Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Mereka amat tidak senang dengan isteri Najib, dengan cara hidup mewahnya, dengan lagaknya seakan-akan ia perdana menteri,” kata Mahathir Mohamad, 11 Mei lalu.

Minggu lalu saya menulis tentang watak Lady Macbeth. Watak ini muncul dalam bangsawan hasil garapan William Shakespeare. Watak Lady Macbeth ini telah saya samakan dengan watak Imelda Marcos, Evita Peron, Leila Ben Ali dan Rosmah Mansor. Lady Macbeth merancang untuk membunuh Lord Duncan dan menobatkan suaminya sebagai Raja Scotland. Ini tragedi dalam teater bangsawan Inggeris.

Dalam seni filem kita juga akan bertemu dengan watak perempuan sedemikian. Para peminat dan pelajar filem tahu bahawa dalam filem ada pelbagai genre, antaranya ialah genre filem noir. Noir dalam bahasa Perancis bermakna gelap atau hitam. Justeru filem noir membawakan tema yang gelap lagi hitam.

Dalam filem noir diwajibkan kemunculan seorang perempuan cantik sebagai protagonis – watak utama yang akan menjadi femme fatale. Femme fatale juga adalah istilah Perancis yang membawa makna perempuan cantik pembawa mudarat.

Dalam filem noir mudarat pertama jatuh kepada si jantan atau sang suami. Si jantan diperangkap untuk melakukan pembunuhan. Pembunuhan ini akhirnya akan menguntungkan si perempuan. si jantan atau sang suami akhirnya terpenjara manakala si perempuan atau sang isteri dalam babak akhir akan dilihat bercanda-canda dengan kekayaan dan kekasih lama.

Dalam kontek politik kita melihat bahawa Imelda Marcos, Evita Peron, Leila Ali dan Rosmah Mansor – adalah femme fatale. Mereka adalah perempuan yang memerangkap jantan untuk perancangan mereka sendiri. Perangkap mereka bingkas mengena pelanduk dan hasilnya terbukti membawa mudarat.

Kerana ini saya anggap Najib dan Rosmah Mansor ini adalah skrip untuk sebuah filem noir. Tetapi Najib-Rosmah ini bukan sebuah filem noir. Mudarat yang mereka bawa bukan kepada satu dua sosok. Dalam filem noir perangkap para perempuan ini hanya memudaratkan dua tiga orang sahaja.

Negara porak-peranda

Leila Ben Ali – minah pendandan rambut yang langsing, berambut panjang dan cantik telah memudaratkan sebuah negara bernama Tunisia. Leila sebelum melarikan diri ke Saudi Arabia telah memecahkan Bank Negara Tunis dan melarikan 1.5 tan jongkong emas.

Imelda Marcos – minah gila kasut – yang boros memudarakan rakyat Pilipina yang terus miskin kedana. Evita Peron yang cun, slim dan bergetah memudaratkan ekonomi Argentina. Rosmah Mansor sedang dan masih lagi memporak-perandakan sebuah negara yang bernama Malaysia dengan 28 juta penduduk.

Bagaimana ini berlaku? Dari Mana datangnya perempuan-perempuan ini? Dari mana datangnya Rosmah Mansor?

Kalau mengikut kata-kata isteri kepada bekas speaker DUN Negeri Sembilan – yang menjadi kawan baik Si Rosmah – Si Rosmah memerangkap Najib dengan menggunakan kuasa bomoh.

Sama ada para pembaca percaya kepada bomoh atau tidak – ini bukan persoalan. Yang penting kita melihat bukti sahih bagaimana para perempuan ini menggunakan tubuh badan mereka untuk memerangkap jantan.

Hampir kesemua perempuan ini adalah mak janda. Ertinya mereka berpengalaman dalam hal seksual, keberahian dan kelemahan jantan.

Perempuan-perempuan ini menceraikan suami pertama yang mungkin dilihat sebagai jantan gagal yang tidak memiliki cita-cita yang tinggi seperti menjadi perdana menteri atau presiden. Justeru perempuan-perempuan ini merayau rayau untuk untuk memerangkap jantan baru.

Maka di sinilah berlaku babak-babak gelap yang ditakrifkan oleh Sigmund Freud sebagai “bawah sedar”. Setiap perempuan ini memiliki sejarah gelap yang tidak ada sesiapa pun tahu.

Jadi PM kerana Mahathir

Lord Macbeth sama seperti Najib adalah jantan lemah. Kita melihat bagaimana Najib dan sejarah parti United Malays National Organisation tidak pernah bertempur. Najib ditakrif sebagai jantan lembik dan lemah dalam merebut jawatan.

Apabila ayahnya meninggal dunia – walaupun belum berijazah dan belum selesai belajar – Najib diangkat untuk menjadi ahli parlimen, menjadi menteri besar, menjadi ketua Pemuda, menjadi menteri – semuanya disediakan. Menjadi timbalan presiden dan presiden United Malays National Organsiation juga bukan melalui pertandingan.

Malah Mahathir Mohamad telah mengakui bahawa dia telah memberi tekanan kepada Abdullah Badawi untuk melantik Najib sebagai timbalan perdana menteri walhal Abdullah mahu Muhyiddin Yassin. Ertinya, Najib jadi PM kerana Mahathir Mohamad.

Apa yang jelas ialah kelemahan jantan-jantan ini apabila berhadapan dengan tubuh badan wanita yang cun lagi bergetah. Jantan-jantan ini adalah kaki betina. Umum mengetahui bagaimana Isa Samad, Menteri besar  pada waktu itu pernah menyelamatkan Najib Razak dari tenggelam di Port Dickson.

Mengikut Akuan Berkanun pertama Balasubramaniam – mahkamah Malaysia diberitahu bagaimana Najib mengagihkan kekasihnya Altantuya Shaaribu warga Mongolia kepada pembantu politiknya Razak Baginda.

Najib Razak berkorban kerana dia mahu menjaga kedudukan politiknya yang mungkin terbongkar jika skandalnya diketahui oleh rakyat Malaysia terutama oleh Haji Hadi yang sedang heboh dengan amanatnya ketika itu.

Perempuan-perempuan ini sedar akan kelemahan para jantan ini. Melalui kelemahan sang jantan ini si perempuan mula memainkan peranan. Pada awlnya cuma memberi pandangan ketika suami dalam keadaan gusar, mungkin membantu memberi nasihat dari dalam kelambu.

Kalau mengikut klip video YouTube Rosmah Perempuan Puaka para pembaca akan berhadapan dengan konsep nasi kangkang. Ini adalah konsep di mana kuasa bomoh digunakan oleh sang isteri untuk menjadikan sang suami bodoh dan mengikut kata.

Berita Najib Razak yang mengikut apa sahaja kata Rosmah Mansor telah menjadi labon rakyat. Kisah demi kisah muncul menceritakan babak-babak kecil di mana Najib dilihat tunduk mengikut semua kerenah Rosmah.

Dana lebih besar dari kementerian

Sebenarnya fakta bahawa Najib dikawal Rosmah ini bukan lagi satu fitnah. Secara terbuka dan hitam putih perkara ini telah dinyatakan oleh Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri ini telah mendapat laporan dan aduan bagaimana Rosmah cukup berkuasa dalam membuat keputusan negara. Justeru Mahathir telah berkata bahawa Rosmah Mansor ini berlagak seolah-olah perdana menteri Malaysia.

Cerita Rosmah berlagak sebagai perdana menteri ini bukan satu yang baru. Orang ramai mungkin terlepas pandang dan gagal meneliti bajet NGO PERMATA Rosmah. Pernah NGO ini mendapat dana kerajaan yang melebihi dana Kementerian Pelajaran bawah Muhyiddin Yassin.

Malah dalam belanjawan negara terakhir Rosmah mendapat hampir 1 bilion ringgit walaupun Rosmah bukan seorang Menteri. Dalam masa yang sama Haji Desas bin Lebai Desus dari Putrajaya selalu sibuk menghantar SMS bercerita tentang 400 orang pegawai Rosmah Mansor. Semua ini mengsahihkan apa yang dikatakan oleh Mahathir Mohamad.

Kini Rosmah Mansor bukan lagi mak janda berhias yang diselaputi oleh setempel tahi lalat berbulu. Jika kita memahami psikoanalisis Sigmund Freud maka tahi lalat berbulu inilah yang menjadi beban bawah sedar Rosmah Mansor. Pasti dia teringat ejekan “dotti” ketika dia membesar.

Tahi lalat berbulu boleh dihilangkan tapi ingatan masih tebal. Justeru apa yang berlaku hari ini – segala kerenah dan tindak tanduk Rosmah Mansor adalah untuk membuktikan bahawa beliau telah melintasi zaman “dotti”. Zaman tahi lalat berbulu telah selesai. Sekarang Rosmah ialah FLOM – first lady of Malaysia.

Rosmah menjemput Martha Stewart – guru gaya hidup Amerika – untuk menjadi tamu di Putrajaya. Ini percubaan Rosmah untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia, kepada kawan-kawan lama dan kepada kartunis Zunar bahawa Bik Mama ada kelas. Bik Mama boleh bercanda-canda dengan Martha Stewart, walaupun tidak ada sesiapapun rakyat Malaysia yang ambil pot. Mak Cik Felda tidak pun tahu siapa minah Martha ini. Bik Mama gagal lagi.

Gambar Rosmah Mansor bertemu dengan baginda Ratu Elizebeth yang seharusnya menjadi mercu kejayaan telah menjadi bahan politik. Baginda dengan penuh kesedaran telah memilih warna kuning ketika Rosmah dan Najib datang mengadap. Jelas ini bertujuan untuk menganjing Rosmah dan Najib yang baru sahaja mengganas ke atas para penunjuk perasaan BERSIH yang memakai baju kuning. Rosmah gagal lagi.

Lebih gelap dari filem noir

Gambar Rosmah dengan Michelle Obama terus menjadi bahan lawak. Rosmah yang gemuk pendek digambarkan sedang mendongak untuk melihat muka Michelle ketika bercakap. Ini sama seperti komedi Ibrahim Pendek dengan Burl Ives dalam filem 'The Spiral Road' (1962). Pelakon katik dari Singapura ini berlakon di Holywood dengan Burls Ivers yang tinggi dan besar. Rosmah kantoi lagi.

Maka di sini kita sampai ke babak akhir. Dalam filem noir si jantan akan mendapat malapetaka manakala si perempuan akan bercanda-canda. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia lebih gelap dari filem noir, lebih berdarah dari bangsawan Lady Macbeth.

Dalam filem noir Body Heat (1981) mak janda Kathleen Turner telah memerangkap William Hurt yang akhirnya menjadi pembunuh bekas suami mak janda. Mak janda jadi kaya dapat harta dan jantan bodoh mendapat malapetaka masuk penjara.

Dalam politik Malaysia mak janda Rosmah berjaya memerangkap Najib Razak. Telah berlaku pembunuhan. Telah berlaku salah guna kuasa. Malah malapetaka yang dibawa oleh femme fatale ini bukan hanya kepada sang suami tetapi kepada 28 juta warga Malaysia.

Hutang 1MDB kini telah melintasi RM42 bilion. Rosmah masih berinang-inang dengan pesawat resmi negara. Ringgit Malaysia makin susut nilainya. Rosmah masih lagi menggunakan dana negara untuk kenduri anak bertunang.

Ketika tulisan ini digarap, Najib sedang diasak oleh Mahathir untuk berundur. Jantan yang menjadi mangsa mak janda ini sedang kelam kabut. Najib dilihat tidak mahu berundur. Sebenarnya, umum mengetahui yang bertahan kuat bukan Najib tapi Rosmah.

Ketika ini Malaysia sedang menghadapi malapetaka dari femme fatale. Sayang sekali semua femme fatale dari dari Holywood cun dan bergetah. Evita Peron cantik dan menawan. Siapa punya suwey – femme fatale pembawa mudarat ke Malaysia gemuk dan pendek.

Lihat Komen
ADS