Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam wacana anti-Israel dan pro-Palestin di Malaysia ini, kita boleh dapati bahawa isu berkaitan dengannya seringkali diadun untuk tujuan meraih sokongan politik umat Melayu Islam.

Tujuannya pastilah untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa, lebih daripada menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Malahan di sini, isu-isu kezaliman negara Israel terhadap warga Palestin sering dibincangkan dalam kerangka perang agama serta bukannya sebagai isu hak asasi manusia.

Mungkin inilah janji setia cinta perpaduan Umno-PAS yang dicanang selama ini. Barangkali inilah hasil nasihat pimpinan PAS terhadap Umno.

Maka, sekali lagi DAP dibingaikan Umno (yang kini disokong pimpinan tertinggi dan ulama PAS atas prinsip kerjasama) sebagai musuh nombor wahid umat Melayu Islam Malaysia.

Pembingkaian itu dibuat melalui isu kononnya DAP menyokong Israel disebabkan kenyataan pemimpin peringkat negeri Perak yang menyebut, sukan perlu melangkaui politik.

Polemik ini timbul berikutan tindakan kerajaan menyekat dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan Layar Belia Dunia anjuran Persekutuan Pelayar Antarabangsa (Isaf), di Langkawi, minggu lalu.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin memuji tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin, dengan menyebut bahawa sukan tidak boleh dipisahkan daripada kemanusiaan .

Pesta menghentam DAP ini dimeriahkan lagi oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki, yang mereka-reka cerita tidak masuk akal kononnya Israel akan membuat pengkalan tentera jika DAP menguasai Putrajaya.

Faktanya, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel, namun kita hanyut di lautan kepura-puraan, menyarung bermacam topeng untuk tujuan akhirnya – menunjukkan kepada umat Melayu Islam Malaysia bahawa para pemimpinnya ialah golongan paling mulia, berperangai muluk-mulus dan berwajah suci tulus murni.

Kehadiran PAS sebagai penasihat Umno – mahupun sebagai parti yang mungkin bertanding tiga, empat penjuru pada pilihan raya akan datang, seperti kes DUN Kota Damansara pada pilihan raya lalu – akan memperkuat imej suci pembela kepentingan Melayu Islam yang dipakai Perdana Menteri Najib Razak.

Di sinilah isu Palestin dimunculkan sebagai lambang perpaduan umat Melayu Islam dalam Umno dan PAS. Kononnya umat Melayu Islam Malaysia bersimpati dengan perjuangan hak rakyat Palestin dan sedang ikut berjuang melawan kezaliman pendudukan Israel.

Barangkali saya salah, namun berdasarkan pengamatan saya, sebahagian besar simpati rakyat Malaysia yang ditunjukkan selama ini nampaknya bermusim akibat histeria yang diciptakan media.

Saya menulis perkara ini tanpa melupakan insan Islami para pejuang sejati hak rakyat Palestin seperti pemimpin PAS, Mahfuz Omar, pemimpin kanan AMANAH, Sallehuddin Ayub dan aktivis akar umbi Pak Amjal yang pernah merengkok di penjara gara-gara membantah kedatangan pasukan kriket Israel di Malaysia pada penghujung tahun 1990an dahulu.

Pada tahun 2011, Ilya Grad menjadi peninju Israel pertama yang dibenarkan masuk ke Malaysia secara sah atas undangan rancangan realiti TV sukan AXN, The Challenger Muay Thai.

Saya harap Melayu belum lagi lupa; bukankah agak menyalahi adat diplomatik apabila Menteri Pertahanan Malaysia bertemu dengan Menteri Perang Israel pada Julai 2009 di Paris?

Begitu juga dengan peluang Perdana Menteri Malaysia bergambar dengan PM Israel di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Oktober 2015 lalu.

Jikalau Malaysia betul-betul bersimpati dengan perjuangan Palestin, kenapa negara ”Melayu Islam” ini berdagang dengan Israel?

Malaysia menduduki tangga ke-19 rakan dagang negara Israel yang paling cepat berkembang di antara tempoh 2010 ke 2013, melibatkan eksport barangan Israel ke Malaysia bernilai lebih AS$1.4 bilion dolar.

Pada September 2014, akhbar Time Of Israel melaporkan hubungan terlarang Malaysia-Israel tersebut dengan judul 'Malaysia favors Palestinians but buy from Israel'. Kemanusiaan jenis apakah ini?

Laporan tersebut memetik data yang dikeluarkan Israel Central Bureau of Statistic; dagangan Israel-Malaysia pada tahun 2013 berjumlah AS$1.529 bilion dolar, peningkatan sebanyak dua kali ganda berbanding tahun 2012.

Amatilah segala teknologi yang kita gunakan saban hari; sistem duit dan perbankan, alatan elektronik, perisian internet dan perkomputeran, aplikasi telefon pintar. Kita dan Israel, berpisah tiada.

Misalnya, lihat aplikasi telefon pintar Waze yang bermula sebagai projek komuniti ”Freemap Israel”. Projek ini ditubuhkan Ehud Shabtai untuk menjadi pengkalan data peta digital Israel percuma.

Saya menyokong perdamaian, bahawa konflik Israel-Palestin perlu diselesaikan. Apatah lagi jikalau peluang pertemuan atau hubungan sebegini benar-benar dapat menjadi ikhtiar ke arah cita-cita perdamaian itu.

Saya berpendapat perlu dibezakan di antara warga dan negara, agama dan gerakan politik, kegiatan masyarakat dan program negara.

Meskipun seseorang itu warga negara Israel, atau berketurunan Yahudi atau beragama Judaisme belum tentu dia bersetuju dengan penindasan negara Israel ke atas rakyat Palestin.

Malah ramai warga Israel yang berjuang untuk hak rakyat Palestin. Misalnya wartawan Gideon Levy yang menulis untuk akhbar Al-Haaretz.

Akhbar Haaretz merupakan akhbar tertua Israel yang editorialnya berkecenderungan liberal dan menampilkan pendapat beraliran kiri.

Gideon Levy banyak menulis berkenaan pendudukan tentera Israel di wilayah Palestin. Beliau menerima anugerah media Anna Lindh Journalist Award 2008 atas laporannya berkenaan kanak-kanak Palestin yang dibunuh tentera Israel berjudul 'Twilight Zone The Children of 5767' .

Gideon pernah datang ke Malaysia pada 2013 atas undangan menghadiri persidangan untuk keamanan di Kuala Lumpur. Beliau merakam pengalaman tersebut dalam tulisan berjudul An Israeli in Malaysia .

Cerita dunia ini bukanlah berkisar sekitar kisah kesucian umat Melayu-Islam yang dikepung ancaman kejahatan Kristian, Yahudi, liberal semata-mata. Ini hanyalah momok halimunan ciptaan penguasa Malaysia.

Kepada penguasa, jangan lari tajuk dan mengalih cerita, sekarang ini warga Malaysia sedang menderita akibat kenaikan kos sara hidup yang semakin menyesakkan.

Dunia ini tidak hanya pilihan hitam dan putih. Hidup bukanlah tujuan tetapi perjalanan, maka kadang-kadang saya memilih bauran hitam dan putih, menjadi kelabu.


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.

Lihat Komen
ADS