Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 15 Mac 2016, anak semua bangsa telah membaca dan diberitahu tentang daerah Chuping, Perlis memecah rekod panas mencecah 39 darjah celcius. Ini pertama kali panas sedemikian terjadi dalam sejarah bumi tropika Tanah Melayu.

Kita telah membaca berita sekolah di Kedah, Perlis dan Kelantan ditutup kerana panas terik. Kita juga telah membaca kenyataan pak menteri tentang ayam peliharaan mula gelabah kerana panas. Kita juga membaca bagaimana panas telah dituduh sebagai pembawa histeria kepada gadis sunti murid sekolah.

Kita telah membaca bagaimana tasik tadahan air di Kedah, Perak, Selangor dan Johor semakin susut. Air mula dicatu di beberapa tempat di Johor. Dalam masa yang sama air laut semakin ganas. Justeru kita juga terbaca berita tentang RM75 juta telah diagihkan kepada Teluk Intan untuk menambak tebing sungai melawan hakisan.

Kita juga diberi tahu tentang pembenihan awan telah dilakukan ke seluruh semenanjung. Hujan turun di sana-sini. Tapi panas tidak berkurangan. Banyak daerah semakin kering. Wilayah dan kawasan kering telah menjemput kebakaran tidak disengaja - yang sekali lagi membawa jerebu.

Apa sebenarnya berita-berita ini? Apa tanda dan makna yang dibawa oleh berita-berita ini?

Untuk saya semua ini tanda-tanda bahawa bumi manusia ini sedang sakit. Berita-berita ini adalah bahasa pengucapan bumi. Bumi manusia sedang bercakap dengan umat manusia. Bumi manusia kita ini tidak bisu. Yakinlah bumi manusia milik anak semua bangsa ini boleh bercakap. Bumi boleh berkata-kata. Malangnya umat manusia yang menginap di atas muka bumi ini tidak memahami nahu dan bahasa bumi.

Atau umat manusia ini sengaja tidak mahu faham-faham apa yang sedang dituturkan oleh bumi.

Cuba bayangkan kalau virus demam kura menyerang seorang anak kecil. Anak ini akan menangis kerana panas. Anak ini akan menggigil sejuk. Sang virus dalam badan anak ini akan beranak pinak dengan pantas. Berjuta-juta virus baru akan lahir. Semua virus ini akan memakan darah si anak kecil. Akhirnya anak kecil ini akan tewas. Dan virus ini juga akan tewas sama.

Jeritan dan tangisan anak kecil itu pasti menyedarkan sang ibu dan sang ayah untuk merawat sang anak. Lalu saya bertanya, apakah kita semua tidak sedar? Apakah kita semua tidak tahu bahawa anak kecil itu ialah bumi. Virus dan kuman itu adalah kita umat manusia. Bumi sedang menangis sakit. Bumi sedang demam. Justeru suhu bumi menjadi lebih panas.

Amat jelas apa yang sedang berlaku ke atas muka bumi pada ketika ini akibat perbuatan kita semua - umat manusia. Umat manusia yang hidup di atas bumi ini sedang menjadi virus dan kuman. Manusia ialah kuman besar yang dapat dilihat. Manusia adalah virus besar yang boleh berfikir. Bumi ini adalah tubuh badan.

Apa yang saya tulis tentang anak kecil, demam, virus atau sakit boleh dibaca sebagai metafora. Tetapi sebenarnya apa yang saya tulis adalah hakikat. Hakikat inilah yang sedang berlaku di atas muka bumi ini.

Kita - umat manusia - sedang memamah dan memakan apa sahaja yang wujud di atas muka bumi ini. Virus yang beranak pinak tanpa henti-henti terus memamah bumi. Menjarah apa sahaja yang wujud di permukaan bumi, di dalam perut bumi atau di atas permukaan bumi. Hasilnya bumi jatuh sakit. Bumi ini demam. Bumi ini panas.

Beli, kumpul dan pakai

Lalu bumi bersuara dan bercakap. Lalu bumi menangis mengadu hal bahawa dia sedang deman. Panas yang datang hari ini adalah tanda yang amat jelas bahawa bumi ini sedang demam. Bumi kita ini sedang berkata-kata - mengadu sedih - kepada kita umat manusia.

Bayangkan ketika ini bumi mula muntah-muntah. Angin bumi mula lintang pukang. Cuaca bumi mula tidak menentu. Air laut mula bergelombang besar. Suhu bumi semakin terik. Sila jangan tuduh semua ini terjadi kerana takdir. Atau kemarahan Kala Dewata. Atau kemurkaan tuhan. Atau pembalasan Yang Maha Esa kerana umat manusia melakukan maksiat. Atau kerana LBGT. Bukan, bukan, bukan.

Persoalan sekarang ialah, apakah umat manusia mendengar kata-kata dari bumi ini?

Saya bukan bomoh. Saya juga bukan seorang saintis dan jauh sekali pakar kaji cuaca. Tetapi saya cukup yakin gaya hidup dan budaya yang kita junjung hari ini adalah penyebab utama yang menjadikan bumi kita ini sakit dan demam.

Justeru pada hemat saya bumi sedang bersuara agar kita umat manusia menilai kembali gaya hidup kita. Kali ini saya berjihad dan berdakwah untuk menyampaikan pesanan bumi manusia.

Apakah gaya hidup yang membawa mudarat pada bumi ini?

Tidak susah untuk saya memberi pencerahan tentang apa itu gaya hidup itu. Saya memohon pembaca berhenti sejenak. Dengan hati yang jujur sila kira ada berapa pasang kasut tersusun di tepi rak sebelah pintu masuk? Sila buka almari pakaian dan lihat berapa timbun pakaian yang tidak pernah dipakai. Sila kira berapa banyak beg tangan tergantung dan berapa helai kain tudung. Buka tingkap dan lihat berapa biji kereta tersadai di hadapan rumah.

Saya sendiri mengakui memiliki belasan kasut yang terkumpul. Banyak kasut yang tidak dipakai. Saya juga memiliki setimbun kain baju yang telah saya lupakan. Jangan risau saya tidak memiliki kain tudung tapi memiliki pelbagai jenis topi.

Dari mana barang-barang ini terkumpul. Siapa menyuruh atau memberi arahan agar kita memiliki benda-benda ini?

Memiliki dan mengumpul benda dan produk adalah satu gaya hidup. Ia telah menjadi satu budaya. Gaya hidup yang sedang membudayakan kita sekarang ialah budaya konsumer. Budaya konsumer ialah budaya beli, kumpul dan pakai.

Budaya konsumer ini lahir dari sistem ekonomi kapitalis. Dalam kerangka ekonomi kapitalis konsumer, pengguna atau pembeli amat penting. Tanpa pengguna, tanpa pembeli sistem kapitalis akan runtuh.

Dalam sistem ekonomi kapitalis perkembangan ekonomi amat penting. Ekonomi wajib terus menerus berkembang. Maknanya kilang terus mengeluarkan produk. Kilang terus mengeluarkan barangan. Dalam masa yang sama produk dan barangan yang dihasilkan wajib dibeli oleh konsumer. Konsumer wajib diyakinkan untuk terus membeli. Ini putaran hukum ekonomi kapitalis. Putaran ini wajib berterusan agar sistem ekonomi kapitalis terus bergerak ke hadapan.

Jika putaran ini terencat atau terputus maka sistem ekonomi kapitalis akan menghadapi krisis.

Di belakang kilang Proton

Untuk memastikan sistem ini berterusan maka tuan punya kilang, kaum pemodal wajib terus menerus membuat benda-benda baru yang akan menarik dan memberahikan pembeli. Benda-benda baru ini wajib dipasarkan untuk memastikan kilang terus menerus berjalan.

Contohnya, kilang Proton di Tanjung Malim wajib terus mengeluarkan kereta. Para vendor Proton wajib terus memasarkan proton. Harus mengiklankan keindahan Proton agar orang ramai akan membeli Proton. Jika tidak kilang Proton akan lingkup.

Di belakang kilang Proton ini ada lagi jalur-jalur yang wajib diketahui. Besi dan timah wajib dicari gali. Plastik dari minyak wajib dikumpul. Dan untuk memastikan Proton bergerak bahan bakar petrol wajib digali dari perut bumi. Menggali dari perut bumi ini menyebabkan bumi demam. Asap dari Proton ini membuatkan bumi batuk.

Kilang Proton hanya satu contoh kecil - sebuah kilang kecil di Malaysia tentang putaran budaya konsumer.

Bayangkan berapa ratus juta buruh sedang membuat produk di ratusan ribu kilang di China. Bayangkan berapa ratus ribu kilang sedang bergerak di India. Bayangkan berapa banyak asap keluar. Bayangkan jutaan tan arang batu dibakar saban hari. Bayangkan berapa banyak petrol terbakar. Berapa banyak asap memasuki ruang udara. Bayangkan berapa juta tan karbon dioksida - CO2 - memasuki atmosfera alam kita. Semua ini adalah virus yang menyebabkan bumi kita ini demam.

Selagi kilang ini bergerak. Selagi arang batu dibakar. Selagi petrol menjana kuasa, selagi itulah bumi yang demam ini tidak akan sihat-sihat.

Anak semua bangsa sedang terperangkap dalam gaya hidup konsumer. Ramai yang tidak menyedari perkara ini. Ramai tidak sedar bahawa kita - umat manusia - bertanggungjawab menjadikan dunia kita demam. Mungkin juga ramai tidak mendapat penerangan dan pencerahan tentang bagaimana bumi ini boleh jatuh sakit.

Sebenarnya apa yang saya lakar ini bukan satu yang baru. Untuk umat Melayu Islam pasti telah membaca kesah tamadun ‘Ad dan Ubar dalam kitab Al-Quran. Tamadun ini telah runtuh. Malah kita hanya wajib menggunakan sedikit akal untuk bertanya: apa terjadi kepada Arabi Saudi yang pada satu ketika dahulu adalah tanah hijau yang subur. Atau bertanya apa yang terjadi kepada tamadun Inca di Mexico. Atau apabila melihat gambar Piramid di Mesir atau lalu di Sunway - kita akan bertanya kenapa tamadun ini runtuh.

Ingatlah apabila virus demam malaria berkenduri kendara dan beranak pinak membaham darah mangsa - ia juga sedang menyediakan malapetaka. Mangsa yang dibaham akan gugur tewas. Apabila mangsa tewas maka virus ini akan gugur bersama.

Bumi sedang bercakap mengingatkan kita semua agar mengubah gaya hidup. Jika umat manusia meneruskan gaya hidup ini maka bumi dan kita semua akan pupus bersama.

P/S - Kita hanya ada sebuah bumi.

Lihat Komen
ADS