Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mustahil ada sesiapa yang meninggalkan tanah air sendiri tanpa sebab. Mustahil ada sesiapa yang meninggalkan orang disayang tanpa sebab. Mustahil ada sesiapa melintasi  lautan maut tanpa sebab.

Mustahil ada sesiapa melakukan satu perbuatan tanpa sebab dan tujuan. Hanya yang gila dan sosok yang hilang akal sahaja yang akan melakukan sesuatu tanpa sebab.

 

Hakikatnya – apa sahaja yang berlaku dalam alam ini pasti ada sebab musabab. Dunia ini bergerak kerana ada penyebab. Kerana tarikan graviti matahari maka bumi bergerak. Bulan bergerak kerana tarikan graviti bumi. Hakikatnya pasti ada yang menjadi penggeraknya. Tanpa penggerak satu-satu perkara tidak akan terjadi dan tidak akan bergerak.

 

Saya menjadi orang pelarian  selama 20 tahun. Saya meninggalkan Jelebu tempat saya dibesarkan. Saya meninggalkan sungai dan air terjun tempat saya mandi manda. Saya meninggalkan sawah padi dan padang permainan tempat saya belajar mengenal kawan.

Saya meninggalkan kaum keluarga selama 20 tahun. Saya meredah dunia dari satu penjara ke satu penjara. Mustahil saya lakukan semua ini tanpa sebab.

 

Justeru apabila kita membaca berita warga Iraq, Syria, Sri Lanka, warga Palestin, Yaman atau warga Somalia sedang menaiki sampan dan perahu menuju Eropah pasti ada perkara yang menyebabkan mereka berbuat sedemikian.

 

Sebelum kita menemui sebab musabab kenapa orang-orang ini lari meninggalkan negara mereka mari kita cuba memahami apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di Eropah sekarang.

 

Dari awal tahun 2015 kita mula terbaca berita tentang kapal-kapal nelayan tua dan rahai datang membawa orang pelarian dari benua Afrika. Awalnya yang datang hanya satu dua kapal.

 

Ada berita melaporkan kapal mereka dipukul ombak ganas lalu tengelam. Ramai diselamatkan dan ramai juga yang terkorban dalam Laut Tengah.

Yang selamat dihantar ke Itali untuk diberi pertolongan. Sambutan dari warga Itali kepada yang datang awal ini agak memberahikan. Menyelamatkan sesiapa sahaja dari tenggelam lemas adalah tanda kemanusiaan.

Eropah terkejut

Tetapi kini semuanya semakin berubah. Semenjak bulan Mac, ketika Laut Tengah tenang, cuaca musim bunga selesai dan musim panas telah sampai. Cuaca baik ini menjemput kapal nelayan penuh dengan orang pelarian untuk sampai ke Itali.

Kali ini bukan datang dengan kapal nelayan kecil. Beribu-ribu datang dengan kapal nelayan yang lebih besar. Kekerapan ini juga menambahkan jumlah warga yang tewas hilang mati dilanda ombak bertambah.

 

Hingga ke hari ini jumlah tepat yang hilang di Laut Tengah diketahui. Tidak diketahui berapa yang telah selamat memasuki Eropah. Orang pelarian ini juga mendarat di persisiran Malta dan Greece. Angka yang muncul di media hanya anggaran. Dilaporkan kini di Itali sahaja telah ada 50,000 orang pelarian dari pelbagai bangsa.

 

Tiba-tiba satu Itali jadi heboh. Jumlah yang ramai ini menjadikan warga Itali tertanya-tanya tentang apa yang sedang berlaku. Oleh kerana Itali heboh maka Eropah juga heboh. Media Eropah telah melaporkan ketibaan ‘orang hitam’ ini ke pantai-pantai Itali.

 

Media liberal dan kiri menunjukkan simpati terhadap pendatang. Tetapi media arus kanan membuat gempak dengan tajuk berita yang menakutkan. Warga asal Itali ini diberitahu, Eropah akan ditenggelami oleh orang kulit hitam.

Laporannya memperlihatkan bagaimana Selatan Eropah sedang “diserang” oleh orang-orang kulit hitam yang tidak diketahui hujung pangkal mereka.

 

Itali kini diserang oleh pelbagai bentuk jenis manusia yang berkulit hitam. Bukan sahaja hitam legam, mereka juga beragama Islam.

 

Maka Parlimen Eropah bersidang. Pemimpin negara Eropah – Cameron dan Merkel – dari London dan Bonn mula bersuara. Pelbagai pandangan dan cadangan mula diajukan. Politikus Eropah dari semua jalur berlabon.

 

Apa yang jelas negara Eropah tolak menolak. Ada cadangan untuk mengawal dengan tentera laut. Ada cadangan untuk mengawal sempadan dengan tentera udara.  Akhirnya timbul soalan dari mana duit hendak dicekau. Akhirnya cadangan tinggal cadangan. Mat Hitam bin Mat Legam terus masuk.

Punca sebenar

 

Berita akhir minggu ini yang saya baca dari akhbar liberal – The Guardian London – melaporkan kini lebih dari 500,000 orang pelarian dari pelbagai negara sedang menunggu kapal di Libya untuk belayar menuju ke pantai-pantai Eropah.

 

Ingat atau tidak apa yang berlaku dalam tahun 1974/75/76/77? Pada masa ini, ‘boat people’ tiba dari Vietnam. Mereka berkapal datang mendarat ke Pantai Timur Semenanjung. Pulau Bidong dan Pulau Babi Besar menjadi lubuk kubang mereka.

 

Bayangkan kali ini bukan dari Vietnam tapi warga China dari Tanah Besar. Mereka lari dengan menaiki kapal turun ke Asia Tenggara. Orang pelarian ini pasti  mendarat di pesisiran Vietnam, Siam, Filipina, Indonesia dan Malaysia.

 

Peristiwa seperti inilah yang sedang berlaku di Eropah. Satu benua Afrika sedang menunggu peluang untuk menerobos masuk ke Eropah.

 

Untuk saya, berita yang kita baca tentang orang pelarian ini tidak kompak dan tidak cukup. Analisis berita ini tidak tuntas.

 

Betul, dari satu segi apabila kita membaca berita warga Rohingya berkapal sampai maka sikap dan naluri kemanusiaan kita diduga. Hampir semua media menjadikan isu orang pelarian ini agenda kemanusiaan. Saya tidak menolak agenda kemanusian ini. Tetapi pada fikrah saya ianya lebih dari itu.

 

Biar saya terang sejelas mungkin. Pada hemat saya orang pelarian itu hanyalah manifestasi dari masalah yang lebih besar. Ada masalah induk yang wajib dituntaskan.

 

Contohnya demo yang diadakan oleh anak-anak muda #KitaLawan, atau demo Reformis. Demonstrasi itu hanyalah manifestasi untuk menentang kezaliman yang wujud. Ertinya ada perkara induk yang lebih besar di belakang manifestasi ini. Justeru, kezaliman adalah punca berlakunya demonstrasi. Tanpa kezaliman mustahil ada demonstrasi.

 

Bagitu juga dengan orang pelarian. Yang lari itu adalah manifestasi dan simptom dari penyakit yang lebih besar. Penyakit inilah yang tidak pernah diusik atau dilakar atau dianalisis secara tuntas dan menyeluruh. Media dunia gagal melihat orang pelarian ini dengan kaca mata yang syumul.

Penyelesaian sementara

 

Bila warga Rohingya mula mendarat kita menjadi kelam kabut. Lalu kita bersedekah makanan dan pakaian. Kita tonjolkan sikap kemanusiaan kita. Kita doakan mereka selamat. Kita mengharap diri kita tidak akan menjadi seperti mereka.

Ini samalah seperti kita sakit kepala, lalu menelan pil, maka hilanglah sakit kepala itu. Sebenarnya kita melalikan saraf agar kita tidak merasa  kesakitan.

Sakit kepala itu masih wujud, hanya kita yang tidak terasa. Pelarian Rohingya masuk ke dalam kapal meneruskan pelayaran. Bila mereka beredar kita tidak nampak mereka lagi. Tapi hakikatnya masalah mereka tidak selesai.

 

Dalam masa yang sama untuk yang percaya kepada agama, kedatangan Rohingya ini satu peluang untuk beramal jariah dengan harapan akan mendapat pulangan di syurga nanti. Ada kumpulan yang gembira dengan ketibaan orang pelarian ini. Mereka boleh melabur membuat pahala.

 

Pakaian, duit, makanan dan ubatan – semuanya membantu. Semua tanda-tanda kemanusian. Semua ini amal jariah yang baik. Tetapi untuk saya ini tidak akan menyelesaikan masaalah. Semua ini hanya akan menjadi berita akhbar dan TV. Tidak lebih dari itu.

 

Maka kita akan lihat para politikus dan para mamat dan minah NGO membuat heboh dalam media. Mereka ke hulu ke hilir mengutip dana bantuan. Ini juga tidak salah. Ini kerja baik. Tetapi, yakinlah ini tidak akan menyelesaikan masaalah.

 

Mari kita kembali melihat apa yang sedang berlaku di Eropah. Canselor Merkel bertelagah dengan Cemeron, PM Britain. Merkel mahu mewujudkan kuota untuk setiap negara Eropah menerima orang pelarian.

Ini dibantah oleh PM Cameron yang berkata, “jika kuota wujud, ini akan menjemput lebih ramai pelarian datang...” Dua negara berpengaruh di Eropah tidak sepakat apabila melihat orang pelarian.

Siapa tokan sebenar?

 

Ketika tulisan ini digarap, cuaca molek di Laut Tengah amat molek. Cuaca molek ini membolehkan saban hari 3000 orang pelarian cuba menerobos masuk ke Eropah dari Libya. Antara pantai Libya dengan pantai Itali jaraknya hanya 250 kilometer. Ini sejauh Kuala Lumpur ke Ipoh.

 

Kerana jarak yang amat dekat maka pada ketika ini ada lebih dari setengah juta orang pelarian sedang menunggu di Libya.

 

Kenapa Libya? Apa dia Libya? Bila sebut sahaja nama Libya atau nama kota Benghazi saya menjadi marah. Bila saya membaca analisis tentang orang pelarian ini yang mengaitkan nama Libya sebagai pusat menyeludup, saya bertambah marah.

 

Saya marah kerana tidak ada pun satu tulisan yang memberi analisis tuntas tentang kenapa Libya dan apa itu Libya.

 

Bulan lalu The Guardian London menghantar wartawan siasatan untuk mencari berita tentang cara dan bagaimana penyeludupan ini diatur. Siapa tokan besar?

Pak haji mana jadi tokan tengah, dan ustaz mana jadi tokan kecil? Di bandar mana bakal pelarian wajib berhimpun dan hotel mana wajib menginap? Laporan ini menarik dan ia membuatkan saya marah.

 

Saya menjadi marah kerana setiap laporan berita tentang orang pelarian tidak dilakar sebab utama yang membawa orang pelarian ke Libya. Kenapa Libya dipilih? Siapa tokan sebenarnya?

 

Kenapa sekarang Libya menjadi pusat penyeludupan? Kenapa sebelum ini tidak ada penyeludupan dari Libya. Apa sebenarnya yang sedang berlaku di Libya sekarang?

Jika jawabnya Libya sedang dalam peperangan. Maka soalan berikutnya ialah siapa yang memulakan perang? Siapa di belakang perang ini? Apakah perang hanya di Libya?

Lihat Komen
ADS