Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam berapa tulisan yang lalu, saya terangkan mengenai konsep false flag atau salah bendera. Dari sejarahnya konsep salah bendera ini bermula dari peperangan di laut. Kapal di laut memasang bendera untuk kita tahu negara mana tuan empunya kapal itu.

Hari ini false flag atau salah bendera memberi makna satu projek membuat onar secara gelap kemudian menuduh orang lain yang membuat. Onar ini dilakukan dengan tujuan jangka pendek dan jangka panjang yang telah diatur dan dirancang.

Ledakan di Paris telah berlaku lebih satu minggu dahulu. Dikatakan lebih dari 150 warga telah gugur. Dilaporkan juga lapan orang penyerang tewas selepas meledakkan diri sendiri.

Dalam masa satu minggu ini semakin banyak tulisan yang menyangkal naratif laporan media arus perdana. Tulisan dan kajian ini makin kuat bertanya: Apakah serangan ini satu projek salah bendera?

Yang bertanya ini bukan calang-calang sosoknya. Yang mempersoalkan apakah serangan di Paris ini satu rancangan jahat dengan tujuan yang tersorok.

Saya telah membaca tulisan yang digarap oleh Dr Paul Roberts yang bertanya, apakah serangan dalam kota Paris ini serangan salah bendera? Dr Paul Roberts ialah bekas timbalan setiausaha dasar ekonomi presiden Jimmy Carter.

Sosok ini juga pernah menjadi pengarang Wall Street Journal, kolumnis di Business Week, Scripps Howard News Service dan Creator Syndicate. Maknanya tulisan yang mempersoalkan serangan di Paris ini datang dari orang dalam yang tahu selok belok kerajaan.

Laporan media arus perdana cukup senang. Media ini menghebohkan naratif bahawa gerila ISIS datang menyerang. Mereka membunuh membabi-buta. Mereka tidak ada belas kasihan. Perancis sedang berperang. Rakyat Eropah wajib berjaga-jaga.

Apakah naratif yang diceritakan ini benar? Atau ada lagi kisah lain di belakang kisah benar ini? Apakah naratif yang lebih benar dari benar?

Mari kita lihat kembali beberapa perkara ganjil dan memeranjatkan yang telah berlaku dalam serangan di Paris. Minggu lalu saya telah membuka sejarah ledakan Tugu Negara yang berlaku pada 27 Ogos 1975. Kad pengenalan si tukang bom yang tercicir telah ditemui, mengikut labon Ghazali Shafie menteri KDN ketika itu.

Kisah pasport dan kad pengenalan ditemui ini juga telah berlaku semasa ledakan WTC New York dan dalam serangan pejabat Charlie Hebdo. Dalam serangan di Paris satu pasport “lelaki pelarian mangsa perang Syria” yang masuk ke Eropah atas tujuan mencari suaka politik telah juga ditemui.

Di Paris, apa yang berbeza – kerana perkembangan teknologi dan untuk menguatkan cerita – dua hari sesudah serangan, satu telefon bimbit telah ditemui dalam tong sampah berhampiran dengan Gedung Konsert Bataclan. Dari maklumat telefon ini, pemburuan dilakukan hingga ke Belgium.

Wajib saya nyatakan di sini bahawa kita semua bersimpati kepada yang gugur. Tetapi kita juga wajib sedar bahawa keguguran mereka ini adalah hasil dari satu perancangan licik yang diatur oleh elit politik untuk tujuan jahat. Kalau dalam filem, TV atau teater – yang gugur ini hanyalah prop yang diwujudkan untuk lebih meyakinkan penonton. Dalam serangan di Paris ini anak-anak muda ini menjadi prop yang tidak akan bangun-bangun.

Hujah memperkuatkan naratif serangan kota Paris ini sebagai projek salah bendera semakin terserlah.

Media prokapitalis Bloomberg pada 19 November lalu melaporkan, satu latihan darurat diadakan pada hari serangan. Bloomberg telah memetik kenyatan Dr Mathieu Raux dari Hospital Pitie-Salpetriere Paris.

Mengikut tuan doktor ini, pada hari tersebut kereta ambulan, pekerja hospital, jabatan darurat hospital telah mengambil bahagian dalam latihan ini. Semua doktor di Paris terlibat dalam latihan ini.

Apa yang menarik, ketika World Trade Center diserang pada 11 September, The North American Aerospace Defense Command (NORAD) juga sedang mengadakan latihan.

Latihan ini menjadikan kawasan udara kacau bilau sehingga tidak dapat dikenal pasti mana kapal terbang yang telah dirampas dan mana kapal terbang dalam latihan.

Pada 7 Julai 2005 – kota London pula diserang. Apakah para pembaca akan percaya apa yang saya tulis ini?

Saya bertanya kerana ketika London diserang pihak polis dan tim pemusnah bom juga sedang mengadakan latihan. Latihan ini berasaskan bom telah meledak dalam kereta api bawah tanah di stesen King Cross. Tup-tup memang betul-betul berlaku ledakan di stesen King Cross. Ajaib bin Takjub.

Maklumat berita ini amat susah untuk dipercayai. Kepada yang masih sangsi sila tanya Lebai Google kerana saya sendiri pun pada awalnya kurang yakin akan berita ini.

Hakikatnya babak dan cerita ganjil ini telah berlaku. Semua ini menjadi asas sebagai tanda bahawa serangan ini sebenarnya adalah projek salah bendera.

Maka persoalan timbul, apa tujuan projek salah bendera ini?

Pertama tujuan projek salah bendera di Paris ini ialah untuk meneruskan kempen yang dipanggil ‘War On Terror’ atau ‘Perang Melawan Keganasan ’.

Perang Melawan Keganasan (PMK) adalah dasar kuasa imperial Amerika yang dimulai dari zaman Presiden Bush. Sesudah serangan ke atas WTC di New York pada 2001, Amerika melancarkan PMK. Ini bermakna dasar PMK telah digunakan selama 15 tahun.

Afghanistan telah diserang, Iraq telah diserang, Libya telah diserang, Yaman telah dibom, Syria telah dan sedang diserang.

Perang, mati, mayat, kemusnahan, orang pelarian mangsa perang bertimbun-timbun. Tapi perang diteruskan di seluruh dunia. Semua ini atas dasar Perang Melawan Keganasan.

Projek salah bendera ini adalah alat untuk mengolah persetujuan orang ramai dan rakyat. Rakyat wajib diyakinkan, orang ramai wajib memberikan sokongan kepada pemerintah dan kepada kuasa yang sedia ada. Justeru inilah gunanya projek salah bendera – untuk menerima dasar PMK.

Dasar PMK ini ada yang berjangka panjang dan ada yang berjangka pendek. Tujuan berjangka pendek yang spontan hasil dari serangan kota Paris dapat kita lihat dengan serta-merta.

Pada ketika ini Eropah sedang dihantui oleh warga pelarian perang yang menyeberang Laut Tengah dari Libya dan Syria.

Eropah Barat menjadi kelam kabut. Rakyat banyak bersimpati dan sedia menerima mangsa perang ini. Kerajaan berbelah bagi. German dan Sweden sudi menerima warga pelarian, manakala Poland, Republik Czech dan Austria berkeras menolak. Perancis, Belgium, Sepanyol dan Portugal diam membisu.

Apabila ISIS datang menyerang Paris, semuanya berubah. Pasport “orang pelarian dari Syria” telah ditemui di tepi Gedong Bataclan. Dengan spontan rakyat Eropah dapat diyakinkan bahawa ISIS telah berjaya menyusup masuk melalui warga pelarian. Dengan serta merta semua pintu masuk telah ditutup. Sempadan dikawal rapi. Dasar menolak warga pelarian perang muncul.

Persetujuan telah diolah melalui naratif berita media arus perdana. Sama ada pasport ini sahih atau pasport tipu bukan persoalan. Yang penting, kewujudan pasport ini mengolah persetujuan warga Eropah untuk tidak lagi menerima mangsa pelarian perang dari Timur Tengah dan juga bersetuju untuk mengetatkan pintu sempadan.

Pada 20 Oktober yang lalu Kanada mendapat perdana menteri baru dari Parti Liberal. Dalam sidang akhbar pertamanya Justin Trudeau memanggil semua kapal terbang Canada yang terlibat bersama Amerika di Syria untuk pulang. Seluruh dunia jadi gempar. Kerajaan baru Canada tidak lagi dilihat bersama dalam dasar PMK Amerika.

Tup-tup, tidak sampai satu bulan kemudian Paris diserang. PM baru Kanada mendapat tekanan kerana dilihat tidak bersama mengebom ISIS di Syria.

Presiden Perancis, Francois Hollande telah mengumumkan kepada dunia bahawa Perancis dalam perang. Dengan pantas si presiden telah mengarahkan kapal terbang Perancis mengembom wilayah ISIS di Syria.

Kanada dan Perancis terikat dalam perjanjian North Atlantic Treaty Organisation (NATO). Dua negara ini adalah antara 12 negara awal yang menubuhkan perjanjian ketenteraan NATO pada tahun 1949.

Serangan di Paris memberitahu kita tentang Perkara 5 dalam perjanjian NATO. Perancis diserang oleh ISIS. Jika mana-mana ahli NATO diserang maka ahli NATO yang lain wajib datang membantu. Jelas ini memberi tekanan politik kepada pemimpin Kanada yang baru. Kanada tidak dapat lari dari dasar NATO dan PMK.

Serangan bom dari kapal terbang Perancis terhadap wilayah ISIS adalah tanda bahawa strategi dan tujuan jangka pendek projek salah bendera ini telah berjaya. Langkah Perancis untuk mengebom Syria memberi tekanan kepada kerajaan Britain.

Britain tidak bersama mengebom ISIS. Cadangan awal untuk bersama Amerika telah ditolak oleh ahli Parlimen UK.

Justeru, Perdana Menteri David Cameron akan menggunakan serangan Paris ini sebagai hujah baru untuk menyakinkan ahli Parlimen agar mengundi bersetuju untuk bersama mengebom ISIS. Rakyat di UK juga akan diyakinkan untuk bersama dalam strategi PMK.

Kawalan sempadan semakin ketat. Persetujuan rakyat untuk mengebom ISIS telah diterima. Niat dan cita-cita projek salah bendera jangka pendek telah berjaya. Bagaimana dengan strategi jangka panjang? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.

Lihat Komen
ADS