Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apakah insiden 'rusuhan telefon bimbit' yang berlaku pada 12 Julai dan pagi 13 Julai di Plaza Low Yat lalu akan mengancam kebebasan menyatakan di Internet dan media sosial tidak lama lagi?

Ura-ura itu kelihatannya ada memandangkan terdapat saranan daripada Perdana Menteri, Najib Razak yang menekankan 'kebebasan melampau' tersebut perlu dikaji:

“W e have freedom on social media so there’s a problem because it’s too free in this instance, so this is something that should be thoroughly researched.”

'Rusuhan telefon bimbit' itu berlaku ekoran seorang pemuda dikatakan mengunjungi sebuah kedai di Plaza Low Yat untuk membeli telefon bimbit Lenovo S860 bernilai RM799.

Rakaman CCTV menunjukkan terdapatnya kejadian kecurian dan rentetan dari itu berlakulah kejar-mengejar yang mana peniaga telefon bimbit di kedai lain berjaya menangkap suspek itu, dan menyerahkannya kepada polis. Tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut, rakan-rakan suspek menyerbu ke pusat beli-belah tersebut lantas menyerang kedai di mana pekerjanya membantu memberkas suspek. Serta-merta ketegangan terjadi di luar Plaza Low Yat membawa ke tengah malam. Sekelip mata pergaduhan tercetus di antara dua kumpulan, dan hanya reda beberapa jam kemudiannya selepas polis mengarahkan kumpulan yang ramai di luar premis itu bersurai.

Terdapat satu hal yang jelas di sini, yakni polis menafikan kejadian itu bermotifkan perkauman. Pihak berkuasa juga memperakukan bahawa kejadian itu bukan berpunca dari penipuan yang didakwa dilakukan oleh penjual telefon bimbit, sebaliknya ia kerana satu kecurian.

Namun demikian, apa yang kita saksikan dalam kejadian itu adalah versi media sosial yang terseleweng maklumatnya, dengan tokok dan tambah sehingga membangkitkan kemarahan segelintir pihak di media sosial. Kemarahan itu diterjemah dengan segera menjadi satu bantahan dan seterusnya perkelahian yang melibatkan belia dan kumpulan Melayu.

Ketegangan yang timbul dari dua kumpulan bergaduh itu memaksa polis menghantar anggota penguatkuasaan tambahan ke kawasan Bukit Bintang bagi mengawal keadaan. Sehingga kini terdapat laporan yang penulis blog Papagomo didakwa menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan pergaduhan di Plaza Low Yat itu.

Kembali kepada saranan perdana menteri untuk mengekang atau mengkaji semula kebebasan maklumat di media sosial ekoran kejadian ini, sesuatu yang harus diambil kira adalah hak untuk mendapatkan maklumat termasuk menerusi media sosial adalah hak asas. Dalam sebuah negara demokrasi, sebarang peruntukan undang-undang untuk mengekang kebebasan menyatakan dan mendapatkan maklumat hendaklah dilakukan menerusi proses demokratik, dirancang penuh hati-hati dengan penglibatan masyarakat sivil dan dilaksanakan secara telus.

Kebebasan media sosial adalah satu hak asas tiap-tiap warga yang disahkan oleh resolusi 20/8 dan 26/13, dan diterimapakai secara konsensus oleh UN Human Rights Council pada bulan Julai 2012 dan Jun 2014, termasuk resolusi 68/167, yang diterimapakai juga secara sebulat suara oleh UN General Assembly pada bulan Disember 2013. Oleh sebab itu, adalah tidak wajar insiden telefon bimbit yang diapikan oleh seorang dua penghasut menjadi alasan untuk melakukan pengekangan di media sosial. Kita tidak membakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk terlepas masuk ke dalamnya.

Justeru, dalam era yang mana pengganas boleh menceroboh masuk ke dalam sistem web keselamatan negara, apakah yang boleh dan yang tidak boleh dalam hal ini? Ini perlu dilihat memandangkan kita tidak mahu insiden remeh tersebut berulang dan mengangakan luka perkauman yang parutnya mudah terpokah itu.

Menurut Heidi Burgess dan Michelle Maiese dari University Colorado dalam artikel mereka berjudul Rumor Control , keperluan untuk mengawal khabar angin memang dituntut dalam era digital.

Dalam menguruskan khabar angin, mereka menyatakan terdapat tiga keperluan asas yang perlu diperhitungkan iaitu i) satu mekanisme khas diperlukan untuk mengesan apakah khabar angin yang sedang tersebar; ii) satu strategi efektif diperlukan dalam menyaring apakah khabar angin yang benar, dan apa pula yang palsu; iii) akhir sekali satu mekanisme diperlukan untuk membetulkan khabar angin ini dan menggantikannya dengan maklumat yang betul dan lebih tepat. Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah komitmen negara kita terhadap kovenan-kovenan antarabangsa masih longgar.

Justeru kita tidak boleh begitu mengharap Malaysia akan akur misalnya dengan 'The Council’s Additional Protocol to the Convention on Cybercrime, concerning the criminalisation of acts of a racist and xenophobic nature committed through computer systems' yang mana ia meletakkan garis-garis tertentu yang perlu dilaksanakan dan dipatuhi berkait jenayah perkauman dan xenofobia seperti yang terdedah kepada kita di Internet. Setakat ini pun hanya dua puluh buah negara telah menandatangani protokol tersebut menunjukkan penerimaan terhadap perkara ini masih di peringkat awal.

Berkait dengan cadangan Heidi Burgess dan Michelle Maiese di atas, mengambil kira rapuhnya keadaan Malaysia yang rencam budaya, bangsa dan agama, pihak berkuasa bolehlah menubuhkan sebuah pasukan kawalan khabar angin. Pasukan ini bagaimanapun bukanlah di bawah pihak berkuasa polis sebaliknya dianggotai oleh masyarakat sivil dan mereka perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa. Pengesan khabar angin ini akan bertindak menyaring kebenaran atau kepalsuan khabar angin dan seterusnya diberi autoriti untuk membetulkan fakta yang sedang tersebar di media sosial. Mekanisme begini akan membolehkan keadaan atau bibit awal krisis diurus dengan telus. Ia juga perlu bebas dari pengaruh parti politik dan campur tangan kerajaan dan tidak boleh dieksploitasi oleh pihak beragenda secara sewenang-wenang.

Setakat ini, Amerika Syarikat telah melaksanakan pasukan khas ini dan ia diletakkan di bawah sistem kehakiman yang tidak boleh dipengaruhi orang politik. Pasukan penyiasat khabar angin ini berfungsi di bawah United States Community Relations Service sebuah agensi di bawah US Department of Justice.  Pasukan pengurus khabar angin ini akan berfungsi serta-merta sebaik sahaja mereka diberi maklumat terdapatnya cerita atau khabar yang dikhuatiri palsu. Mereka akan bertugas menyiasat kebenarannya. Satu pelan yang teratur juga diatur untuk kes yang mana penyiasatan akan menempuh keadaan 'inconclusive'. Dalam erti kata lain, pasukan penyiasat khabar angin ini mestilah mereka yang jelas dan mahir dengan kes, serta adil dan telus. Langkah seterusnya adalah pasukan ini akan membuatkan atau mendedahkan pengetahuan atau siasatan mereka itu kepada publik.

Mereka perlu menjelaskan kiranya tiada kepastian tentang sesuatu kejadian, mereka juga perlu menyampaikan apa yang diketahui, apa yang tidak dan apa yang masih disiasat. Mereka juga akan mendedahkan variasi khabar angin dan menunjukkan lojika atau naratif putus yang menjadikan versi itu lebih sah atau lemah. Tugas pasukan ini tidak berakhir di situ, mereka akan melakukan satu pelan membetulkan keadaan. Paling mustahak semua ini mesti dilakukan dengan komunikasi yang meluas, berkesan dan secara pantas. Sudah tentu media sosial memain peranan penting untuk itu.

Pasukan penyiasat khabar angin ini bukanlah sebahagian dari pihak berkuasa polis tetapi mereka boleh bekerjasama dengan pihak polis jika perlu. Ini kerana di Amerika Syarikat, terdapatnya kesangsian terhadap polis yang kerap bias khusus terhadap kaum minoriti kulit hitam, latino dan penganut Islam.

Di Malaysia, negara kita yang tradisinya tepu dengan birokrasi, pihak masyarakat sivil boleh bertindak sendiri secara sukarela menubuhkan pasukan penyiasat khabar angin ini. Dalam maksud lain, masyarakat sendiri menjadi pengawal kesejahteraan kehidupan mereka dan memantau sebarang keadaan yang tidak diingini. Pasukan ini sebagai contoh boleh dianggotai oleh ahli pelbagai agama dan bangsa dan terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan. Penglibatan orang awam lebih telus dan lebih dekat dengan rakyat. Kawasan kediaman, pekan atau bandar, kampung atau taman perumahan yang populasinya adalah rencam boleh mengatur sendiri pasukan khas ini. Ia adalah penggembelengan sosial kapital dalam kalangan rakyat sendiri. Ia boleh dilaksanakan secara mikro oleh persatuan penduduk, kelab sukan, jemaah surau, malah persatuan ibu-bapa dan guru.

Aku berpandangan pasukan khas ini akan amat efektif dalam keadaan negara kita yang terdedah kepada api perkauman, dan agama. Sebagai contoh, pernah berlaku di Kuwait, seorang warga Syiah telah mengutus Twitter yang menghina sahabat Nabi dan Saidatina Aisyah. Pasukan khabar angin dalam kalangan masyarakat Syiah sendiri telah memberkas warga tersebut dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Ini membolehkan ketenteraman antara sekte atau mazhab dikawal di Kuwait. Sehingga apabila Masjid Imam Sadiq diserang ISIS baru-baru ini di Kuwait, masyarakat Sunni sendiri menjadi pelindung kepada komuniti Syiah dan turut hadir beramai-ramai untuk solat berjemaah di sana. Solidariti mereka ternyata solid dan prasangka antara mazhab (dalam hal kita kaum dan agama) dapat dikurangkan kepada kadar yang munasabah.

Inilah cadanganku iaitu pasukan khas menyiasat khabar angin ini diperlukan di Malaysia. Harapannya ketegangan kaum, dan agama yang agak sering kita tempuhi sejak lima tahun ini dapat diselia rapi dengan lebih berkesan dan dipercayai oleh masyarakat. Usahlah kita menyempitkan kebebasan bersuara dalam Internet, kita hanya perlu menjadi bertambah bijak mengurusnya. Sekali lagi aku tekankan, kita tidak membakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk terlepas masuk ke dalamnya. Yang kita perlu lakukan, kita katuk nyamuk seekor itu.

Lihat Komen
ADS