Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ada beberapa topik perbincangan yang masih dianggap – atau dikerangkakan – oleh pihak-pihak berkepentingan sebagai pantang-larang dalam masyarakat Malaysia. Antaranya sistem komunisme, sistem sosialisme dan ideologi (fahaman) Marxisme.

Saya tidak pasti adakah benar Kursus Marxisme anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) boleh menaikkan kemarahan umum sebagaimana dakwaan segelintir pihak. Atau adakah ia sekadar hiburan silap mata yang mengaburkan tumpuan masyarakat daripada segunung isu semasa yang menyesakkan dada - umumnya masalah rasuah dan salah guna kuasa dan secara khusus, merujuk kepada skandal 1MDB .

Malahan, dilaporkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sendiri memberikan amarannya: "Polis akan menyekat kursus itu. [...] usaha menghidupkan fahaman komunis. Polis tidak akan membenarkan kursus ini dijalankan.”

Ia menunjukkan betapa beratnya pertuduhan yang ditimpakan ke atas PSM yang menganjurkan Kursus Marxisme itu.

Antara dalih penolakan sistem komunisme yang sering kita dengar ialah, "ia suatu bentuk fahaman yang menolak kewujudan tuhan dan ramai penduduk beragama tidak menyokong komunis", selain "dikaitkan dengan keganasan terhadap orang awam."

Di Malaysia, perkataan komunis - dengan salah tanggapan - selalu dirupakan sebagai orang-orang Cina yang anti-Melayu; pengganas Cina bermata sepet menyerang orang awam dan kemudahan awam seperti gambaran imaginasi filem cereka Bukit Kepong .

Kita perlu membezakan di antara ideologi dan sistem ekonomi.

Ideologi merujuk kepada suatu sistem idea atau ideal atau aturan kepercayaan yang memandu tingkah laku kumpulan-kumpulan sosial atau individu. Ideologi menjadi asas sesuatu dasar serta teori ekonomi dan politik.

Misalnya, China berideologi Marxisme mazhab Mao Zedong dan bersistemkan komunisme. Manakala Amerika Syarikat berideologikan liberalisme dan bersistemkan kapitalisme.

Politik kuku besi dalam kapitalisme

Antara fahaman, ideologi serta sistem ekonomi dan politik yang diamalkan di negara-negara di dunia, tiada yang betul-betul sempurna secara amalinya, meskipun di atas kertas atau di dalam kitab ia dilihat cukup sempurna untuk dilaksanakan.

Di antara sistem komunisme dan sosialisme, terdapat beberapa perbezaan yang besar.

Dalam sistem komunisme kesemua alat-alat pengeluaran ekonomi dimiliknegarakan, seperti yang didakwa diamalkan di China, Korea Utara dan suatu waktu dulu di Kesatuan Soviet.

Sistem komunisme sinonim dengan kediktatoran kelas proletariat (darjat kaum buruh) yang menganjurkan corak pemerintahan kuku besi (autoritarianisme) dalam sistem politik.

Meskipun begitu, sistem politik kuku besi juga wujud dalam ekonomi kapitalisme. Misalnya diktator-diktator di dunia ketiga, di Amerika Selatan, pascaperang dunia kedua.

Manakala itu, sistem ekonomi sosialisme pula bermaksud kerajaan tidak akan menswastakan sektor-sektor penting masyarakat, iaitu kesihatan, pendidikan serta kemudahan asas seperti bekalan tenaga elektrik, air dan pengangkutan awam.

Terdapat juga negara-negara wilayah Scandinavia yang berideologikan liberalisme, bersistemkan ekonomi kapitalisme tetapi mengamalkan dasar-dasar sosialisme seperti penyediaan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan percuma untuk rakyatnya.

Ideologi Marxisme dan dasar-dasar sosialisme tidak dihalang daripada diperjuangkan di negara-negara liberal kapitalisme maju. Maka terdapat ada banyak parti sosialis dan komunis di negara-negara berideologi liberal dan bersistemkan ekonomi kapitalisme.

Henti ulang propaganda penjajah

Ia sebahagian daripada hak asasi manusia, hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Buku-buku Karl Marx banyak dijual di Eropah dan Amerika Utara, malah teori-teori Marx dipelajari di universiti dan institusi pengajian tinggi.

Kita juga mesti membezakan ideologi sebagai sarana pengetahuan dengan ideologi sebagai perkakas keganasan.

Ideologi sebagai sarana pengetahuan dapat membantu memberikan kita alat analisis untuk mengkaji masalah-masalah masyarakat dan menawarkan penyelesaian-penyelesaiannya.

Saya berpendapat tidak perlu lagi pihak berkuasa Malaysia mengulang propaganda kolonial Inggeris atau propaganda perang dingin dengan mengungkit kisah keganasan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).

Perjanjian damai antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thailand dan PKM telah ditandatangani secara bersama pada 1989.

Dalam perang, semua operasi bersifat ketenteraan. Dalam perang, kesemua pihak yang terlibat diganasi dan mengganasi. Mangsa-mangsanya ialah alam sekitar, kanak-kanak, wanita dan orang tua serta para soldadu yang tewas demi kepercayaan mereka.

Tetapi tembok Berlin telah dua dekad runtuh, dan kini China membawakan taksiran baru ideologi Marxisme mazhab Mao Zedong, iaitu sistem ekonomi kapitalis yang digerakkan oleh negara komunis.

Malahan Malaysia menjadi kerajaan pertama di Asia Tenggara yang menjalin hubungan diplomatik dengan negara China yang bersistemkan ekonomi komunis dan berideologikan Marxisme mazhab Mao Zedong itu.

Pada 1974, perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein melawat China dan bertemu rakan sejawatnya Zhou En Lai serta Mao Zedong.

Mencari kambing hitam

Sekarang pula, komunis China yang 'makan babi' menjadi rakan dagang terbesar Malaysia yang 'Islamik', dengan nilai dagangan mencecah RM203.3 bilion setakat 2013.

Ia sangat rumit dan tidak lagi semudah pilihan hitam dan putih. Misalnya dengan apa yang disebut sebagai syarikat gergasi multinasional dengan para pemegang sahamnya merentasi konsep negara bangsa.

Atau lihatlah permuafakatan kompleks industri ketenteraan dengan Rusia, China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menjadi pengeluar utama senjata dunia.

Apapun konflik bersenjata di dunia, merekalah saudagar kematian itu.

Misalnya, suasana tegang di Laut China Selatan dapat menggalakkan perlumbaan senjata di kalangan negara Asia Tenggara melalui peningkatan belanjawan ketenteraan yang semakin naik saban tahun.

Cukup-cukuplah, jangan lagi kita menipu manusia Malaysia terutamanya Melayu dengan momokan komunis dan sosialis ini.

Kini, ketakutan parti pemerintah Umno-BN pimpinan Najib Razak adalah berlakunya kebangkitan rakyat akibat gerakan politik Dr Mahathir Mohamad yang baru sahaja keluar dari Umno, untuk kedua kalinya itu.

Apatah lagi jika dapat dibentuk suatu barisan bersatu di kalangan masyarakat sivil dan parti-parti politik dalam Pakatan Harapan bersama-sama dengan Dr Mahathir.

Makanya, sebelum segalanya menjadi nyata, perlu dicari seekor kambing hitam (iaitu PSM) dengan label komunis yang akan menyeret sekali wibawa gerakan rakyat yang baru itu.

Mengharam, melarang, menghukum, menangkap dan memenjarakan PSM kerana Kursus Marxisme hanya akan menunjukkan betapa lemahnya daya pemikiran, ilmu pengetahuan kita berkenaan ideologi, teori dalam sistem ekonomi dan politik.

Malah ia memberi tanda tiadanya keupayaan intelektual atau lemahnya budaya kritikan kita untuk berhujah, berbincang, bertukar-tukar fikiran dan berwacana dengan sikap terbuka.

Lihat Komen
ADS