Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berapa kali gua sudah cakap Malaysia ini negara Dunia Ketiga. Dalam negara Dunia Ketiga macam Malaysia, semua boleh berlaku, semua boleh berjalan. Yang pelik jadi benar. Yang benar jadi salah. Yang mustahil tiba-tiba wujud depan mata.

Nama Altantuya Shaariibuu tiba-tiba hilang dari data imigresen. Cari punya cari tetapi tak jumpa. Fakta bila Minah Mongolia ini mendarat di KLIA kita tak tahu. Pelik bin Hairan. Tapi ini Malaysia. Berapa kali gua mahu cakap?

Najib yang dituduh curi duit 1MDB, gua pula yang ditangkap. Gua pula masuk lokap Jinjang. Gua pula yang dituduh antidemokrasi. Yang dituduh mencuri tidak ditangkap tetapi gua pula kena tangkap. Ini Malaysia. Berapa kali gua mahu cakap.

Kita jangan silap apabila membaca politik Malaysia. Negara kita ini adalah negara Dunia Ketiga. Memang betul kita ada LRT, KLIA, KLCC – semua betul. Tetapi semua ini hanyalah infrastruktur, semua ini bangunan. Bangunan ini bukan lembaga yang melahirkan nilai tamadun – budi bahasa.

Nilai tamadun yang gua maksudkan ini adalah nilai menghayati salah benar. Nilai apa yang betul dan apa yang tidak betul. Dalam  agama nilai ini diistilahkan kepada apa yang halal dan apa yang haram atau dilarang.

Kes dana 1MDB ini membuka pekung kita semua dan memaksa kita menilai diri kita sendiri. 1MDB sedang memaksa rakyat Malaysia memilih antara kejujuran dan pembohongan. Antara kebenaran dan kekufuran. Antara yang hak dengan yang batil.

Memang betul sebelum kes 1MDB ada kes Bank Bumiputera Hong Kong (1983), kes Perwaja (2002) dan kes PKFZ (1999). Tetapi 1MBD ini bukan Bank Bumi, bukan PKFZ. Hakikatnya kes Bank Bumi, PKFZ, Perwaja ini semuanya adalah rompakan harta negara. Tetapi amat berbeza dengan rompakan 1MDB.

Ia adalah kes penyundalan yang maha besar. Kes penyundalan duit orang ramai yang maha hebat. Ia melibatkan jumlah yang amat-amat memeranjatkan. Pada awalnya, dilaporkan sebanyak 42 bilion ringgit lesap gelap.

Seterusnya dalam laporan media muncul pula nama jantan China bernama Jho Low dan jaringan ahli perniagaan yang luar dari biasa.

Kemudian dilaporkan akaun AmBank bernombor 211-202-201-1880 dan 211202-201-1906 telah menerima duit sebanyak 700 juta dolar Amerika, bersamaan dengan nilai 2.6 bilion ringgit Malaysia.

Akaun ini, mengikut laporan media, dimiliki oleh seorang lelaki bernama Najib Razak. Berapa kali gua mahu cakap tapi lu tak percaya.

Lelaki bernama Najib bin Razak di atas kertas disahkan sebagai suami kepada Rosmah Mansor. Lelaki yang bernama Najib Razak ini juga sah bekerja sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia. Najib Razak ini juga sah bertugas sebagai pengerusi  lembaga penasihat 1MDB.  

Dari sini gua mula faham dan jelas. Gua harap pembaca juga akan mula faham. Nombor akaun peribadi di AmBank itu sah dimiliki oleh Najib bin Razak. Berapa kali gua mahu cakap. Lu masih tak percaya ke?

Ada dua pekara yang wajib gua terangkan di sini. Pertama: Membuka bank akaun di AmBank atau di mana-mana bank bukan satu jenayah. Kedua: Menerima masuk duit dalam bank akaun peribadi juga bukan satu jenayah.

Kalau semua bukan jenayah, apa yang menjadi kesalahan Najib Razak? Sabar dulu nanti gua jelaskan.

 

Apa yang memeranjatkan ialah pada 4 Julai 2015, timbul laporan mengenai serbuan atas arahan peguam negara ke atas anak syarikat 1MDB. Anak syarikat ini ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Peguam negara bersama SPRM, PDRM dan Bank Negara adalah badan rasmi yang ditubuh sebagai pasukan petugas khas untuk menyiasat kes 1MDB termasuk kes duit masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak.

Kerana itu gua merasa pelik. Gua tak tahu apa pun tentang syarikat-syarikat ini tapi gua pula kena tangkap dan masuk lokap Jinjang.  Lu masih tak percaya lagi?

Gua tak tahu bilakah pasukan petugas khas ini diwujudkan. Tetapi apa yang gua tahu, badan ini mula mendapat liputan media tempatan apabila sebuah  akhbar – The Wall Street Journal (WSJ) yang berpusat di New York membuat laporan tentang Malaysia. Laporan ini antara lain telah menunjukkan duit sebanyak 700 juta dolar telah masuk ke dalam bank akaun Najib Razak.

Rupa-rupanya Najib Razak yang dimaksudkan oleh WSJ itu ialah perdana menteri Malaysia. Maka Najib Razak meledak marah. Najib mahu menyaman akhbar WSJ ini. Heboh satu Malaysia. Lebih heboh dari Jom Heboh. Tapi nampaknya heboh Najib ini hanya ‘hot hot chicken shit’ – hangat-hangat tahi ayam. Sampai hari ini Najib Razak tidak menyaman akhbar WSJ .

Jika tidak disaman maknanya apa yang ditulis oleh WSJ adalah betul, tepat dan bukan fitnah atau tohmah. Kalau fitnah atau tohmah pasti Najib Razak yang dibogelkan oleh WSJ sebagai penyamun dan perompak di mata dunia akan menyaman.

Itu pasal gua hairan kenapa gua kena tangkap. Duit berbilion-bilion masuk ke akaun Najib Razak, tapi kenapa gua kena masuk lokap Jinjang? Lu sudah faham sekarang?

Kes pecah amanah

Membuka bank akaun tak salah. Masuk duit dalam bank akaun tak salah. Jadi apa sebenarnya yang salah? Apa kesalahan Najib Razak yang begitu besar hinggakan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin diterajang keluar. Muhyiddin diterajang keluar kerana mahu  bertanya secara terbuka tentang duit 1MDB dan wang 2.6 bilion ringgit yang lesap.

Perkara yang perlu disiasat dalam kes Najib Razak ialah kesalahan pecah amanah. Kes 1MDB ialah kes pecah amanah. Bukti kesalahan ini perlu ditemui dan dikumpulkan oleh pasukan petugas khas.

Duit 700 juta dolar atau 2.6 bilion ringgit  yang masuk ke dalam akaun Najib ini perlu disiasat sama ada berpunca dari anak syarikat 1MDB. Syarikat 1MDB ini milik kerajaan maka anak syarikat 1MDB juga pastilah milik kerajaan. Syarikat milik kerajaan bermakna duit modal menubuhkan syarikat 1MDB ini  datang dari kita semua – dari duit cukai rakyat.  

Adalah satu kesalahan pecah amanah jika duit syarikat – sama ada milik kerajaan atau milik swasta – masuk ke dalam akaun peribadi kita, selain dari gaji atau menerima upah.

Mustahil 2.6 bilion ringgit ini duit gaji Najib Razak yang bertugas sebagai sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.  Lalu gua bertanya berbilion masuk ke dalam akaun Najib, tetapi kenapa gua pula masuk lokap?

Pada ketika gua menulis tulisan ini, Najib Razak untuk sementara waktu telah selamat. Najib telah menendang Muhyiddin Yassin dan melantik Zahid Hamidi sebagai ganti. Badan penyiasat Parlimen, PAC, juga telah dirosakkan oleh Najib. Empat ahlinya telah dilantik masuk menjadi menteri. Peguam negara pula diberhentikan secara tiba-tiba.

Tetapi yakinlah kes 1MDB ini tidak akan hilang dari tajuk perbincangan orang ramai. Semua orang akan terus bertanya, duit sebanyak 2.6 bilion ringgit itu ke mana hilangnya?

Biar gua berkisah – gua ditangkap salepas gua makan dim sum di Seksyen 14 Petaling Jaya, Sabtu lalu. Gua ditahan betul-betul depan restoran. Kali ini gua tidak diculik. Yang menangkap gua itu adalah pegawai polis yang gua kenal. Pegawai ini telah tiga kali menangkap gua. Dia ini dari tim Tukang Tangkap.

Gua dimasukkan dalam sebuah kereta besar. Duduk di belakang  gua seorang mamat India dengan alat kamera. Gua diapit oleh dua jantan berbadan besar – di kiri jantan India, di kanan jantan Melayu Pegawai Tukang Tangkap duduk di sebelah pemandu. Semua polis pakai baju biasa.

Dalam perjalanan ke rumah pasung Petaling, sambil ketawa mesra gua diminta terangkan ke mana perginya duit 2.6 bilion ringgit itu?

Gua mula tak percaya. Gua ingat polis yang menangkap gua ini semua sokong Najib. Gua salah. Mereka pun hairan dan tertanya-tanya ke mana lesapnya 2.6 bilion ringgit. Kenapa yang mencuri tidak ditangkap? Kenapa gua pula ditangkap? Lu tak percaya? Lu jumpa polis lu tanya sendiri.

Lihat Komen
ADS