Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Daripada kerendahan diri yang teramat, takziah saya yang mendalam buat rakyat Sabah. Gempa bumi 5 Jun lalu cukup mengharukan.

Segala doa dipohonkan saya, moga Sabah tabah melalui ujian getir ini.

Tetapi, mitos kononnya Malaysia berada di luar lingkaran api Pasifik – selamat, aman dan damai tanpa sebarang bencana alam, khususnya tanpa gempa bumi dan gunung berapi – kini telah pecah.

Pergerakan plak tektonik pada kerak bumi akan sentiasa berlangsung sepanjang kewujudan bumi ini. Batu-batuan akan terus bergerak dan bertukar bentuknya. Bumi bergegar, tanah merekah, bukit-bukau, gunung-ganang retak dan pecah, keruntuhan terjadi.

Sejarah sains jutaan tahun kewujudan bumi menunjukkan, di mana-manapun gempa bumi boleh terjadi.

Pihak berwajib yang punya wibawa ilmu sains bumi dan kepakaran sudahpun memberi amaran sejak beberapa tahun lalu.

Manakala media massa Malaysia – tanpa mengira spektrum kecenderungan politik – Malaysiakini , The Malaysian Insider , The Star , Bernama , mahupun Utusan Malaysia telahpun melaporkan kebimbangan terjadinya gempa bumi di Malaysia.

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menyalahkan sesiapa tetapi untuk mengetengahkan fakta sains yang berasaskan bukti waras dan empirikal, yang telah diutarakan para saintis dalam laporan itu.

Saya pernah mencetak laporan tersebut dan menyebarkan di kalangan teman-teman. Hasilnya tidak menyeronokkan, malah saya ditertawakan oleh teman-teman saya. Ramai juga yang berkata, laporan itu hanya menunjuk bijak sedangkan kiamat pasti terjadi.

Ramalan sejak 2012

Walhal, saya tunjukkan fakta sains yang berasaskan bukti, hasil penyelidikan dan kajian emperikal. Ia bukan pendapat peribadi yang saya reka-reka. Soal kiamat itu sudah hukum alam, tidak ada yang kekal. Kita semua pendatang sementara di bumi ini.

Kejadian gempa bumi di kawasan Ranau itu sudah diramal oleh pengkaji Universiti Malaysia Sabah dan didedahkan dalam satu seminar seawal 2012 lagi.

Dalam Seminar Teknikal Kebangsaan Gempa Bumi dan Tsunami itu, pengkaji tersebut, Prof Dr Felix Tongkul meramalkan bahawa Malaysia mungkin dilanda gempa bumi sederhana sehingga 6.0 pada skala Richter.

Profesor dalam bidang Geologi di Akademi Sains Malaysia itu turut menamakan kawasan Kundasang, Ranau dan Lahad Datu di Sabah sebagai kawasan yang berpotensi dilanda gempa bumi tersebut.

Apatah lagi, kawasan ini juga sering dilanda gempa apabila berlaku gegaran serupa di negara jiran.

Gegaran pada tahap 6.0 itu sudah cukup untuk merosakkan bangunan dan harta benda. Pastilah juga melibatkan keselamatan jiwa, raga dan nyawa.

Sebelum kejadian 5 Jun, gempa bumi yang paling kuat direkodkan di Malaysia pada masa lalu, berkekuatan 5.8 skala Richter di Lahad Datu Sabah pada 1976 yang mengakibatkan banyak harta benda rosak serta bangunan retak.

Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh ahli geologi juga mendapati kawasan Bukit Tinggi di Pahang turut berpotensi mengalami gempa bumi sederhana.

Kajian Che Noorliza Lat dan Ahmad Tajuddin Ibrahim dari Jabatan Geologi, Universiti Malaya yang berjudul Bukit Tinggi earthquakes: November 2007 – January 2008 menyatakan gempa bumi di Bukit Tinggi itu merupakan pusat gempa yang pertama di Semenanjung Malaysia.

Satu lagi gempa yang direkodkan pada tahun 1980-an di Terengganu berpunca akibat bebanan air di empangan Kenyir.

Gegaran Bukit Tinggi

Akhbar Utusan Malaysia pada Mei 2008 melaporkan 21 kejadian gegaran gempa bumi berskala kecil – tidak merbahaya, tidak perlu dibimbangkan, tiada kerosakan – di Bukit Tinggi.

Tetapi bagaimana jika berlaku gegaran gempa berskala sederhana di Bukit Tinggi, apakah garis rekahan gelinciran gempa bumi yang berpusat di Bukit Tinggi tidak sampai ke Lembah Klang?

Jika sampai ke Kuala Lumpur, adakah kota ini dan masyarakatnya siap dengan kejuruteraan tahan gempa?

Akhbar The Star pula dalam laporannya berjudul 'Shelter from tremors' pada 2012 membangkitkan persoalan ke atas penyelesaian kejuruteraan terhadap bangunan dan binaan di Malaysia.

Laporan tersebut memetik pandangan saintifik Dr Norhisham Bakhary, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia. Menurut Dr Norhisham, setakat laporan tersebut dibuat, cuma bangunan KLCC dan Jambatan Pulau Pinang yang dibina dengan teknologi kejuruteraan kalis gempa bumi.

Sebenarnya, kurang daripada satu peratus binaan dan bangunan di Malaysia yang memiliki langkah-langkah kejuruteraan bagi pencegahan gempa bumi.

Di dalam dunia ini, terlalu banyak negara yang rakyatnya hidup di tanah yang terdedah dengan kemungkinan besar berlaku bencana gempa bumi, yang boleh terjadi pada bila-bila masa.

Negara Jepun misalnya memiliki piawaian kejuruteraan binaan bangunan yang sangat tinggi, khusus untuk tahan gempa bumi.

Ia dapat mengurangkan risiko bencana tetapi ia tidak dapat menghalang gempa bumi daripada terjadi. Ia menduga yang terburuk, dengan peluang kebarangkalian yang sangat tinggi, cuba mengurangkan kesan paling teruk.

Fikirkanlah, dalam keadaan sebegitu hebat teknologi kejuruteraannya, malapetaka nuklear Fukushima masih terjadi.

Dalam keadaan tanpa gegaran gempa bumi, sebuah stadium yang baru dibina boleh runtuh di Terengganu, atau siling sebuah bilik kecemasan Hospital Serdang yang baru siap boleh tiba-tiba roboh.

Dalam keadaan terbukti Malaysia telah terdedah dengan risiko bencana gempa bumi, apakah jaminan keselamatan loji nuklear yang ingin dibina di sini?

Lihat Komen
ADS