Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perangkaan semasa menunjukkan 65 peratus penduduk Asean berusia di bawah umur 35 tahun.

Jika data kependudukan Asean ini dapat diterjemahkan ke dalam daftar pemilih pilihan raya Malaysia, bermakna pemilih berumur di bawah 35 tahun – ramai mengundi pertama kali – akan menjadi pengundi majoriti pada pilihan raya akan datang (jika tiada aral melintang).

Ia juga bermaksud Malaysia hari ini merupakan negara anak muda, dengan majoriti golongan belia yang bakal menjadi penentu dalam pembuatan keputusan segala aspek penghidupan semasa, yang bakal memberi kesan pada masa-masa mendatang.

Barangkali atas dasar kepentingan inilah Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama dalam lawatan pertamanya ke Malaysia bertemu dengan lebih 100 pemimpin muda Asean di Universiti Malaya pada April 2014 lalu.

Baru-baru ini pula Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan media menggesa golongan belia untuk terlibat dalam proses politik agas polisi kerajaan yang lebih baik dapat dibentuk.

Bagaimanapun, Khairy mengambil sikap membujuk dengan mengatakan beliau tidak meminta golongan belia mengundi parti-parti tertentu kerana percaya pilihan terletak di tangan mereka sendiri.

KEADILAN tinggal satu

Dalam sejarah baru gerakan politik pembangkangan di Malaysia, khususnya dari era pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 sehingga ke era kemenangan Pakatan Rakyat pada 2008, kita dapat lihat anak muda menjadi penggerak yang cukup berkesan.

Saya tidak hidup dalam kenangan, melainkan sejarah memberikan kita pengajaran untuk tidak mengulang kesilapan-kesilapan masa lalu.

Selepas pilihan raya 1999, PAS dan DAP berpecah daripada pakatan pembangkang Barisan Alternatif. Pada saat itu, Parti Keadilan Nasional (prapenggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia, sebelum menjadi Parti Keadilan Rakyat – PKR) bersikap cuba menjadi jambatan, berbaik dengan PAS dan DAP.

Hasilnya pada pilihan raya 2004, parti-parti pembangkang yang saling bertanding tiga atau empat penjuru kalah teruk, dengan KEADILAN cuma tinggal satu kerusi parlimen, iaitu di kubu kuatnya Permatang Pauh.

Anak muda juga menjadi tenaga penting dalam gerakan pendemokrasian. Misalnya kegiatan demonstrasi, kempen dan bantahan sivil untuk Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2009, ataupun demonstrasi BERSIH bagi menuntut pilihan raya yang jujur dan adil.

Namun demikian, perkembangan pascapilihan raya 2008 perlu diamati dengan lebih teliti, khususnya terhadap persoalan demografi politik yang berubah.

Pastinya 2016 ini tuntutan, isu dan kepentingan anak muda turut berubah. Khususnya buat generasi muda yang tidak merasai pengalaman gerakan reformasi atau berdepan dengan keganasan polis dalam demonstrasi yang jarang-jarang disuraikan secara aman.

Anak muda dulu kini tua

Boleh dikatakan semenjak Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 2013, amat sukar untuk kita melihat pengulangan layanan ganas pihak polis sebagaimana tindakan tegas buat demonstran gerakan reformasi 1998.

Secara kosmetiknya, perlu diakui tanpa kesempurnaan, kerajaan ditadbir Umno-BN melakukan beberapa pembaikan, yang meskipun tidak menyeluruh dan kadangkala saling bercanggah, telahpun mencipta persepsi kemungkinan parti itu akan terus memerintah untuk tempoh yang lama lagi.

Dalam masa yang sama, Najib Razak menewaskan satu demi satu seteru politiknya dalam siri pertarungan perang epik yang dijangka berlangsung panjang.

Anwar Ibrahim di dalam penjara. Muhyiddin Yasin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Mukhriz Mahathir pula disingkir daripada jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah.

Sementara itu, generasi muda yang bergerak dalam politik era 1998 ke 2008, telah menjadi tua atau memasuki usia pertengahan.

Peranan anak muda dalam perubahan politik memang tidak dapat dinafikan. Makanya, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berharap agar anak muda dapat melakukan perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik tadbir urusnya, demokratik dan tidak rasuah.

Namun demikian, perpecahan Pakatan Rakyat dan perseteruan PAS - DAP menjauhkan sokongan anak-anak muda. Ramai juga anak muda memilih untuk menjadi apati, tidak peduli politik dan lebih tertumpu kepada isu-isu kelangsungan hidup.

Tiada dalam ruang pemikiran

Para pemimpin muda pembangkang pula, khususnya pemuda PAS, setakat ini gagal menambat hati sokongan anak-anak muda dengan tawaran hujah baru dan polisi-polisi yang menyegarkan.

Kita akan dapat menjangkakan Pemuda PAS akan menjadi lebih konservatif dengan isu-isu yang menjauhkan sokongan majoriti anak muda seperti sikap antikonsert atau antihari Valentine atau sambutan Krismas atau tahun baru kalender Pope Gregor.

Pada Hari Kekasih 14 Februari lalu, Malaysiakini melaporkan gesaaan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz agar anak-anak muda tidak menyambut Hari Valentine.

Nik Abduh berfatwa Hari Valentine dikaitkan dengan agama Kristian, maka umat Islam dilarang merayakannya.

Menyedihkan, jikalau dibandingkan sikap ini dengan tindak-tanduk Khairy Jamaluddin.

Misalnya baru-baru ini, seorang ahli Parlimen Belia (sebuah inisiatif kerajaan) dari Selangor, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli memberi syor agar kerajaan mengkaji semula kesalahan penggunaan ganja. Cepat-cepat kenyataan itu dikicaukan semula Khairy Jamaluddin di Twitter.

Saya tidak terperanjat jikalau pentadbiran Najib Razak akan melaksanakan dasar pengurangan mudarat, dengan menghalalkan penggunaan ganja bagi menangani permasalahan ketagihan dadah di Malaysia.

Apatah lagi di peringkat antarabangsa ia bukanlah suatu dasar yang baru. Belanda dan negara Kesatuan Eropah telah lama mengamalkannya. Kini Amerika Utara – AS dan Kanada – juga sedang bergerak ke arah legalisasi ganja.

Sayangnya, isu-isu sebegini – yang digemari demografi anak muda – kurang mendapat tempat di ruang pemikiran para pemimpin muda pembangkang. Lebih teruk, banyak pula pantang larangnya.

Tetapi, saya faham siapalah saya ini untuk menegur kepimpinan muda pembangkang, khususnya para ulama dan ustaz-ustaz muda yang lebih berketrampilan serta tinggi keilmuannya.

Seorang pendosa seperti saya sedar, tempat saya yang paling layak hanya di neraka!

Lihat Komen
ADS