Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tengah hari, tanggal 12 April 2016 yang lalu, saya mendapat panggilan telefon.

Seorang teman menyampaikan khabar sedih.

“Mat, Pak Said Zahari telah tiada,” tutur Jonah (Khairul Anuar Zainuddin) kepada saya.

Saya hanya menarik nafas panjang, bertafakur sejenak dan memanjatkan doa.

“Jenazah Pak Said akan dibawa ke Masjid USJ,” jelas Jonah, teman seperjuangan saya sewaktu di zaman aktivisme mahasiswa dahulu bersama pertubuhan ‘haram’ Universiti Bangsar Utama (UBU).

Lantas petang itu, saya ke bergegas Subang Jaya, ke tempat yang dijanjikan.

Ramai yang hadir di masjid memberikan penghormatan terakhir. Anggota keluarga beliau, para aktivis, pemimpin politik, wartawan, ahli akademik.

Antaranya, tokoh intelektual Jomo KS, pimpinan kanan DAP, Lim Kit Siang, pimpinan PKR, Tian Chua, Syukur Harun (penulis veteran, bekas wartawan Harakah ), peguam Latheefa Koya, sasterawan Dinsman, penyair/ penulis Fazallah Pit, para aktivis masyarakat madani seperti Ana Har, Lena Hendry dan Adam Adli.

Ilmuwan dan pemimpin politik, Dr Syed Husin Ali antara yang awal hadir di masjid.

Beliau memberitahu, ”Baru beberapa hari yang lalu saya bersama Jomo menziarahi Pak Said.”

Menurut Dr Syed, ”Ingatan Pak Said terutamanya untuk hal-hal yang lama masih cukup kuat.”

”Malah beliau banyak bergurau dengan saya,” kata Dr Syed Husin, sahabat rapat allahyarham selama puluhan tahun itu.

Pak Said telah dua kali mendapat serangan jantung. Setahun yang lepas keadaan kesihatannya tambah merosot, beliau terpaksa berkerusi roda. Namun, tahun lalu beliau sempat menyelesaikan penerbitan siri ketiga dan terakhir trilogi memoir politiknya yang berjudul Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari .

Sebelum itu, dua buku memoir beliau, Meniti Laut Gelora dan Dalam Ribuan Mimpi Gelisah mendapat sambutan yang memberangsangkan. Bagi para peminat sejarah tanah air, perjuangan gerakan kiri dan nasionalisme, ketiga-tiga buku ini patut menjadi antara bacaan rujukan yang penting.

Ubah hidup selama-lamanya

Setahun yang dulu, sekitar bulan Mac, pemimpin kanan Singapura, Lee Kuan Yew, yang bertanggungjawab memenjarakan Pak Said tanpa bicara, selama 17 tahun bawah ISA, telah pun meninggal dunia.

Di zaman perjuangan untuk kemerdekaan, peguam akhbar Utusan Melayu ialah Kuan Yew sendiri. Malahan menurut Pak Said, pemimpin PAP itu pernah menjalin hubungan baik yang bersifat kekeluargaan dengan beliau. Bersama isteri dan anak-anaknya Kuan Yew pernah berkunjung ke rumah beliau.

Kini, kedua-dua mereka telah pun tiada. Untuk maju ke hadapan, kita perlu ada keberanian untuk melihat sejarah masa lalu bukan hanya semata-mata dengan keyakinan terhadap satu pengisahan tunggal naratif agung negara.

”Kau tahu Mat, Pak Said sebenarnya antara orang paling awal yang memberikan kita perspektif berlainan untuk melihat sejarah,” jelas Jonah yang kini aktif bersama PKR dan kesatuan sekerja.

Lantas ingatan saya kembali ke waktu 17 tahun yang lalu. Sekitar November 1999, sebelum berlangsungnya pilihan raya umum, sekumpulan anak muda dan mahasiswa berkampung di sebuah resort di Port Dickson, bagi mengikuti kursus dan bengkel kesedaran demokrasi dan hak asasi manusia.

Melalui Hishamudin Rais, kami diperkenalkan dengan Said Zahari, dalam sebuah sesi dialog. Suatu kegiatan yang mengubah hidup saya selama-lamanya.

Di situlah, kali pertama kami bertemu dengan Pak Said Zahari. Di situlah juga, kami mendapat perkongsian pengalaman tentang perjuangan rakyat yang amat berharga daripada bekas Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu .

Pada tahun 1961, Pak Said mengepalai mogok para pekerja Utusan Melayu yang menentang pengambilalihan akhbar tersebut oleh parti pemerintah Umno.

Perjuangan yang bersandarkan semangat kebebasan media dan keperluan akhbar bebas yang menjadi suara orang-orang Melayu itu berdepan penindasan. Mogok dapat dipatahkan. Ramai aktivis ditahan pihak berkuasa. Tidak kurang juga yang mengalah.

Manakala, Pak Said sewaktu berkunjung ke pejabat Utusan Melayu , Biro Singapura, beliau mendapat perintah halangan kemasukan ke Malaya oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Pada tahun Februari 1963, beberapa jam selepas sidang akhbar yang menguar-uarkan Said Zahari sebagai ketua umum Parti Rakyat Singapura, beliau bersama ratusan pimpinan dan aktivis politik di tahan dalam tangkapan beramai-ramai Operasi Cold Store.

Cerita-cerita 'off-record'

Sewaktu Pak Said masih sihat dan Makcik Salamah masih hidup lagi, kami para aktivis muda UBU, pada tahun-tahun aktivisme gerakan reformasi (1999-2004), seringkali berkunjung ke rumah beliau.

Berbagai cerita-cerita sejarah lama yang kami dapatkan daripada Pak Said, termasuklah cerita-cerita off-record berkenaan tokoh-tokoh pimpinan dan kewartawanan negara pada waktu itu.

Banyak juga ilmu kehidupan, kewartawanan dan politik yang kami belajar daripada beliau. Pak Said yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin itu tidak pernah kedekut untuk berkongsi pengalamannya dengan kami.

Semangat juang, keteguhan prinsip, kecekalan dan ketabahan beliau amat mempengaruhi kami.

Setiap kali pertemuan itu, kami dihidangkan juadah istimewa kuetiau goreng dan kuih-muih yang dimasak sendiri Makcik Salamah. Sewaktu Pak Said di penjara. Makcik Salamah menyara keluarga, anak-anaknya Roesman, Rismawati, Norman, Noorlinda dengan menjual kuih-muih dan juadah masakan.

Jenazah Pak Said tiba dari kediaman anak perempuannya, Rismawati, di Puncak Alam, Selangor sekitar jam 5.30 petang untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Al-Falah.

Saya diberitahu anak lelaki almarhum, saudara Roesman, ”Pak Said meninggal dalam tidur.”

Pak Said dikebumikan di tanah perkuburan yang sama, tempat bersemadinya almarhumah isterinya Salamah Abdul Wahab yang meninggal dunia pada tahun 2004.

Terima kasih buat Almarhumah isterinya Salamah, anak-anak dan cucunda-cucunda beliau kerana menjaga Pak Said – dengan penuh kecintaan untuk kamu, kami dan kita semuanya.

Sehingga akhir hayatnya, Said Zahari masih seorang warga negara Singapura dan mendapat suaka menetap di Malaysia sewaktu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Dendam itu telah kita kambuskan bersama semadian pusara. Tetapi kita mesti belajar dari sejarah. Kita memaafkan masa lalu sebagai takdir sejarah yang telah berlaku, tetapi kita tidak akan semudahnya boleh melupakan segalanya dengan begitu sahaja.

Dengan tidak lupa, kita akan selalu sedar dan berjaga-jaga, agar kezaliman tidak akan berulang lagi.

Lihat Komen
ADS