Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Telah hampir satu bulan kita dijala jerebu. Kalau ikan dalam sungai terperangkap dalam bubu selama kita diperangkap jerebu pasti ikan ini telah lama mati.

Tetapi kita bukan ikan. Kita manusia. Saya betulkan – kita bukan sahaja manusia tapi kita manusia moden.

Kerana kita manusia moden maka kita dalam jerebu. Lalu timbul satu perasaan pada ketika ini. Saya merasakan saya memiliki masalah dengan kemodenan.

Ertinya, saya sosok moden yang bermasalah dengan kemodenan. Moden bermakna “yang baru”. Kemodenan bermakna membawa “pembaharuan”.

Masuk ke zaman moden ini memberi makna kita meninggalkan yang lama. Kita merayakan sosok peribadi – individualiti. Kita merayakan kebebasan. Kita menyambut kemajuan teknologi.

Kita meninggalkan zaman feudal. Kita meninggalkan sistem pertanian feudal. Kita menyambut dan merayakan sistem ekonomi kapitalis.

Maka dalam tulisan ini, sekali lagi saya membawa ayat-ayat songsang. Sekali lagi saya membawa surah-surah sesat.

Kali ini surah songsang dan ayat sesat akan dikahwinkan pula oleh perasaan pesimis. Saya merasa bagitu pesimis bahawa kita telah tidak ada jalan keluar dari perangkap jerebu ini.

Saban tahun kita dijala. Saban tahun kita diperangkap. Dari tahun ke tahun, jerebu semakin lama menghantui kita semua.

Maka, saya cukup yakin yang membawa jerebu ini adalah kemodenan. Pada hemat saya jerebu ini adalah hasil dari dunia moden.

Dulu ketika saya membesar tidak pernah kedengaran apa itu itu jerebu. Justeru, kerana ini saya mula merasa pesimis terhadap kemodenan. Pesimis bermakna putus asa.

Pesimis bermakna kecewa. Ertinya - saya putus asa dan kecewa dengan kemodenan. Saya kecewa dengan pembaharuan yang dibawa oleh moden.

Manusia moden keluar dari zaman kuno dengan angkuh sekali. Kita meninggalkan zaman feudal untuk memasuki zaman moden dengan sorak-sorai yang gegak-gempita. Kita merasa bangga apabila manusia moden telah berjaya memahami hukum alam.

Ilmu pengetahuan kita melimpah ruah. Semua bidang keilmuan kita cipta, kita buka dan kita teroka. Hukum hukum alam ditemui dan kita kaji. Manusia moden meyakinkan diri mereka bahawa semua penemuan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan umat manusia sedunia.

Pada awalan tamadun moden, manusia moden menemui pelbagai penemuan dari kajian hukum-hukum alam. Manusia moden mewujudkan pelbagai bentuk benda baru. Pelbagai rekaan moden.

Setelah memahami hukum alam, manusia moden telah mencipta pelbagai ciptaan. Dari ciptaan ini manusia moden merasa mereka memiliki kuasa untuk menguasai alam. Tidak cukup dengan penemuan ini, manusia moden mula bergerak untuk menundukkan alam.

Sekali imbas memang betul moden membawa keselesaan. Saya tidak lagi terkial-kial menggosok kolar baju saya dengan sabun dan berus sabut. Mesin basuh dan sabun debu telah memberi keselesaan yang amat sangat.

Saya teringat lagi, sehingga tahun 1974 bila saya pulang ke Jelebu, setiap petang saya akan memasang lampu pelita minyak api. Saya juga wajib menimba air diperigi jika saya mahu mandi. Kemodenan telah membawa air dan api ke kampung saya.

Seharusnya saya bersyukur kerana begitu banyak masa dan tenaga telah diselamatkan. Kehidupan moden telah membawa keselesaan. Tapi manusia moden tidak akan merasa puas hanya dengan air dan api.

Projek manusia moden menundukkan alam ini telah bermula 200 dahulu. Ianya bermula dengan pembakaran arang batu dan enjin wap. Ia dimulakan oleh era revolusi industri. Lima dekad kemudian revolusi ini dibantu, dipasak dan dipangkin oleh penemuan bahan bakar petroleum.

Hari ini manusia moden sedang dalam zaman kemuncak tamadun petroleum.

Dari pemerhatian, saya melihat bahawa tamadun moden hari ini sedang dalam perjalanan menuju kehancuran. Justeru, saya berhak untuk berasa pesimis dengan keadaan sekarang. Jerebu ini menambahkan lagi pesimis saya.

Lalu saya bertanya apakah manusia moden ini telah melintasi tahap di mana mereka tidak dapat lagi diselamatkan? Apakah manusia moden tidak sedar bahawa jalan di hadapan mereka akan membawa kehancuran?

Dalam suasana pesimis ini saya masih lagi menyimpan seketul harapan. Babak jerebu yang memanjang pada tahun 2015 ini saya harap akan membuka mata manusia moden.

Saya harap manusia moden akan berhenti sebentar dan bertafakur untuk memeriksa diri sambil bertanya kenapa jerebu ini berlaku?

Ketika kita semua dibaluti jerebu, mari kita sesama melihat kembali babak-babak sejarah di mana manusia berjaya menguasai alam. Kemudian kita sama-sama melihat kembali hasil projek kejayaan manusia moden menundukkan alam.

Untuk saya, contoh terbaik ialah bidang pertanian moden yang telah membawa limpahan makanan kepada manusia. Kita lihat beras, gandum, kacang soya dan pelbagai bijirin bertambun-tambah.

Semua dibantu oleh teknologi pertanian moden. Makanan melimpah-limpah. Ini hanya boleh dilakukan oleh teknologi moden.

Mustahil jika 50 tahun dahulu, petani Jelebu boleh mengeluarkan hasil padi dari ribuan hektar sawah, hanya dengan dengan membanting tulang empat kerat dan kudrat kerbau bajak. Hanya kemodenan yang boleh melakukan semua ini. Terima kaseh kemodenan.

Opps.. sebentar.

Sebenarnya padi dan gandum yang menggunung itu hanya kita lihat dari mata kasar manusia moden. Alam bergerak lebih halus dari pandangan mata kasar kita. Memang betul ada limpahan makanan tetapi apa harga yang wajib kita bayar? Berapa harga yang wajib kita bayar.

Mata kasar manusia moden telah dikaburi oleh ringgit dan dolar. Kita telah gagal melihat dunia ini dari mata halus – dari pengamatan dan analisis yang mendalam. Manusia moden cukup superfisial – cukup cetek fikrahnya. Mereka dangkal dan hanya berkeupayaan melihat luaran sahaja.

Lalu mereka gagal menyedari bahawa jerebu yang menjala mereka ini adalah juga hasil dari perbuatan mereka sendiri.

Apakah perlu saya nyatakan bahawa jerebu yang kita alami ini adalah hasil pertanian moden? Apakah manusia moden terlalu bebal untuk memahami ini.

Mungkin ada warga yang kurang sedar bahawa pada satu ketika dahulu kita tidak ada kelapa sawit. Pada satu ketika dahulu kita juga tidak ada getah. Sawit berasal dari benua Afrika. Getah dari hutan Amazon Brazil. Dua-dua penjana ekonomi ini telah diimport masuk ke Tanah Melayu.

Pembakaran yang sedang berlaku di Sumatra ketika ini adalah sifat dan ciri-ciri pertanian moden. Pertanian moden ini juga berpaksikan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis ini berkiblatkan keuntungan maksimum.

Untuk mendapat keuntungan maksimum adalah lebih baik hutan atau pokok sawit lama dibakar. Jika dibiarkan reput akan mengambil masa. Masa yang panjang akan merugikan. Khalas. Period. Lihat bagaimana manusia moden berfikir – rasional dan tuntas.

Keupayaan manusia moden berfikir adalah pemberian alam yang maha besar. Dalam masa yang sama keupayaan fikrah ini jugalah yang membawa mudarat dan segala malapetaka yang sedang kita hadapi hari ini.

Manusia moden memiliki keupayaan fikrah untuk menipu diri sendiri.

Alam ini sebenarnya adalah gedung yang amat besar. Seperti pusat membeli belah Giant, Tesco atau NSK – dalam gedung ini ada pelbagai barangan yang cantik lagi menarik. Semuanya menjemput dan menggamit.

Alam yang kita duduki ini tidak datang dengan percuma. Setiap apa yang kita pakai, apa yang kita gunakan, apa yang kita tebang, apa yang kita kikir, apa yang kita gali, apa yang kita korek, kita wajib membayar harganya.

Sekali imbas balak ke Kuala Kerai atau di Gua Musang adalah harta kekayaan pemberian alam. Ini harta alam semula jadi. Sekali imbas balak ini wujud di Kelantan kerana pemimpinnya jujur dan warak.

Kerana warak dan jujur maka kita menebang hutan balak ini. Lihat berapa harga yang wajib kita bayar kerana hutan balak telah ditebang.

Terbukti, ciri dan watak alam ini sama seperti kita telah mengambil satu kilo gula dari NSK – kita wajib membayar harganya.

Hakikatnya apa saja yang dihasilkan oleh kemodenan tidak datang dengan percuma. Kita diwajibkan membayar harganya. Apa sahaja yang diusik atau diubah oleh manusia moden ianya akan menimbulkan kesan sampingan. Kesan sampingan ini ialah harga yang kita wajib bayar.

Apakah manusia moden tidak mengetahui tentang kesan sampingan. Mustahil. Sebenarnya manusia moden telah mengetahui kesan sampingan sebagai hukum alam yang pertama. Tetapi manusia moden melalui keupayaan fikrah telah mengenepikan hukum alam pertama ini dari menjadi pedoman dan kiblat hidup.

Ini kerana kiblat manusia moden ialah keuntungan yang membawa keselesaan hidup. Maka kesan sampingan diketepikan dari menjadi wacana induk.

Hukum alam ini tidak datang dengan mendadak. Tidak sampai dengan serta merta.

Nyamuk tiruk pembawa malaria boleh dihapuskan dengan semburan cecair DDT. Bertahun-tahun kemudian ditemui DDT telah menjadi racun kepada umat manusia.

Bertahun-tahun kemudian didapati nyamuk tiruk menjadi kebal dari semburan DDT. Malaria menyerang kembali. Ini hanya satu contoh.

Hukum alam sememangnya jelas – apa sahaja yang diusik ianya wajib dibayar. Kalau pada tahun ini gagal dibayar maka ianya wajib dibayar tahun hadapan. Kalau tidak, sepuluh tahun kemudian. Kalau tidak, mungkin dalam masa 20 tahun atau dalam masa 50 tahun. Bayar tetap dibayar

Kalau tidak dibayar oleh ayah pasti dibayar oleh anak. Kalau tidak dibayar oleh anak pasti akan dibayar oleh cucu. Kalau tidak dibayar oleh cucu pasti akan dibayar oleh cicit. Hakikatnya ianya wajib dibayar.

Jerebu yang kita hadapi hari ini adalah pembayaran kita semua kepada pertanian moden. Pertanian moden yang membawa keselesaan kepada umat manusia sedang meminta kita semua membayar harganya.

Kali ini ah long yang meminta pembayaran dapat kita dilihat dan dibaca. Ini kerana sang ah long ini datang dengan jelas. Ah long yang meminta bayaran ini sedang mengaburi mata dan menyesakkan nafas kita semua.


HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.

Lihat Komen
ADS