Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu terperanjat besar apabila melihat gambar Muhamad Najib bin Abdual Razak beramah mesra dengan Benjamin Bibi Netanyahu. Bibi ini nama manja Netanyahu, yang kini menjawat kerusi perdana menteri Israel.

Gambar ini tersebar luas dalam portal berita dan juga dalam Facebook. Anak-anak muda dan pengamal Media Baru heboh dengan berita ini. Netanyahu ini seorang Yahudi dan seorang Zionis yang ganas.

Belum pun reda berita gambar ramah mesra ini tiba-tiba The Times of Israel mengeluarkan berita memuji-muj i Najib Razak. Portal berita Israel melaporkan tentang Najib Razak yang juga suami Rosmah Mansor yang amat mesra dengan Israel berbanding dengan pemimpin Malaysia yang terdahulu.

Di Malaysia berita mengenai kemesraan ini meledak dan memeranjatkan. Kemesraan sebegini belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia. Tidak pernah akhbar Israel memuji pemimpin Malaysia. Malah bekas perdana menteri, Mahathir Muhamad amat dibenci oleh Israel dan kaum Zionis.

Sebelum meneruskan tulisan ini, adalah sopan dan strategik untuk diterangkan apakah itu Zionis dan apakah itu Yahudi. Telah beberapa kali saya menulis dalam usaha untuk menerangkan dua perkara ini.

Saya lakukan ini kerana pada pemerhatian saya di Malaysia ini telah berlaku kesilapan takrif tentang Zionis dan Yahudi.

Yahudi ialah kaum, bani atau bangsa. Dalam kitab suci al-Quran ada terdapat perkataan Bani Israel. Ini bangsa Yahudi. Dua puluh empat dari 25 Nabi yang wajib dikenali namanya oleh penganut Islam adalah dari bani Israel.

Bani Yahudi ini sama saperti Bani Melayu yang telah wujud dari zaman berzaman walaupun Bani Melayu tidak disebut dalam Quran.

Manakala Zionis atau Zionisme ialah satu fahamaman politik. Ianya diwujudkan oleh Theodor Herzl pada tahun 1897. Zionisme ialah satu gerakan politik bangsa Yahudi yang bertujuan untuk mendirikan negara Israel.

Yang boleh jadi Yahudi hanya Yahudi. Tetapi yang bukan Yahudi boleh menjadi Zionis. Melayu, Arab, China – siapa sahaja boleh jadi Zionis. Menerima pakai falsafah dan menyokong perjuangan Zionis maka seseorang itu dianggap Zionis.

Dari fakta sejarah, seluruh dunia mengetahui bahawa Uganda telah ditolak sebagai wilayah untuk dijadikan negara Isreal dalam Kongres Ketujuh Zionis pada tahun 1905.

Malah, Australia, Canada dan Texas pernah dicadangkan untuk dijadikan wilayah penempatan bangsa Yahudi iaitu negara Israel. Terbukti Zionisme adalah satu gerakan politik Yahudi untuk mencari tanah jajahan. Justeru amat jelas Zionisma ini bertopengkan agama Yahudi.

Palestin telah dipilih melalui kerjasama kuasa kolonial British dengan kaum Zionis melalui melalui Deklarasi Belfour 1917. Negara Palestin telah dijajah oleh gerakan Zionis pada tahun 1948.

Malapetaka atau Nakba penjajahan Palestin ini bermula pada 15 Mei 1948 apabila Isreal didirikan atas bumi Palestin. Kaum Zionis berjaya membawa masuk bangsa Yahudi yang telah ditindas di Eropah masuk ke Palestin berbondong-bondong terutama setelah tamat Perang Dunia Kedua.

Lalu persoalan timbul mengapa akhbar Israel memuji suami Rosmah? Pasti ramai akan tertanya-tanya mengapa secara tetiba pujian sampai? Betulkah suami Rosmah ini terserempak dengan Netanyahu?

Suami Rosmah bertegang tekak menerangkan bahawa dia hanya terserempak dengan Bibi Netanyahu. Betulkah ini? Kalau terserempak siapa pula yang ambil gambar? Siapa pula yang menghantar gambar kepada media sedunia?

Saya tidak pernah sampai ke Amerika dan belum pernah melihat bangunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di New York. Tetapi pada hemat saya mustahil bangunan yang begini penting dibuat dengan jalan laluan yang terhad.

Kalau bangunan PPB ini dibuat oleh kontraktor bumiputera saya amat yakin bangunan ini akan hanya ada satu pintu keluar masuk dengan tiga buah lif. Maka masuk akal Najib dan Netanyahu akan terserempak di pintu lif.

Tetapi bangunan PBB ini direka oleh Oscar Niemeyer dan Le Corbusier. Dua orang mamat ini bukan dari Rembau. Oscar seorang berfahaman komunis berasal dari Brazil, manakala Le Corbusier dari Perancis. Mereka ini pereka bangunan yang tersohor dalam dunia.

Hakikatnya mereka bukan kontraktor bumiputera. Hakikatnya ada banyak laluan masuk dan keluar dari bangunan PBB. Mustahil suami Rosmah dan Netanyahu terserempak di pintu lift.

Jika tidak terserempak maka timbul persoalan, apa sebenarnya telah berlaku?

Dengan fikrah yang kritikal mari kita ingati kembali APCO. Apakah pembaca telah terlupa apa itu APCO? Apakah Bani Melayu dan Bani Ketuanan Melayu telah terlupa siapa itu APCO? Sebelum APCO digaji oleh suami Rosmah, syarikat iklan ini telah digaji oleh siapa?

Justeru jika ingatan para pembaca telah cerah maka senang untuk memahami siapa agaknya yang menyediakan ucapan suami Rosmah yang mengambil ayat-ayat dari Taurat.

Semua ini dirancang. Semua ini disusun. Dalam Persidangan Sambutan 70 Tahun PBB, tidak ada ketua negara yang datang tanpa perancangan terperinci.

Jadi apakah cerita di sebalik berita ini?

Begini kisahnya: Suami Rosmah sedar bahawa media dunia – Wall Street Journal, The New York Times, Washington Post, The Guardian, Sydney Morning Herald dan dan dan... – semuanya sedang mengarahkan muncung senapang mereka ke dada suami Rosmah.

Najib Razak wajib dihumbankan sacepat mungkin. Akhbar dan media dunia yang berpengaruh ini menyerang suami Rosmah kerana Najib terlibat dalam apa yang mereka anggap money laundering atau pengalihan wang haram.

Kerja jahat ini amat bahaya untuk sistem ekonomi kapitalis yang mereka sokong. Bahaya menjadi berganda-ganda kerana kerja jahat money laundering ini dilakukan oleh kepala negara.

Dalam masa yang sama Muhamad Najib bin Abdul Razak juga sedar bahawa hampir kesemua media besar dalam dunia ini sama ada dimiliki oleh Zionis atau bersimpati dengan gerakan Zionis.

Mustahil mamat APCO tidak sedar perkara ini.

Dalam politik antarabangsa, mustahil ada pemimpin negara Dunia Ketiga yang berani mengutuk Israel. Mana saja negara atau kepala negara yang berani mengutuk Israel pasti akan diserang. Ahmadinejad dari Iran telah diketepikan. Gadaffi dan Saddam Hussein diwafatkan. Suami Rosmah sedar akan hal ini.

Justeru, ucapan suami Rosmah dirancang dengan ayat-ayat yang bersangkutan dengan Yahudi dan Isreal. Dirujuk ayat-ayat suci dalam Kitab Taurah. Bijak.

Hakikatnya ucapan suami Rosmah bukan ucapan yang mengutuk keganasan Zionisme. Bukan mengutuk penjajahan Palestin. Bukan membongar jenayah Israel yang mengancam dunia Arab. Semuanya tidak.

Justeri ucapan dari suami Rosmah menjadikan Bibi suka. Dari gambar yang kita lihat jelas senyuman Bibi amat menggembirakan. Apakah Bibi telah tahu lebih awal isi ucapan suami Rosmah?

Mungkin mamat APCO yang dipakai oleh Bibi adalah mamat APCO yang sama yang dipakai oleh suami Rosmah. Walah hu a'alam bissawab.

Apa tujuan semua ini? Jelas semua ini dilakukan sebagai langkah minta nyawa. Muhamad Najib bin Abdul Razak dari Malaysia sedang minta nyawa dari kaum Zionis. Ini makna ucapan dan gambar Najib bersama Netanyahu.

Suami Rosmah amat-amat sedar akan pengaruh kaum Zionis antarabangsa. Dunia hari ini dilakar, dirancang dan diatur oleh kaum Zionis antarabangsa. Ini bukan tohmah atau omong kosong. Ini fakta politik dunia.

Sebelum berucap di PBB, suami Rosmah dikatakan telah minum pagi, minum petang, makan malam dengan pelbagai jenis Malaon di New York. Suami Rosmah dilaporkan telah memberi ucapan kepada kaum pemodal besar di New York. Kaum pemodal besar ini selalunya adalah kaum Zionis.

Sayugia dimaklumkan bahawa kota New York adalah sarang kaum Zionis antarabangsa.

Apakah kaum Zionis antarabangsa tidak tahu siapa suami Rosmah ini? Apakah Bibi Netanyahu tidak tahu apa yang sedang berlaku di Malaysia? Pasti tahu. Buktinya cukup senang dalam laporan berita The Times of Israel ada diselitkan berita tunjuk perasaan anti-Israel yang berlangsung Jumaat lalu.

Ertinya, media Zionis mengikuti apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Bukan sahaja APCO edjen mereka – ramai lagi sosok ‘cari makan’ yang bersedia untuk menjadi tali barut Zionis.

Langkah minta nyawa oleh suami Rosmah ini cukup jelas. Portal The Times of Israel telah membandingkan suami Rosmah dengan pemimpin Malaysia yang terdahulu. Nama pemimpin dahulu tidak disebut tapi kita tahu sosok yang tegas mengutuk Israel ialah Mahathir Muhamad.

Si Mahathir ini jugalah yang pada ketika ini sedang mengepalai kempen untuk menerajang suami Rosmah dari kerusi perdana menteri.

Apakah Bibi tidak tahu hal ini? Apakah The Times of Israel tidak tahu hal ini? Mungkin budak-budak APCO telah diberhentikan secara rasmi. Tetapi pasti ada tunggul dan benih benih baru yang memberi laporan terperinci kepada bos di Tel Aviv.

Apa yang memeranjat ialah para pak lebai, para pendakwah, tok kadi, pak imam, tok mufti senyap tak berani bersuara tentang suami Rosmah “terserempak” dengan Bibi Netanyahu. Hanya dua minggu dahulu DAP dikatakan ejen Zionis Yahudi. Sebelum ini, Anwar Ibrahim dituduh begitu.

Mereka tidak heboh. Mungkin mereka menyimpan harapan – mana tahu jika penderma tok Arab itu akan datang sekali lagi membawa beg.

Lalu timbul persoalan – apakah suami Rosmah berjaya minta nyawa dari Bibi Netanyahu? Kita tunggu dan lihat dalam masa terdekat apa yang akan dilakukan oleh Mahathir Muhamad.


HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.

Lihat Komen
ADS