Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada awalnya kita terkejut dengan ketibaan ratusan dan ribuan 'orang hitam kurus’. Mereka datang dari negara atas angin yang  kita tidak pernah ada hubungan. Negara yang kita kurang arif letak duduknya. Kita kurang arif tentang adat budaya resam  mereka. Jauh sekali ada kenalan atau taulan dari negara ini.

Yang memeranjatkan kita, orang hitam kurus ini datang dengan menaiki kapal nelayan tua. Yang paling memeranjatkan ialah jumlah yang menumpang dalam kapal ini. Bukan belas-belas orang, bukan ratus-ratus tapi beribu-ribu orang.

Kecil tua muda jantan betina datuk dan nenek moyang mereka pun datang bersama. Macam lukisan gambar kapal Nabi Noh – bezanya dalam kapal mereka tidak ada zirafah dan gajah. Siapa orang hitam kurus ini?

Belum pun sempat kita bertanya dan mendapat jawapan  tuntas siapakah mereka? Tiba-tiba di wilayah sempadan Siam ditemui kubur besar.

Gali punya gali terbukti bahawa inilah kubur  yang telah menyimpan mayat-mayat orang hitam kurus ini. Berita penemuan kubur besar ini meledak seluruh dunia.  Seluruh dunia gempar. Kem Wang Kelian menjadi tajuk berita.

Untuk saya, setiap berita orang pelarian  akan saya baca dengan teliti. Saya mengikuti apa sahaja berita orang pelarian. Ini kerana saya sendiri adalah bekas orang pelarian. Jadi saya memiliki hati nurani dan roh yang amat rapat dengan orang pelarian.

Saya memiliki kisah pelarian saya sendiri. Jadi, sedikit sebanyak saya memahami perasaan orang pelarian. Tetapi, saya tidak ada keupayaan untuk mengakui yang  saya memahami semua segi tentang orang pelarian.

Pada hemat saya isu orang pelarian ini kompleks dan kait mengait. Tapi yakinlah kita tidak akan dapat melarikan  diri dari berhadapan dengan latar belakang isu ini. Latar belakang orang pelarian pastilah ekonomi.

Latar perang dingin

Ekonomi ini berkait rapat dengan politik. Politik berkait rapat dengan kuasa dan pemilikan ke atas kuasa bermakna memiliki punca-punca ekonomi.

Ketika saya menjadi warga Eropah, saya sering membaca takrifan bahawa orang pelarian ini ada dua jenis. Pertama, pelarian politik dan yang kedua, pelarian ekonomi.

Ketika itu negara di Eropah akan membuka pintu masuk dengan senang sekali jika sosok yang mengetuk pintu itu dibuktikan sedang dalam kesusahan politik.

Ini kerana, sesudah Perang Dunia Kedua (WWII), Eropah Barat juga telah dipenuhi oleh orang pelarian. Perang di Eropah mengharu-birukan berjuta juta umat manusia.

Setelah perang tamat mangsa perang ini wajib dibela dan dibantu. Warga Eropah beramal jariah. Yang selamat dari perang  membantu yang kehilangan kaum keluarga dan rumah tangga. Ini Eropah sepuluh tahun pertama sesudah WWII.

Hasil dari krisis orang pelarian yang timbul akinat perang memaksa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu meluluskan Perjanjian Orang Pelarian 1951. Saya tahu perjanjian ini kerana saya diselamatkan oleh perjanjian ini.

Selesai Perang Dunia Ke2 kesah orang pelarian ini menjadi cukup cun. Ini berlaku  ketika zaman Perang Dingin. Pada era ini minah dan mamat pelarian ini menjadi senjata. Ini ketika kuasa imperial Amerika sedang berlawan menentang blok Soviet dan negara sosialis.

Warga dari blok sosialis digalakkan lari mencari suaka politik dari Blok Timur ke Eropah Barat. Orang pelarian ini ditakrif sebagai pelarian politik. Lagi ternama sosok yang melarikan diri, lagi heboh media Barat melaporkan. Lagi besar jawatan sosok itu dalam parti atau kerajaan, lagi hebat ledakan berita.

Negara Cuba, Korea Utara, Blok Soviet dan China Merah menjadi sasaran. Warga dari negara  yang mengamalkan sistem ekonomi kebajikan sosialis ini digalakkan melarikan diri.

Mengundi dengan melarikan diri

Mereka dijemput untuk melarikan dari negara sosialis ke negara kapitalis. Jelas, pada zaman ini orang pelarian telah digunakan  sebagai senjata  propaganda perang dingin.

Contoh terbaik kisah orang pelarian diera Perang Dingin ini ialah pertempuran hebat antara Pengerusi Mao Zedong dengan Generalissimo Chiang Kai-sek.

Parti berhaluan kanan Kuomintang membuat dasar mengalu-alukan sesiapa sahaja dari Tanah Besar China untuk lari ke Taiwan.

Mereka yang melarikan diri akan mendapat segala macam bantuan dan ganjaran. Orang pelarian dari ‘Komunis China’ akan  membuktikan kepada dunia bahawa kerajaan Mao Zedong di Tanah Besar tidak popular, zalim dan menindas. Justeru rakyatnya melarikan diri.

Ketika itu wartawan barat yang diupah oleh syarikat media kaum pemodal akan menggunakan ayat klise “mereka mengundi dengan melarikan diri”. Setiap kali ada berita orang pelarian dari blok sosialis maka akan muncul ayat klise ini.

Maka dunia terbaca berbelas-belas kali tentang kisah juruterbang jet pejuang dari tanah Besar telah lari. Bukan lari bersendirian tetapi lari dengan membawa jet pejuang yang dipandunya masuk ke Taiwan.

Juruterbang pelarian ini bukan sahaja mendapat liputan  media yang meluas. Malah mereka mendapat ganjaran hingga tujuh kilo emas. Orang-orang pelarian dari Tanah Besar ini akan disambut mesra oleh Presiden Chiang Kai-shek.

Di belakang rumah kitapun perkara yang sama berlaku. Warga Kuala Lumpur pasti tidak akan melupakan Kem Vietnam di tepi jalan ke Sungai Besi. Ini juga sebahagian dari sejarah Perang Dingin.

Apabila Gerila Pembebasan Rakyat Vietnam berjaya mengalahkan  imperialis Amerika dalam perang Vietnam, maka kuasa imperial Amerika melalui media berpropaganda untuk menjemput rakyat Vietnam lari meninggalkan negara asal mereka.

Kempen tinggalkan negara

Maka muncullah drama ‘Boat People’. Warga dari Indo-China telah menyeberang Laut China Selatan menuju ke Siam dan Malaysia. Pulau Bidong dan Pulau Babi Besar telah menjadi tempat persinggahan warga Pelarian Indo-China.

Warga Vietnam dan Indo-China ini telah diberahikan  dan diotek-otek dengan kehidupan budaya kapitalis. Propaganda meluas telah menayangkan bagaimana jalan-jalan di London, Paris dan New York bertaburan dengan intan berlian, hanya menunggu untuk dipungut.

Malah negara Amerika dan Eropah Barat ini cukup menjanjikan  kepada sesiapa sahaja untuk menjadi kaya raya. Negara kapitalis ini tidak pernah kurang makan, kurang pakai atau kurang elektrik seperti di Moscow, Prague, Saigon atau di Vientiane. Akhirnya warga Indo-China ini menjadi peluru murah untuk menutup malu Uncle Sam yang telah kalah perang.

Sebelum orang-orang hitam dan kurus ini sampai ke pesisiran utara Semenanjung kita ada membaca  dan melihat di kaca TV tentang ‘orang lagi hitam’ yang juga berkapal menuju Itali dari Libya.

Orang lagi hitam ini juga datang dengan kapal nelayan tua. Dari gambar yang saya lihat mereka juga sama saperti imej Kapal Nabi Noh. Setiap kapal kelihatan padat dan penuh dengan penumpang. Malah tidak ada langsung tempat kosong untuk mereka menikmati keindahan Laut Tengah.

Kisah orang lebih hitam ini menjadi berita dunia apabila kapal nelayan tua mereka bocor di tengah laut. Ramai yang mati tenggelam. Ramai yang hilang. Eropah gempar. Dunia gempar. Berita orang pelarian menjadi induk berita di setiap stesen tv.

Eropah berhadapan dengan krisis orang pelarian. Negara Kesatuan Eropah Barat mengadakan mesyuarat tergempar. Semua mata dan telinga memandang ke Brussels. Lalu timbul persoalan – apa sebenarnya krisis orang pelarian ini?

Kenapa warga dari Syria, Nigeria, Burma, Palestin, Afghanistan, Iran, Somalia, Libya, Burundi, Benin dan negara lain melarikan diri dari tanah air mereka?

Ke mana arah tujuan?

Kali ini media Barat dan media kaum pemodal tidak lagi memainkan ayat klise “mereka mengundi dengan melarikan diri”.  Negara Barat yang sering menimbulkan keberahian hidup dalam dunia kapitalis kini tidak lagi menayangkan betapa kosongnya kedai di Somalia atau di Kabul. Semua sudah terbalik kot. Semua bertukar rupa. Semua beralih wajah

Ketika saya menjadi orang pelarian di Belgium saya sering terbaca bagaimana warga Eropah Timur sering diotek-otek dengan buku dan majalah dan diberahikan oleh Radio Free Europe – stesen radio CIA. Semua dijemput melarikan diri ke Eropah Barat. Warga dari Bulgaria, dari Slovakia, dari Romania atau dari Rusia digalakkan datang ke London, Berlin, Brussels atau Paris.

Ketika saya sampai ke Eropah 40 tahun dahulu saya disambut oleh NGO Belgium. Berita saya sampai ke Belgium telah disiarkan di muka depan harian Le Soir.  NGO Katholik ini telah menempatkan saya di sebuah kawasan perumahan orang pelarian.

Bersama saya ada warga Indo-China, ada warga dari Eropah Timur, Eritrea, Ghana, Iran dan dari Cuba.  Saya diberi duit poket. Satu bulan kemudian saya mendaftar untuk belajar Bahasa Perancis.

Dua bulan kemudian saya memiliki flat sendiri yang tidak jauh dari sekolah saya. Setahun kemudian saya masuk belajar ke universiti. Ini 40 tahun dahulu. Di zaman ini orang pelarian adalah ‘darling’ dan disambut dengan baik.

Hari ini semuanya berubah. Apabila orang hitam kurus kering dari  Rohingya sampai mereka tidak diahlan wasahlankan. Tidak ada bunga manggar. Mereka tidak disambut untuk masuk ke bumi Malaysia. Mereka hanya diberi makanan dan diminta meneruskan pelayaran mereka.

Perkara yang sama juga terjadi apabila kapal nelayan tua dari Libya sampai ke perairan Itali.  Jika kapal ini dalam keadaan baik maka mereka diarahkan pergi ke tempat lain.

Ke mana agaknya orang pelarian ini akan belayar? Ke mana arah tuju mereka? Tunggu minggu hadapan.

Lihat Komen
ADS