Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“…Tidak ada negara bangsa-negara bangsa. Tidak ada rakyat-rakyat. Tidak ada warga Rusia. Tidak ada Arab. Tidak ada dunia ketiga. Tidak ada Barat.

"Cuma hanya ada satu sistem menyeluruh dalam kesemua sistem, suatu kekuasaan dolar pelbagai nasional yang luas dan besar, terjalin, berhubungan serta bermacam rupa bentuknya.

“Dolar petrol, dolar elektro, multidolar, reichmarks, rins, rubles, pounds dan shekel. Sistem mata wang antarabangsa inilah yang menentukan keseluruhan kehidupan di planet ini. Begitulah aturan semula jadi hari ini.”

Petikan di atas saya terjemahkan daripada kutipan monolog berjela-jela watak Arthur Jensen pada suatu adegan filem Network (1976), arahan Sidney Lumet dan ditulis Paddy Chayefsky.

Network merupakan sebuah cereka satira berkenaan program televisyen, menumpukan pengisahannya terhadap politik di sebalik rangkaian televisyen United Broadcasting System (UBS).

Watak utamanya Edward Beale (lakonan Peter Finch), seorang penyampai berita UBS Evening News yang telah lanjut usia, berjuang untuk mengekalkan rating rancangan beritanya yang semakin menurun.

Beale dipecat kerana kejatuhan rating dan pengumuman untuk membunuh dirinya pada akhir suatu rancangan berita. Namun presiden bahagian berita UBS, Max Schumacher (William Holden) memberi peluang buat Beale untuk ke udara buat kali terakhir agar dia dapat menyampaikan ucapan perpisahannya dengan bermaruah.

Namun Beale hilang akal dalam rancangan beritanya yang terakhir itu, mengajak para penontonnya untuk keluar ke tingkap dan menjerit, ”I’m as mad as hell, and I’m not going to take it anymore!”

Rating rancangan tersebut pada hari itu pantas melonjak naik.

Watak Diana Christensen (Faye Dunaway) yang mengetuai bahagian program UBS melihat peluang keuntungan tersebut.

Tak ada Amerika, tak ada demokrasi...

Nasib Howard Beale yang dipecat berubah. Masalah psikologinya dimanipulasi rangkaian TV itu dan sebuah rancangan baru untuk Beale dilancarkan berjudul The Howard Beale Show .

Filem ini berakhir dengan tragedi kematian Howard Beale, sepertimana yang disebut narator, " This was the story of Howard Beale, the first known instance of a man who was killed because he had lousy ratings."

Saya tidak berminat untuk mengulas lanjut aspek-aspek estetika filem ini ataupun menyorot perjalanan plotnya dengan lebih lanjut.

Tetapi saya amat tertarik dengan monolog syarahan panjang Arthur Jensen kepada Howard Beale. Watak Arthur Jensen (lakonan Ned Beatty) merupakan Pengerusi Communications Corporation of America (CCA), konglomerat yang menguasai UBS.

Dalam suatu babak, Beale dipanggil menghadap Jensen. Hal ini disebabkan dalam salah sebuah rancangannya, Beale mengajak para penonton membantah rancangan para pemodal Arab daripada menguasai saham CCA.

Intipati monolog Arthur Jensen dapat menjadi perumpamaan paksi pemikiran yang mendasari globalisasi ekonomi dunia, proses yang sedang kita alami di dunia dan di Malaysia kini.

Pemikiran yang menitikberatkan terhadap keutamaan hierarki syarikat-syarikat gergasi multinasional – yang tidak bernegara, tidak berbangsa, tidak beragama – dalam darjat tertinggi penghidupan di muka bumi.

Sebagaimana yang dengan tepatnya diutarakan dalam monolog Jensen itu lagi:

”...Tidak ada Amerika. Tidak ada demokrasi. Hanya ada IBM dan ITT, dan AT&T, dan DuPont, Dow, Union Carbide, dan Exxon. Inilah negara-negara dunia hari ini... Dunia ini adalah perniagaan, Mr Beale.”

Teman Pasifik Persahabatan Asia?

Dunia perniagaan tidak mengenal batas peluang. TPPA - Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik. TPPA - Tawan Pasifik Pasak Asia; ataupun TPPA - Teman Pasifik Persahabatan Asia?

Tanggal 23 Januari 2016 mendatang bakal berlangsung bantahan terhadap perjanjian ini. Benar, tiada yang terlambat untuk segala yang bernama harapan. Tiada penamatnya untuk semua yang bernama mimpi.

Hakikatnya, dengan atau tanpa TPPA hidup kita di Malaysia ini telah pun dikuasai oleh sistem kapitalisme - dengan tujuan pemodal meraih keuntungan maksimum.

Kita bernafas dalam kepungan budaya kepenggunaan (konsumerisme). Sejak kita bangun dari tidur sehinggalah datang malam untuk tubuh istirahat, segalanya memerlukan duit.

Harta, darjat dan kekayaan memberi takrifan makna bahagia dalam kehidupan.

Kenyataannya, Malaysia telah menjadi sebahagian daripada skim piramid hierarki kekuasaan mutlak sistem kapitalisme dunia. Dasar penswastaan telah memulakannya, TPPA hanya meneruskan agenda liberalisasi ekonomi itu.

TPPA sebenarnya menerima penentangan hebat dari dalam Amerika Syarikat (AS) sendiri.

Pada Oktober tahun lalu, calon Presiden AS, Hillary Clinton telah membuat kenyataan memeranjatkan berkenaan perjanjian dua belas negara Pasifik dengan syarikat-syarikat gergasi multinasional dunia itu.

Meskipun, Clinton sewaktu menjadi setiausaha negara AS bertanggungjawab mempromosikan rundingan perjanjian perdagangan tersebut, namun sebagaimana pendirian para calon kepresidenan AS lainnya, kini beliau turut ikut serta membantah TPPA.

Dalih TPPA

Manakala, dua pemenang hadiah nobel untuk ekonomi, Paul Krugman dan Joseph Stiglitz telah pun menyatakan bantahan mereka terhadap TPPA.

Dalih TPPA menggalakkan kedaulatan undang-undang dan urus tadbir kerajaan yang baik serta memelihara alam sekitarnya perlu diulang kaji semula.

Misalnya, sebuah penulisan di majalah The Nation , sebuah penerbitan AS merumuskan hal ini dengan tepat. Ia memberi contoh Brunei, sebuah negara kesultanan mutlak, Vietnam sebuah negara satu parti, manakala Malaysia sebagai demokrasi yang tidak stabil.

Di AS, TPPA dibimbangi akan merampas peluang pekerjaan pekerja di sana dan longgar dalam perlindungan alam sekitar.

Dengan atau tanpa TPPA, kapitalisme dunia ketiga Malaysia telah pun meragut alam sekitarnya. Contoh terbaru, pencemaran akibat kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Apapun Februari mendatang saya hampir pasti TPPA akan ditandatangani di New Zealand. Saya tidak menjangkakan perlawanan hebat rakyat setempat terhadap TPPA ini.

Barangkali gerakan politik pembangkang di Malaysia sedang dalam kepenatan. Lebih berat lagi, jikalau ia sebenarnya telah tewas atau gagal berfungsi.

Dengan kata lainnya, kita semua telah kecundang di tangan wanita pertama dan perdana menteri Malaysia yang hebat itu.

Jikalau kita kecundang pada 23 Januari ini, jangan cepat putus asa, jalan 'perjuangan' masih panjang, banyak yang tidak akan selesai. Kita patut meneladani keteguhan semangat saudara Anwar Ibrahim dalam perjuangannya untuk keadilan, meskipun berkali-kali dipenjarakan.

Tahun 2016 ini, mudah-mudahan segala yang sempit diluaskan, yang bengkok diluruskan.


RAHMAT HARON seorang seniman outsider .

Lihat Komen
ADS