sebagai ikon kebencian majoriti rakyat Malaysia. Saya berani menggunakan kata “majoriti” kerana ini adalah fakta.

Seramai 52 peratus rakyat Malaysia memilih dan mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu. Ini bermakna 52 peratus rakyat Malaysia membenci Rosmah Mansor.

Dalam masa yang sama saya juga amat yakin dalam parti United Malays National Organisation dan kuncunya dalam BN pasti ramai yang menyampah melihat muka dan kerenah Rosmah Mansor.

Tetapi apa kisah sebenar di sebalik kerenah perempuan-perempuan ini?

Mari kita lihat pensejarahan Marie Antoinette. Pemaisuri ini bukan anak jati Perancis. Dia dilahirkan dari keluarga bangsawan Austria. Justeru ketika tuaian gagal, ketika tanaman tidak menjadi – kaum tani Perancis menjadikan perempuan pendatang ini sebagai musuh mereka. Perempuan imigran ini menjadi sasaran kaum tani Perancis.

Kisah dandan rambut

Kemarahan rakyat Perancis ini mempunyai sebab yang amat amat kukuh. Marie Antoinette ini amat terbukti boros. Pemaisuri ini suka mengumpul intan berlian.

Kalau Rosmah Mansor diingati dengan kes cincin RM30 juta, Marie Antoinette hingga ke hari ini akan diingati dengan kes pembelian rantai leher berlian.

Revolusi Perancis (1789-1799) akhirnya menghapuskan sistem Raja di Perancis dan Marie Antoinette dipenggal lehernya. Hingga ke hari ini dunia mengingati bagaimana permaisuri ini terdengar suara penunjuk perasaan yang melaungkan “kami mahu roti, kami mahu roti”.

Marie Antoinette menjawab, “jika tidak ada roti, makanlah kek...” Kata-kata itu membantu menyemarakkan Revolusi Perancis hingga berjaya menghapuskan sistem raja.

Kata-kata “makan kek” dari Marie Antoinette ini mengingatkan kita dengan kata-kata Rosmah Mansor. Si Rosmah dengan bangga telah bercerita tentang bagaimana dia membayar RM1,200 untuk mendandan rambut.

Bayangkan untuk sekali mendandan rambut Rosmah membayar RM1,200 – walhal gaji minimum yang cuba dituntut oleh kaum buruh di Malaysia hanya 950 ringgit sebulan. Satu bulan – 30 hari – bukan sekali dandan.

Justeru apakah jenis para perempuan ini? Apa sebenarnya dalam benak mereka? Kenapa mereka memiliki perangai sedemikian?

Saya memahami Marie Antoinette. Puteri bangsawan yang dibesarkan dengan segala kemewahan. Justeru Marie Antioinette gagal memahami kehidupan kaum tani di Perancis.

Kisah gelap waktu silam

Tetapi Rosmah, Evita, Leila dan Imelda bukan dari golongan bangsawan. Leila hanya pendandan rambut. Rosmah Mansor hanya anak guru sekolah bukan anak datuk undang. Justeru pasti ada sebab musabab lain yang wajib kita terokai.

Untuk memahami perangai perempuan-perempuan ini saya menggunakan pendekatan psikoanalisis. Ini adalah satu teori fikrah yang telah dikembangkan oleh Sigmund Freud (1856-1939).

Mengikut teori psikoanalisis perangai dan tingkah laku kita dimangkinkan oleh bawah sedar. Bawah sedar ialah kesedaran yang wujud di luar kesedaran kita. Mengikut teori ini ada babak dalam awalan hidup kita yang terpendam yang memangkinkan kehidupan harian kita.

Untuk saya ada kebenaran dalam menggunakan teori ini untuk memahami siapa perempuan-perempuan ini.

Imelda Marcos satu ketika dahulu – ketika sentimen anti Presiden Marcos memuncak – disamakan oleh media Manila dengan Evita Peron. Imelda telah marah dan menafikan persamaan ini. Mengikut Imelda dia bukan pelacur saperti Evita.

Dengan serta merta perkataan “pelacur” muncul dari mulut Imelda. Ini bermakna perempuan-perempuan ini memiliki “hidup gelap” yang ingin mereka lupakan. Kehidupan “gelap” ini wujud di bawah sedar mereka.

Apakah kehidupan gelap perempuan-perempuan ini? Evita, Hartinah, Leila, Imelda dan Rosmah – semuanya menggunakan “tubuh badan mereka” untuk sampai ke puncak kuasa. Mereka bukan ilmuan.

Mereka bukan pemikir, bukan ahli sukan, juga bukan pakar sains. Yang ada pada mereka hanya tubuh badan mereka. Dengan menggunakan “First Body' perempuan-perempuan ini merancang untuk menjadi “First Lady”.

Mencari antan

Orang ramai di Malaysia jarang diberitahu bahawa Najib berkahwin dengan mak janda berhias yang bernama Rosmah Mansor pada tahun 1987. Ketika itu mak janda berhias ini telah berumur 36 tahun. Lebih kotai dari Najib.

Umur 36 tahun ertinya dalam masa 4 tahun akan sampai menopaus. Media milik United Malays National Organisation menggambarkan Najib bukan duda dan Rosmah masih anak dara dan bukan mak janda berhias ketika mereka berkahwin.

Isteri pertama Najib sampai sekarang menjadi non person. Siapa sebenarnya suami pertama Rosmah? Mamat ini juga tidak pernah menjadi berita Buletin Utama.

Malah orang ramai tidak tahu berapa ekor anak mereka dari perkahwinan pertama. Media Malaysia seperti menerima arahan untuk menutup berita ini.

Dengan menggunakan tubuh badan sebagai umpan berahi, perempuan-perempuan ini bijak memilih jantan-jantan. Mereka telah berputar silih berganti mencari antan-antan untuk dipanjat. Evita, Imelda, Hartini dan Leila – semuanya memanjat antan soldadu.

Mereka berjaya kerana di negara yang tidak mengamalkan demokrasi hanya soldadu yang berpotensi merampas kuasa untuk menjadi presiden atau perdana menteri.

Dari Amerika Latin kita beralih ke Scotland untuk memahami psikologi perempuan-perempuan ini. Kepada peminat teater atau panggung bangsawan pasti mengenali William Shakespeare (1564-1616) yang menulis sebuah drama tragedi bernama The Tragedy of Macbeth. Dalam tragedi ini kita temui watak Rosmah, Leila, Hartini, Evita dan Imelda.

Lebih dari 400 tahun dahulu Shakespeare tanpa menggunakan psikoanalisis telah mengenali watak-watak perempuan ini. Shakespeare telah menggarap watak Lady Macbeth – perempuan di belakang Lord Macbeth. Lady Macbeth memaksa suaminya membunuh Raja Duncan untuk merampas takhta dan menjadi Raja Scotland.

Kemarahan rakyat

Jika kita halusi siapa dia Leila, Evita, Imelda, Hartini dan Rosmah – maka tidak dapat tidak kesemua mereka memiliki ciri-ciri perwatakan Lady Macbeth. Mereka adalah perempuan-perempuan yang memaksa sang suami merampas kuasa untuk menjadi Presiden.

Adalah dikisahkan apabila Anwar Ibrahim telah dibuang dari kerajaan pada tahun 1998 dahulu, Lady Macbeth Rosmah Mansor berdoa siang malam agar penggantinya ialah Najib Razak.

Mengikut klip YouTube Perempuan Puaka pastilah Rosmah telah menggunakan bantuan para bomoh untuk memastikan antan suaminya menegak terus ke puncak kuasa.

Lady Macbeth dari Scotland telah menggunakan khidmat nenek kebayan untuk merampas kuasa. Manakala Rosmah Mansor dari Rembau menurut klip YouTube Perempuan Puaka telah menggunakan khidmat bomoh. Apa yang sahih, William Shakespeare 500 tahun dahulu telah mengenali watak perempuan bernama Rosmah Mansor.

Apa sebenarnya perkara yang menjemput orang ramai untuk mempersoalkan siapa Evita, Imelda, Leila, Hartinah dan Rosmah? Kalau mengenai Marie Antoinette, kita dapat memahami dengan senang kerana pada ketika itu rakyat marah kerana lapar.

Apakah betul perempuan-perempuan ini seperti Lady Macbeth memiliki kuasa. Apakah betul, apakah sahih di belakang kuasa Presiden Juan Peron (1995-1974) ialah isterinya Evita. Apakah betul di belakang Najib Razak ialah Rosmah Mansor? Tunggu minggu hadapan.

Lihat Komen
ADS