Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya telah bertanya apa sebab musabab yang menjadi punca timbulnya orang pelarian. Hari ini Eropah dikatakan sedang menghadapi krisis apabila kapal nelayan dari Afrika yang membawa orang pelarian tiba di sana.

Kita di Malaysia sedang berhadapan dengan orang pelarian Rohingya. Australia juga berhadapan dengan penyuludupan orang pelarian dari Indonesia.

Untuk menyelesaikan satu-satu masalah kita wajib mencari sebab musabab dan punca penyakit itu. Jika gagal menemui punca, maka masalah itu tidak akan dapat diselesaikan.

Saya yakin untuk orang Melayu di Malaysia, orang pelarian pertama yang mereka kenali pastilah warga Palestin. Warga Melayu Islam mengenal Baitulmaqdis, kota dalam wilayah Palestin.

Kota ini adalah kiblat pertama Islam. Justeru kota dalam bumi Palestin ini menjadi imaginasi pertama orang pelarian untuk orang Melayu.

Anggapan ini salah. Seharusnya bukan warga Palestin yang pertama menimbulkan istilah orang pelarian. Dalam kitab Salatus Salatin atau Sejarah Melayu kita tahu bahawa Parameswara juga adalah orang pelarian dari Palembang. 

Beliau lari ke Temasek dan kemudian lari ke Melaka. Malah kalau kita ke Kelantan atau Terengganu kita akan bertemu warga dari Patani wilayah Selatan Siam.

Malah Datuk saya sendiri juga orang pelarian dari Chenor Pahang. Datuk saya membuka tanah di Jelebu dan menamakan kampong itu kampong Chenor – nostalgia kepada kampung asal.

Apa yang ingin saya hujahkan di sini, sama ada Parameswara, warga Petani atau Datuk saya, semuanya lari dari perang. Parameswara lari diburu oleh soldadu Majapahit. Warga Petani lari dari serangan Siam. Datuk saya lari dari Perang Bahaman.

Amat jelas perang menghuru-harakan kampung halaman. Demi keselamatan kaum keluarga, sang ayah dan sang ibu anak-beranak lari ke wilayah yang lebih selamat.

Kunci orang pelarian ialah wilayah yang lebih selamat.  Semua orang pelarian lari dari kampung halaman yang huru-hara ke wilayah yang lebih selamat. Mencari tempat selamat adalah naluri azali manusia.  

Saya cukup yakin bahawa tidak ada sesiapa yang akan berduyun-duyun lari dari tanah tumpah darah mereka ke satu wilayah baru untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk kesusahan.

Pelarian ini membawa harapan menuju ke wilayah yang lebih selamat walau tidak ada apa-apa jaminan bahawa wilayah selamat ini akan dibuktikan selamat.

Terbukti orang pelarian meninggalkan kampung halaman kerana mereka berhadapan dengan bencana perang. Di hadapan mereka kematian, ledakan dan kemusnahan. Justeru mereka lari untuk selamat.

Sahihlah perang adalah penyebab utama yang menetaskan orang pelarian. Kerana itu kita wajib memahami perang. Apa sebenarnya perang? Kenapa manusia berperang? Gagal memahami perang maka kita gagal memahami orang pelarian secara tuntas.

Untuk saya, orang pelarian ini hanyalah manifestasi dari masalah yang lebih besar. Masalah besar ini  ialah perang. Perang menjadi punca orang pelarian

Perang di Palestin memunculkan orang pelarian di Lubnan dan Jordan. Perang Vietnam memunculkan ‘boat people’. Perang di Afghanistan, India, Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Somalia, Iran, Syria, Burundi, Congo, Bosnia dan dan dan... semua melahirkan orang pelarian. Inilah yang sedang dihadapi oleh dunia hari ini.

Justeru kenapa berperang jika ianya memunculkan masalah orang pelarian?

Perang sebenarnya ialah perundingan dua kumpulan yang telah gagal. Kerana gagal di meja perundingan maka kumpulan ini akan berperang. Dari zaman berzaman perang sebenarnya ialah perebutan punca-punca ekonomi.

Dua kumpulan pada awalnya akan berunding untuk membagi-bagi punca ekonomi. Apabila perundiangn ini gagal maka perang akan meletus.

Sejarah perang dunia ialah sejarah perebutan punca ekonomi. Perang dua pertama dan kedua bertujuan untuk merebut bahan galian, telaga minyak, lombong emas, kawasan bumi, kayu kayan, tanah jajahan dan pasaran.

Untuk memahami dengan lebih sempoi, dua negara yang berperang sama saperti dua kumpulan samseng yang berebut kawasan untuk memungut ‘duit pau’, kawasan judi, merebut kawasan pelacur atau merebut kawasan pasaran dadah.

Agama, bangsa, bahasa, demokrasi dan nasionalisme hanya alat untuk mengolah persetujuan untuk menyokong perang.

Hari ini Itali dan Eropah menjadi huru-hara kerana ketibaan orang pelarian dari Libya. Setiap hari media Eropah akan melaporkan berita ketibaan kapal nelayan ke pesisiran pantai di Itali.

Hampir kesemua kapal ini memulakan perjalanan dari Libya. Dilaporkan 500,000 anak semua bangsa dari pelbagai negara sedang berkampung di Libya dan menunggu masa dan ketika untuk menyeberang Laut Tengah ke Eropah.

Fakta membuktikan bahawa kesampaian orang pelarian dari Libya ini hanya bermula sesudah Gadaffi dibunuh dan sesudah negara Libya dibom oleh kapal terbang NATO. Libya diserang dan berperang.

Libya ketika ini dalam keadaan huru-hara tanpa kuasa daulah, tanpa polis, tanpa kastam, tanpa sempadan maka dari sinilah bermulanya penyeludupan dan jual beli manusia.

Libya dijadikan wilayah permulaan ke Eropah kerana Libya tidak berkerajaan lagi. Juga pantai Libya hanya 250 kilometer dari wilayah Itali. Dua perkara ini menjadikan Libya satu tarikan untuk menyeludup orang pelarian.

Orang pelarian di Libya ini datang dari Syria, Congo, Somalia, Nigeria, Afghanistan, Pakistan, Palestin, Yemen dan Iraq. Hakikatnya, bakal orang pelarian ini datang dari negara yang sedang berperang.

Kalau perang menjadi punca orang pelarian mengapa negara terus berperang. Ini satu soalan yang logik. Sebelum menjawab soalan itu mari kita lihat sejarah Perang Dunia.

Dalam Perang Dunia Pertama seramai 17 juta orang terkorban – 10 juta soldadu dan 7 juta orang awam, manakala 20 juta cedera.

Dalam Perang Dunia Kedua 80 juta gugur. Seramai 22 ke 25 juta soldadu gugur termasuk 5 juta tahanan perang. Di Rusia sahaja terkorban 20 juta warga.

Semasa Perang Indo-China pula, 3 juta orang gugur. Jumlah korban Perang Iraq mencecah seramai 1 juta lebih dan masih bertambah.

Afghanistan, Yemen dan Syria angka yang gugur terus bertambah setiap hari hingga ke hari ini. Belum nampak noktah penamat.

Apakah manusia tidak sedar akan fakta perang ini?

Soalan yang patut ditanya bukanlah mengenai kefahaman atau kesedaran tentang bahana perang. Untuk memahami kenapa perang yang melahirkan orang pelarian dan kemusnahan terus berlaku, kita wajib memahami hukum sosial masyarakat hari ini.

Peperangan wujud sejak awal sejarah tamadun manusia. Perang dan manusia berperang ini adalah hukum sosial yang lahir daripada sistem ekonomi kapitalis.

Salah satu dari rukun iman sistem ekonomi kapitalis ialah perang. Sistem ekonomi kapitalis memerlukan perang. Tanpa perang sistem ekonomi kapitalis tidak dapat berkembang.

Hari ini kita membaca akhbar atau melihat di kaca TV bagaimana bencana perang sedang berjalan. Kemusnahan dan kematian dilaporkan saban hari.

Tanpa sedar kita menjadi lali apabila melihat perang yang tidak putus-putus. Justeru, kita gagal untuk melihat secara tuntas kenapa perang pecah.

Perang di Iraq dikatakan untuk demokrasi. Perang di Afghanistan dikatakan untuk melawan pengganas.

Perang di Libya dikatakan untuk membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada warga  Libya. Hujah yang sama juga digunakan untuk perang di Syria.

Malah Amerika – kuasa imperialis dunia – kini menjalankan dasar 'war on terror' atau perang melawan keganasan.

Sebenarnya di belakang semua perang dahulu dan sekarang ini ialah perebutan punca-punca ekonomi. Sebelum Jepun masuk Perang Dunia Kedua, Britain telah menyekat Jepun membeli getah dari Tanah Melayu yang pada ketika itu tanah jajahan British.

Iraq diserang kerana majoriti telaga minyak Iraq dimiliki oleh syarikat negara Iraq, bagitu juga di Libya. Afghanistan diserang kerana negara ini memiliki gas dan pelbagai logam.

Malaysia menjadi arah tuju warga Rohingya baru-baru ini. Mereka melarikan diri dari Myamar. Tidak perlu mengkaji dalam – kita akan mendapati bahawa Rohingya melarikan diri kerana tanah air mereka kacau bilau.

Kacau-bilau muncul kerana ada kumpulan atau bangsa lain yang mahukan tanah kampung mereka. Sekali lagi terbukti bahawa tanah  ialah punca ekonomi.

Pada ketika ini warga Itali dan warga Eropah menjerit-jerit marah kerana ramai orang hitam datang  menerobos masuk ke negara mereka.

Sebelum mereka marah adalah lebih baik mereka memahami  kenapa orang hitam ini sampai dengan berkapal-kapal.

Warga Eropah yang bising menentang kemasukan orang hitam ke negara mereka hanya memahami kedudukan separuh jalan.

Mereka secara sedar atau sengaja tidak mahu sedar bahawa yang membawa orang hitam ke Paris, Lodon, Milan atau Rom ialah perang.

Perang ini dilakukan oleh kuasa imperial Amerika. Kuasa imperial Amerika dibantu oleh negara sekutu dalam NATO.

Siapa NATO yang menjadi sekutu Amerika ini? Negara NATO termasuk Itali, United Kingdom, France, Turki dan Sepanyol. Justeru masalah orang pelarian yang menerobos masuk ke negara mereka berpunca dari mereka sendiri.

Sebelum warga Itali marah melihat muka orang hitam, mereka wajib melihat muka mereka di cermin dahulu. Ini kerana yang memulakan perang dalam dunia hari ini ialah muka berkulit putih.

Lihat Komen
ADS