Paling Popular
Terkini

Kawanku yang baik hati,

Bila kau membaca surat ini pasti kau sedar bahawa aku masih bebas. Aku tidak dimasukkan ke dalam penjara. Aku masih lagi boleh menulis, boleh berjalan dan boleh ketawa.

Surat dari aku untuk kau ini aku tulis dalam suasana bebas merdeka. Aku senang hati dapat menulis kepada kau sekali lagi.

Pasti kau ingin tahu apa yang telah berlaku pada Hari Guru - Senin 16 Mei yang lalu. Pasti kau ingin tahu apa yang telah berlaku dalam Mahkamah Rayuan Jenayah 3 Putrajaya pada hari itu.

Jadi, aku rasa telah menjadi tugas aku sama seperti tugas Tun Seri Lanang merakamkan kembali Salalatus Salatin. Aku juga ingin merakamkan babak-babak sejarah ini agar anak cucu cicit kita nanti akan dapat mengetahui dan memahami apa yang telah berlaku.

Aku mahu anak cucu cicit kita akan terus bertanya - kita ini dari mana dan hendak ke mana.

Pada awal kisahnya - pada malam 14 Mei 2016 - dua hari sebelum kes aku dimuktamadkan di Putrajaya, anak-anak muda Bangsar telah membuat kenduri. Mereka menjemput teman dan taulan, kenalan dan sahabat, kawan dan rakan. Pada hemat mereka ini adalah hari hari akhir aku bersama kawan-kawan.

Malam itu kami bersetiakawan. Dalam gelak ketawa sekali lagi kami menyambung silaturahim. Dari jauh mereka datang dengan hati suci. Ada yang berdoa agar aku tidak dimasukkan ke penjara. Ada berdoa di kuil. Ada yang ke gereja. Semuanya berdoa agar aku terus bebas.

Malam itu ada kawan yang dari jauh di Johor, dari Kedah dan dari Pahang. Ada muka yang muncul secara tetiba yang selama ini aku tidak tahu di mana sosok ini berada. Rupa-rupanya mereka masih setia, masih mahu bersetiakawan. Malah ada yang khusus mengambil cuti hanya untuk bersama bersetiakawan.

Ada kawan yang datang khas untuk memperkenalkan diri dan berjabat salam dengan ucapan selamat teguh berjuang.

Ada beberapa sosok yang secara jujur aku katakan aku tidak dapat mengingati nama-nama mereka. Empat puluh tahun dahulu di Universiti Malaya atau di Kota London, mustahil ingatan aku cerah lagi. Tapi yang penting mereka masih dalam saf berjuang.

Malam itu hujan turun. Tidak lebat. Dalam renyai- renyai basah-basah kami menikmati patin tempoyak, tilapia pekasam dan masak lemak ikan temoleh. Ada kawan baik dari Temerloh telah memasak bersedekah. Ada juga yang datang membawa nasi lemak. Malah ulam petai terhampar di atas meja. Sebagai ingatan, mana tahu, mungkin sembilan bulan aku tak akan bertemu petai.

Ada kawan membaca sajak, ada yang memetik gitar dan ramai yang berucap dengan kata-kata semangat perjuangan. Semua bersetiakawan. Ingat mengingati bahawa kita semua dalam satu saf. Dalam satu arus perjuangan.

Malam itu tanpa segan silu kami nyatakan sekali lagi bahawa kamilah anak manusia warga dari bumi yang tercinta ini yang sedang bangun berjuang untuk membawa keadilan. Kami mahu membawa keadilan untuk anak semua bangsa. Ini janji setia yang kami lafazkan pada malam itu.

Hujan menyorok air mata

Kawanku yang baik hati,

Biar aku katakan kepada kau bahawa hujan malam itu berjaya menyorok detik-detik air mata aku. Setiap kali aku bersalaman setiap kali air mata berlinangan. Kau jangan silap faham. Aku bukan bersedih. Air mata itu ialah air mata gembira kerana aku bersama mereka yang masih teguh berjuang.

Esoknya, Ahad petang, aku ke Dapur Jalanan di Jalan Panggung. Kali ini berjumpa dengan anak- anak muda yang setiap petang Ahad akan beramal jariah memberi makanan kepada warga miskin kota. Aku juga ingin mengucap selamat maju jaya kepada mereka. Inilah anak-anak muda berhati jujur yang berbakti kepada bumi ini.

Pada petang Ahad itu aku teringat bahawa dalam negara kita ini memang ramai orang baik-baik. Anak anak muda Dapur Jalanan ini hanyalah satu contoh kecil. Mereka adalah anak-anak muda yang baik-baik. Tanpa diupah tanpa dikerah mereka membuat amal jariah.

Bayangkan jika ramai lagi orang baik-baik melakukan sesuatu atau bersuara menggaris jalan kebaikan. Atau orang-orang baik ini bersuara melarang kemungkaran, bayangkan bagaimana permainya bumi tanah air kita ini.

Kawanku yang baik hati,

Kau tidak tahu perasaan aku kali ini. Agak susah untuk aku terangkan kepada kau. Bukan. Bukan. Kau jangan silap faham. Bukan aku takut dengan penjara. Bukan aku gentar. Tidak. Aku telah 15 kali ditahan dalam lokap dan penjara.

Tetapi tidak pernah aku masuk penjara atau lokap dengan segala persediaan seperti kali ini. Ini yang menjadikan aku merasa lain. Macam aku hendak disunatkan sekali lagi. Atau macam aku menunggu tok mudim dengan penuh debaran. Apakah kau faham apa yang aku cuba surahkan ini?

Malam sebelum ke mahkamah aku telah membungkus 14 buah buku. Ini persediaan akhir. Dari pengalaman selain dari nyamuk, semut, pijat dan lipas buku adalah sahabat paling setia dalam penjara.

Aku membawa kitab Sahih Bukhari, aku membawa Hemingway. Antara lain yang ingin aku bawa ialah dua kitab komik dan lawak yang aku rasa amat-amat diperlukan dalam penjara.

SMS terakhir pagi itu aku tulis dalam kereta dalam perjalanan ke mahkamah. Isinya:

“Kawan-kawan, SMS terakhir sebelum ke Kajang. PRK yang akan datang sila satu lawan satu, persediaan untuk PRU14.”

Aku menghantar SMS ini untuk kawan pimpinan dalam Pakatan Harapan yang aku kenali sahaja. Kemudian aku tinggalkan telefon bimbit ini untuk dijagai.

Aku rasa pagi Senin itu kami sampai ke Putrajaya dalam jam 8.18 pagi. Ramai kawan-kawan telah berada di sana. Sebelum jam 9 aku bertemu dengan Ambiga dan Syahredzan. Kami berbincang tentang apa yang berlaku. Ambiga masih keras percaya bahawa di mana-mana dalam dunia ini apa yang aku lafazkan pada 13 Mei 2013 bukan satu kesalahan. Aku hanya tersenyum kerana aku telah bersedia untuk ditahan.

Dalam kandang OKT

Kawanku yang baik hati,

Bila kes aku disebut - kes kedua - aku pun masuk ke dalam kandang Orang Kena Tuduh (OKT). Mahkamah mengumumkan kedatangan hakim. Semua dalam mahkamah berdiri. Aku berdiri menunggu. Tiga orang tuan hakim masuk. Apabila hakim telah duduk maka semua dalam mahkamah dibenarkan duduk. Nama kes aku disebut dan aku dalam kandang OKT tegak berdiri. Kemudian hakim menyuruh aku duduk.

Tiga orang hakim yang bergelar datuk telah meneliti untuk menghakimi kes aku. Ketua hakim yang duduk di tengah-tengah ialah seorang perempuan.

Ambiga Sreenevasan membuka hujah. Ambiga menerangkan bahawa tiga perkara yang digaris hitam dalam kertas pertuduhan bukanlah satu yang melanggar hukum atau undang-undang.

Pada 13 Mei 2013 aku telah berucap dalam Dewan China Kuala Lumpur. Aku telah meminta para hadirin untuk meluluskan tiga resolusi. Pertama: Menolak keputusan PRU13. Kedua: Di tempat-tempat yang didapati ada penipuan yang jelas adakan pemilihan sekali lagi. Ketika: Kita susun demonstrasi.

Ambiga berhujah, tidak menjadi satu jenayah jika kita menolak keputusan PRU13. Mengadakan pemilihan sekali lagi membuktikan bahawa OKT masih yakin dengan pilihan raya. Manakala menyusun gerakan jalan raya, demonstrasi bukan satu jenayah kerana pada 2012 telah diluluskan Akta Perhimpunan Aman yang membenarkan warga untuk berkumpul dan berhimpun. Malah menurut Ambiga hak ini ada tercatat dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Seorang hakim dari sebelah kiri telah mencelah bertanya. Apakah akta ini telah dilulus ketika aku membuat ucapan? Ambiga menjawab positif.

Sesudah Ambiga berhujah giliran Syah. Syah telah menunjukkan kepada mahkamah bahawa dalam kes Akta Hasutan yang terdahulu, pemenjaraan tidak digunakan. Cuma denda. Syah telah merujuk satu kes hasutan sesudah 13 Mei 1969. Mengikut hujah Syah, walaupun dalam suasana yang tegang si polan ini tidak dimasukkan ke dalam penjara. Hanya dua sosok dipenjara kerana Akta Hasutan - Lim Guan Eng tahun 1998 dan Uthayakumar tahun 2013.

Justeru mengikut Syah tidak ada apa manfaat untuk memasukkan aku selama sembilan bulan ke dalam penjara. Malah 5,000 ringgit itu adalah hukuman maksimum.

Akhirnya pihak pendakwa berhujah. Pendakwa mahu aku dijadikan contoh agar tidak ada lagi sesiapa di belakang aku yang akan berani menghasut. Hasutan aku amat bahaya walau pun sesudah ucapan aku itu tidak ada berlaku kekecohan atau keganasan. Untuk pendakwa ucapan aku memiliki kecenderungan menghasut.

Pendakwa mengakui bahawa Akta Perhimpunan Aman telah wujud ketika aku memberi ucapan.

Kemudian Ambiga menjawab sekali lagi.

Akhirnya tuan hakim perempuan memandang ke kiri dan ke kanan. Lalu mereka bangun. Perbicaraan dihentikan. Tuan-tuan hakim berundur untuk membuat keputusan.

Kawan-kawan menjerit sorak

Kawanku yang baik hati,

Kau bayangkan bila mahkamah berhenti rehat. Aku dalam ketenangan yang merisaukan. Inilah detik-detik antara kebebasan dan hidup dalam penjara. Walaupun aku telah bersedia tapi debaran masih menggegar jantung.

Aku keluar. Di luar mahkamah terlalu ramai kawan-kawan yang tidak dapat masuk. Juga wakil dari media yang berasak-asak.

Ah! Hampir aku terlupa untuk memberitahu kau bahawa Kedutaan Amerika, Kanada dan Jerman telah menghantar wakil untuk melihat perbicaraan ini. Termasuk juga Suaram dan Amnesty International.

Keluarga aku yang hadir ialah Pak Amjal. Ramai kawan-kawan tidak sedar bahawa Pak Amjal ini adalah adik kandung Rais Manaf. Rais Manaf ini ialah ayah kepada Hishamuddin Rais. Ini hubungan kami.

Kami menunggu. Kami menunggu. Lebih dari 40 minit pegawai mahkamah umumkan hakim akan masuk semula. Semua mengambil tempat. Aku masuk kembali ke kandang OKT.

Seorang anak muda pegawai mahkamah datang di hadapan aku sebagai penterjemah. Ketua Hakim berucap dalam bahasa Inggeris. Aku tidak memerlukan anak muda itu menterjemah. Aku tersenyum. Kawan-kawan di belakang aku menjerit bersorak. Aku hanya dikenakan hukum denda dan tidak dipenjara. Amin. Wassalam.

Surat aku kepada kau

Lihat Komen
ADS