Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjelang sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia pada 3 Mac 2016 lalu, laman berita BBC melaporkan kebimbangan para pencinta alam sekitar berkenaan penggunaan media sosial Facebook sebagai sarana pemasaran atas talian dalam perdagangan haram haiwan liar yang terancam.

Laporan BBC tersebut memetik penemuan Traffic, sebuah jaringan pengawasan hidupan liar, bahawa ratusan haiwan yang dilindungi undang-undang diiklankan untuk dijual melalui kumpulan-kumpulan Facebook di Malaysia, termasuklah beruang matahari, ungka bertangan putih dan binturong.

Laporan itu juga memetik jurucakap Facebook yang “tidak akan ragu-ragu” untuk membuang kandungan yang menggalakkan perdagangan haram haiwan terancam.

Dilaporkan juga, maklumat tersebut telah pun diserahkan untuk tindakan pihak berkuasa Malaysia.

Hari Hidupan Liar Sedunia diangkat pada sesi ke-168 persidangan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 23 Disember 2013. Pada tahun ini, Hari Hidupan Liar bertemakan, “Masa hadapan hidupan liar berada di tangan kita.”

Traffic menganggarkan perdagangan haram haiwan terancam bernilai lebih kurang AS$7 bilion ke AS$10 bilion setahun. Cukup menguntungkan.

Apatah lagi Malaysia memang terkenal dengan kekayaan hutan, tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar.

Hutan hujan berusia kira-kira 130 juta tahun ini menjadi habitat kepada beragam jenis flora dan fauna, antaranya lebih 150 spesis mamalia, lebih 50 spesis kelelawar dan ratusan spesis burung-burung dan unggas. Cukup membanggakan bukan.

Nasib badak sumbu Sumatera

Malangnya, Malaysia memegang rekod tertinggi kehilangan hutan di dunia, antara tahun 2000 ke 2012, menurut peta hutan global yang dibangunkan bersama Google. Pembalakan (halal dan haram) serta pembersihan kawasan hutan untuk tujuan pertanian dan pembangunan menjadi punca malapetaka kemusnahan alam ini.

Sebenarnya kita semua bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi. Tetapi tidak berguna jika kita sekadar meratapi nasib masa lalu tanpa daya dan usaha untuk mengubah keadaan sekarang agar waktu-waktu mendatang menjadi kenyataan yang lebih baik. (Lantaran itu, sokonglah Deklarasi Rakyat , ha, ha, ha!)

Saya sedih kerana saya juga sebenarnya baru tahu mengenai nasib yang menimpa haiwan badak sumbu Sumatera yang ditanggapi para saintis sebagai telah pupus di Malaysia. Ini menunjukkan tahap kepedulian kita terhadap hidupan liar yang sangat rendah.

Badak sumbu Sumatera antara spesis badak yang jarang-jarang ditemui di dunia. Para penyelidik hidupan liar mencatatkan tiada lagi badak sumbu Sumatra yang dikesan dalam habitat liarnya semenjak tahun 2007 lagi.

Para penyelidik menyimpulkan kepupusan badak sumbu ini kerana kemusnahan habitat akibat pemusnahan hutan untuk balak, pertanian dan pembangunan serta kegiatan pemburuan haram yang mensasarkan sumbunya itu.

International Union for Conservation of Nature ( IUCN ) , badan pelestarian alam sekitar antarabangsa, menyenaraikan sebanyak 14 peratus spesis mamalia Malaysia sebagai haiwan terancam.

Puncanya, sama seperti kes badak sumbu tadi, kemusnahan habitat akibat pembalakan dan pembukaan tanah pertanian serta kegiatan pemburuan – sama ada haram atau halal, berpermit atau tidak.

Sistem rasuah

Seksyen 117, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 memperuntukkan:

(1) Tiada seorang pun boleh menyimpan, menjual, membeli, mengimport atau mengeksport mana-mana spesies yang dikawal yang dinyatakan dalam Jadual Kelima.

(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Dikatakan penjualan organ dan bahagian badan sesetengah binatang liar bernilai berpuluh-puluh kali ganda untungnya berbanding jumlah denda yang dikenakan.

Malaysia menandatangani Konvensyen Terhadap Perdagangan Antarabangsa dalam Spesis Terancam Flora dan Fauna (CITES).

CITES merupakan perjanjian antara kerajaan, yang dianggotai oleh 182 buah negara. Ia dapat menjadi perisai kuasa bagi perlindungan dan pemeliharaan kepelbagaian bio melalui peraturan dalam perdagangan flora dan fauna.

Meskipun begitu, terdapat rakyat Malaysia yang terlibat dalam perdagangan haram spesis haiwan terancam ini. Mestilah ia dibantu sistem rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa di Malaysia.

Namun demikian, tahap pendidikan dan kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar cukup penting agar dapat dipastikan tindakan berkesan dapat digerakkan pihak berkuasa.

Fatwa Asri, polisi IKRAM

Makanya kita mengalu-alukan fatwa agamawan baru-baru ini berkenaan hal pelestarian, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Ini kerana umat Melayu Islam Malaysia umumnya berpegang kepada pendapat golongan agama sebagai sandaran hidup mereka.

Justeru, perubahan positif masyarakat dan persekitarannya dapat digerakkan golongan agawaman ini. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada Februari lalu, memutuskan perbuatan mencemarkan alam sekitar dan memberi kesan kemudaratan fizikal secara langsung kepada manusia, haiwan dan tumbuhan adalah haram.

Menurut Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sebagaimana yang dilaporkan media :

"Perbuatan mencemarkan alam sekitar yang mengganggu ekosistem alam secara langsung sehingga merosakkan kehidupan alam semesta adalah bercanggah dengan tuntutan agama Islam.”

Saya juga tertarik dengan polisi hijau dan rendah karbon Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan Islam. Polisi tersebut yang dibentuk pada 2014 bertujuan menjadi panduan kepada kesemua ahli Ikram.

Dalam mukadimahnya polisi hijau Ikram tersebut memberikan amaran:

”Penggunaan sumber alam tanpa kawalan dengan boros dan tamak serta tindakan mengeksploitasi sumber yang ada akan mengakibatkan kehilangan kekal kepada sumber alam ini dan ia tidak dapat diganti. Tindakan ini akan akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan manusia secara keseluruhan terutamanya kepada generasi akan datang.”

Inilah harga kemajuan kebendaan yang kita kejar selama ini. Inilah kemodenan. Inilah pembangunan binaan. Inilah kemusnahan hutan. Inilah kepupusan haiwan terancam. Inilah keuntungan.

Benarlah juga renungan mutiara kata ini:

“Hanya apabila pohon terakhir ditebang, ikan terakhir dimakan dan sungai yang terakhir diracuni, engkau akan sedar yang engkau tidak boleh memakan duit!”


RAHMAN HARON seorang seniman outsider .

Lihat Komen
ADS