Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya mahu bertanya - jika tetiba elektrik padam apa akan terjadi? Jika tetiba air paip terputus apa akan terjadi? Tetiba bahan bakar minyak petroleum habis, siapakah antara kita di Malaysia ini yang akan merasa selamat?

Selamat yang saya maksudkan memberi makna kehidupan harian berterusan tidak terganggu gugat. Hidup mereka seperti biasa. Hidup mereka seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Anak bini kaum keluarga sahabat taulan semua bahagia memagari hidup.

Siapa agaknya yang akan terselamat?

Jangan terperanjat jika saya katakan yang akan terselamat ialah anak manusia warga suku bangsa Penan, warga Senoi, Jakun, Semelai, Temiar - Orang Asal semenanjung dan kaum suku bangsa Dayak dan suku bangsa Iban di Sabah Sarawak.

Manakala di Afrika, warga yang tinggal jauh dari kota akan selamat. Warga kais pagi makan pagi mengumpul makanan akan selamat. Suku bangsa yang masih menetap dalam hutan belantara pasti akan selamat. Warga Masai dan suku kaum Afrika yang tinggal di Padang Pasir Kalahari juga akan selamat.

Manakala di Amerika Latin, warga asal yang tinggal dalam hutan Amazon akan meneruskan hidup mereka seperti biasa. Suku kaum Korgi akan terus selamat dikampung-kampung mereka atas Gunung Andes.

Bangsa-bangsa asal di seluruh dunia ini sama ada di Asia, Afrika atau Amerika Latin tidak ambil pusing sama ada Bursa Saham New York ditutup atau dibuka.

Bursa saham bukan bahan bual mereka. Sama ada bahan bakar petrol ada di pasaran dunia atau tidak, ia tidak akan menggangu mereka.

Di Malaysia suku bangsa Penan dan Senoi tidak akan peduli sama ada stesen Astro atau RTM akan memancar program atau tidak. Mereka tidak ambil pot kalau Amerika runtuh. Tidak ambil pot kalau dolar pupus dan nilai yuan naik mendadak. Mereka juga tidak peduli kalau Najib akhirnya ditangkap oleh FBI untuk dibawa ke mahkamah New York.

Dunia mereka bukan dunia kita. Apakah yang saya lakar ini satu kebenaran.

Saya cukup yakin warga yang akan terganggu kehidupan mereka ialah warga kota. Warga kota atau warga moden adalah warga yang paling lemah daya fikir. Paling pantas menjadi menjadi kelam kabut. Jika rutin kehidupan mereka beralih maka akan terhambur sumpah seranah. Buktinya cukup senang, jika ada para pembaca tinggal di bilik, flet atau kondo yang tinggi - tetiba kuasa elektrik putus. Bagaimana perasaan?

Atau sekali sekala DBKL datang untuk melawat tangki air. Tetiba paip air ditutup untuk beberapa jam. Bagaimana perasaan?

Saya memberi istilah bahawa kita semua ini warga moden. Tetapi sebenarnya lebih tepat lagi kalau saya katakan bahawa kita ini warga pengguna atau warga konsumer atau warga pemakai. Kita mengguna, kita memakai tetapi kita tidak pernah menjadi pengeluar benda dan barangan yang kota guna pakai. Kita hanya ‘consume’, kita menjadi konsumer yang setia.

Menyembah kereta

Kita tidak menjadi pengeluar kerana barangan yang perlu diguna pakai didapati melalui pertukaran duit.

Duit ini kita dapati apabila kita bertukar masa yang kita ada, tenaga kita, kebolehan dan daya fikir kita. Kita jual masa kita. Jual jual tenaga kita. Kita jual masa kita kepada pembeli termahal. Jual daya fikir dan intelek kita. Semua untuk mendapat duit. Duit ini digunakan untuk mendapat barangan yang kita tidak buat.

Apa yang saya tulis ini ialah lingkaran asas sistem ekonomi. Ada yang mengeluar dan ada yang membeli. Ada permintaan ada pengeluaran. Jadi apa masalahnya dengan sistem ini?

Sistem ekonomi kapitalis ini telah melahirkan satu gaya hidup yang membawa nilai, memperkukuh falsafah, menetaskan pandangan dunia dan memberi pandangan agama.

Apakah ini satu kesalahan?

Pada ketika ini menjadi konsumer bukan satu jenayah. Malah menjadi konsumer dirayakan sebagai satu kejayaan. Dalam budaya ekonomi kapitalis mengumpul benda sebanyak mungkin akan dinobatkan sebagai kejayaan. Justeru Robert Kuok, Ananda, Soros, Daim, Syed Mokhtar, atau Rockefeller dijadikan sosok contoh untuk diikuti sebagai lambang kejayaan.

Betul. Sosok-sosok ini dirayakan dalam satu masa yang lampau. Kini tidak lagi.

Hari ini budaya konsumer yang dinobatkan oleh sosok-sosok ini telah menjadi salah satu punca yang menjadikan bumi kita demam. Budaya konsumer yang lahir dari sistem ekonomi kapitalis ini telah terbukti memudaratkan kita semua. Semua yang saya maksudkan ialah kesemua umat manusia.

Justeru saya mencadangkan untuk kita sesama mencari selamat. Masanya telah sampai agar kita meninggalkan budaya konsumer. Meninggalkan agama yang menyaksikan kita menyembah kereta. Meninggalkan agama yang memiliki benda menjadi rukun iman. Meninggalkan agama yang membuatkan kita bertawaf dengan harta dan kekayaan.

Telah sampai masanya kita meninggalkan agama dan kepercayaan yang menganggap suku kaum Penan yang bercawat di Sarawak sebagai orang liar. Meninggalkan agama yang percaya bahawa Orang Asal yang hidup tanpa rumah batu dalam hutan di Gua Musang sebagai kaum yang tidak bertamadun.

Pada hemat saya masanya telah sampai untuk kita semua melihat kembali nilai diri kita. Melihat kembali pandangan dunia kita. Dan mentafsir kembali falsafah pegangan hidup kita sebelum kita menuduh warga yang bercawat, warga yang tidak ada telefon bijak, warga yang tidak menonton Astro sebagai ketinggallan zaman.

Pada hemat saya budaya konsumer telah menjadikan kita warga yang paling lemah. Fikrah warga moden lemah kerana kehidupan kita bersandarkan pembuatan orang lain.

Pada hemat saya tamadun moden hari ini sedang diserang oleh dua malapetaka. Pertama sistem ekonomi kapitalis ini telah sampai ke tahap tepu. Ia tidak dapat berkembang lagi. Dalam keadaan sedemikian dari hukum sejarah maka kaum pemodal antara bangsa akan meledakkan perang dunia.

Sebelum ke penjara

Kemungkinan ini tidak dapat diketepikan. Perang dunia pertama dan kedua semuanya dilakukan kerana sistem ekonomi kapitalis berhadapan dengan masalah.

Malapetaka kedua ialah bencana alam yang sedang dialami bukan hanya oleh warga Chuping, Perlis tetapi pemanasan dunia hari ini sedang memanaskan warga seluruh dunia.

Mustahil tidak terbaca bagaimana sembahyang hajat telah dijalankan di Temerloh kerana Sungai Pahang telah susut. Ikan patin dalam sangkar mati kekeringan. Mustahil tidak terbaca bagaimana empangan Bukit Merah Perak semakin kering.

Chuping, Bukit Merah dan Temerloh ini hanya tiga tempat yang saya tuliskan namanya. Sebenarnya ada ribuan juta wilayah dan kawasan dalam dunia kita ini sedang mengalami perubahan cuaca. Ada berjuta Chuping. Ada beratus ribu Sungai Pahang yang makin susut. Ada ratusan ribu empangan Tanah Merah menjadi kering. Jutaan ekar kawasan lembah pertanian menjadi mangsa kemarau. Padang pasir saban hari sedang memakan kawasan cucuk tanam. Panen gagal. Kebakaran berlaku di sana-sini. Semua ini adalah tanda tanda malapetaka.

Saya tidak mahu dilihat sebagai pembawa maklumat songsang yang menakut-nakutkan pembaca. Saya tidak mahu dilihat sebagai pembawa maklumat gelap yang menakutkan. Tetapi dalam masa yang sama, daripada pengamatan saya, daripada pembacaan saya, secara jujur saya akui bahawa saya merasa takut melihat apa yang sedang berlaku sekarang.

Saya akui saya amat-amat takut apabila membaca berita Sungai Pahang di Temerloh susut. Saya menjadi takut apabila saya melihat gambar sungai Pahang cetek berlumpur. Gambar ini terpampang dalam akhbar kita.

Sebenarnya kesedaranlah yang melahirkan ketakutan. Jika saya tidak sedar maka saya tidak akan takut. Maka saya tak ambil pot. Kerana saya sedar apa yang berlaku maka saya cuba mencari jawapan. Apabila saya temui jawapan maka saya anggap jawapan ini satu pencerahan. Pencerahan ini wajib saya kongsi bersama. Berkongsi pencerahan secara beramai-ramai pada hemat saya hanyalah satu satunya jalan untuk kita sesama menyelamatkan alam ini.

Justeru, mari kita kembali kepada persoalan awal, siapa yang selamat jika malapetaka sampai.

Mari kita amati cara hidup, budaya hidup Orang Asal. Cara suku kaum Penan bercucuk tanam. Mari kita pelajari budaya gotong royong Orang Asal atau Penan. Lihat bagaimana mereka berkerja bersama-sama mementingkan komuniti dari mementingkan diri sendiri. Lihat bagaimana hidup mereka berani dan merdeka.

Mendahulukan komuniti dari mendahului diri sendiri adalah pandangan dunia yang amat-amat bertentangan dengan falsafah dan gaya hidup budaya kapitalis. Dalam budaya agama konsumer kapitalis mementingkan diri sendiri demi keuntungan adalah rukun iman pertama.

Inilah perbezaan hakiki antara pandangan dunia kaum kapitalis dengan pandangan dunia kaum Penan. Kaum Penan mementingkan orang ramai. Kaum kapitalis mementingkan diri sendiri.

Hari ini ketika bumi berhadapan dengan potensi dua malapetaka. Kita sebagai umat manusia diberi pilihan untuk diri sendiri atau untuk kebaikan umum. Untuk keuntungan peribadi atau untuk keuntungan orang ramai.

Saya tahu apa yang saya pilih justeru ini adalah tulisan-tulisan akhir saya sebelum saya dipenjarakan. Jika elektrik padam dan air terputus saya masih ketawa.

Lihat Komen
ADS