Paling Popular
Terkini

Rentetan percambahan wacana “Islam rahmatan lil ‘alamin”, ramai yang sudah arif akan ayat “Dan tidak aku utuskan engkau Muhammad melainkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam” ini sama ada secara literal mahupun tafsiran lebih mendalam.

Dalam kitab tafsir Fi Zilal al-Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, ditafsirkan surah Al-Anbiya’ ayat 107 sebagai misi utama nubuwwah (kenabian) iaitu untuk menyebarluaskan rahmat dan kasih sayang Allah kepada semua.

Dalam konteks sistem bermasyarakat, Asy-Syahid (gambar) menyatakan Islam telah memperjuangkan dasar sama rata di hadapan keadilan dan undang-undang untuk semua orang, sedangkan di waktu itu manusia dibeza-bezakan dan setiap kelas mempunyai undang-undang sendiri.

Malah kehendak dan kemahuan kelas tertinggi telah menjadi undang-undang di zaman perhambaan dan feudal.

Namun wacana ini menimbulkan banyak persoalan.

Tidak kurang juga kritikan sesetengah golongan berkaitan persoalan “antara merahmatkan Islam atau rahmat itu yang perlu diislamkan?”

Persoalan sebegini tidak kurang beza dengan persoalan yang ditimbulkan beberapa cendekiawan Indonesia ketika membahaskan wacana “Islam Nusantara”.

Agak keterlaluan apabila ada yang melabelkan wacana tersebut berasal daripada ketidakfahaman tentang Islam kerana seolah-olah mahu “menusantarakan Islam”, di sebalik mengislamkan nusantara.

Penulis ingin lontarkan satu senario mudah.

Sebagai contoh, dalam keadaan apabila seorang bukan Islam tidak dibenarkan berniaga di sesuatu tempat untuk memberi keutamaan kepada Muslim lain, hingga dia hilang punca pendapatan dan anak-anaknya akhirnya kelaparan.

Persoalan di atas pasti akan menetaskan persoalan lain, adakah larangan hak untuk berniaga tersebut merupakan satu larangan yang sah di sisi agama sehingga menyebabkan manusia kelaparan?

Adakah ia merupakan satu dari singkapan tujuan (maqasid) sesuatu hukum untuk membiarkan manusia lapar?

Bagi menjawab persoalan awal “antara merahmatkan Islam atau mengislamkan rahmat”, senario di atas boleh dihubungkaitkan dengan hakikat bahawa nilai kerahmatan Allah itu adalah universal sifatnya.

Dan ia juga tidak perlu dirahmatkan lagi dengan definisi, acuan dan fahaman kita hingga membatasi kasih sayang Allah itu kepada manusia tertentu.

Apabila nilai kerahmatan Allah dihadkan dan disempitkan, maka akan berlaku kesengsaraan dalam kehidupan manusia.

Membicarakan tentang manifestasi rahmat Allah menerusi hukum Syariah dan maqasidnya, Ibn Qayyim al-Jauziyah merumuskan syariah dibina dengan keadilan, kebaikan dan hikmah.

Ketiga-tiga ini merupakan ciri manifestasi kerahmatan dan kasih sayang Allah.

Ibn Qayyim menjelaskan :

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu adalah segalanya keadilan, kebaikan dan hikmah.

“Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia, maka ian bukanlah syariah sekalipun diberikan takwilan untuknya.” ( L’lam al-Muwaqqi’in)

Dalam satu riwayat pada zaman Nabi Muhammad SAW, telah datang seorang sahabat memberitahu nabi bahawa beliau melanggar pantang-larang Ramadan dengan menggauli isterinya di siang hari.

Maka, sebagai kifarah Rasulullah meminta sahabat tersebut membebaskan seorang hamba atau berpuasa selama dua bulan berturut-turut.

Namun, sahabat tersebut menginsafi kelemahan untuk menunaikan kedua-dua kifarah tersebut.

Maka, Nabi meminta untuk ditunaikan pilihan kifarah ketiga iaitu dengan memberi makan kepada orang miskin.

Sahabat tersebut lantas menyatakan bahawa beliau sendiri adalah seorang yang miskin dan tidak mampu untuk memberi makan kepada orang lain.

Pada ketika itu, terdapat seorang sahabat lain secara kebetulan datang ke masjid membawa makanan dan nabi lantas minta sahabat tersebut untuk mengambil makanan dari sahabat lain tersebut dan diberikan kepada faqir miskin.

Sahabat tersebut mengambil makanan yang diberikan akan tetapi menyatakan bahawa di kampung ini keluarga beliau adalah yang paling miskin dan tiada penduduk lain yang lebih miskin dari keluarganya.

Maka Rasulullah SAW meminta sahabat tersebut membawa balik makanan tersebut dan menikmatinya dengan keluarganya.

Dari riwayat ini menjelaskan refleksi rahmat di sebalik sesuatu perintah hukum syarak.

Bagaimana seorang yang melanggari perintah Allah dihukum dengan mendapat sesuatu kebaikan atas sebab kerahmatan Islam kepada umatnya.

Justeru, tidak seperti teori undang-undang lain, kekuatan syariah berdiri bukan atas sifat hukuman yang berat dan penguatkuasaan yang ketat semata-mata yang dapat menggerunkan orang ramai dari melakukan kesalahan.

Tetapi, kekuatan di belakang syariah adalah hikmah yang mewarnai maqasid sesuatu hukum yang tersirat, sebagai natijah akhir yang dapat membawa misi rahmatan lil ‘alamin kepada manusia.

Maqasid hukum syarak sebagai misi kerahmatan

Atas dasar tersebut, percambahan pemikiran dalam konteks pengembangan syariah dan maqasidnya perlu sentiasa dibugarkan bagi mengelakkan fenomena kegersangan idea-idea segar dalam kalangan ilmuwan Muslim.

Kejumudan dalam kalangan pemikir Islam hanya akan menatijahkan agama sebagai sesuatu yang kaku dan terkebelakang serta gagal menetaskan misi kerahmatan.

Pada abad ke-20, secara signifikanya beberapa tokoh ilmuwan dalam bidang maqasid syariah telah mengembangkan lima objektif syariah sebagai teori baharu berorientasikan keperluan semasa.

Ulama maqasid syariah Dr Jasser Auda menggariskan beberapa contoh pengembangan definisi objektif syariah berasaskan relevensi semasa.

Sebagai contoh hifz al-nasl (memelihara keturunan) dari hanya terbatas kepada larangan berzina dikembangkan kepada teori berorientasikan pemeliharaan kekeluargaan yang lebih meluas.

Begitu juga dengan hifz al-‘aql (pemeliharaan akal) yang sekian lama terhad kepada pengharaman perkara yang memabukkan dikembangkan untuk menghalang penyebaran pemikiran yang merosakkan, menentang mentaliti kepuakan termasuk mengelakkan brain drain.

Demikian juga hifz al- nafs (pemeliharaan nyawa) dikembangkan kepada istilah memelihara maruah dan harga diri individu yang ditafsir sebagai hifz al-karamah insaniyah (pemeliharaan kemuliaan insan).

Malah ada yang mengungkapkannya sebagai hifz huquq al-insan (pemeliharaan hak asasi manusia).

 

Hifz sl-din (pemeliharaan agama) tidak ketinggalan dalam perkembangan teori baharu yang dimaknakan sebagai hurriyyah al i’tiqadat (kebebasan beragama) menurut istilah Ibn Ashur.

Kelompok yang berpandangan sedemikian sentiasa memetik ayat “Tiada paksaan dalam urusan agama” sebagai prinsip fundamental berbanding apa yang disebut sebagai had al riddah (hukuman murtad) yang terdapat dalam rujukan tradisi.

Hifz al-mal (pemeliharaan harta) juga berlaku evolusi dari larangan mencuri atau menghukum pencuri kepada teori sosio ekonomi seperti kewajipan kerajaan menyediakan pembangunan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan mengurangkan perbezaan jurang ekonomi.

Pengembangan ini membolehkan maqasid syariah dimanfaatkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang sangat diperlukan masyarakat.

Selain itu, pengukuhan perundangan di Malaysia berkaitan hak cipta mengikut lunas instrumen antarabangsa seperti The Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Work juga boleh dikupas sebagai salah satu pemeliharaan terhadap harta seseorang individu.

Pengarang buku Principles of Islamic Jurisprudence, Prof Dr Mohammad Hashim Kamali pernah mencadangkan skop maqasid dikaji semula dari lima senarai yang ditetapkan kepada nilai-nilai yang tidak terhad seperti keadilan, maruah dan hak asasi manusia, kebebasan dan keamanan yang mana semuanya mempunyai dalil al-Quran.

Menurut beliau maqasid adalah matlamat syariah dan secara logik tidak harus terhad kepada bilangan tertentu semata-mata kerana syariah sendiri adalah luas.

Bagi memastikan kesesuaian, pembangunan dan perkembangan yang berterusan berdasarkan ijtihad, pembaharuan dan matlamat syariah juga mesti kekal berkembang dari sudut pembangunan perundangan dan ketamadunan Islam.

Keterbukaan pengembangan hukum syarak juga dapat dilihat dalam penerokaan prinsip keutamaan perundangan istihsan atau juristic preference dalam hukum warisan harta pusaka.

Dalam tulisan beliau “Istihsan and the renewal of Islamic Law”, beliau menyatakan prinsip ini pernah digunakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab.

Secara umum, hujah yang menyokong pemberian bahagian harta pusaka yang lebih untuk waris lelaki adalah kerana seorang lelaki bertanggungjawab memberi nafkah dan menyediakan keperluan wanita dalam perkahwinan, serta bantuan kewangan untuk membantu wanita yang bercerai.

Namun, bagi beliau terdapat keperluan untuk ulama dan hakim meneroka prinsip istihsan yang boleh menangani undang-undang sedia ada yang membawa kepada keputusan yang tidak adil.

Gagal meneroka pembaharuan

Makalah Sheikh Dr Rached Ghannouchi bertarikh 7 Oktober 2010 dengan tajuk Adakah Pembaharuan Islam Mencapai Objektifnya? telah menggariskan keperluan penerokaan pemikiran baharu ini yang lebih segar sebagai syarat asas kegemilangan Islam sebagai buah kepada kerahmatan Allah.

Dalam tulisan tersebut beliau menyatakan:

“Hampir tiada satu zaman yang sunyi dari fuqaha’ yang mujtahid dan mujaddid. Ia merupakan syarat asas untuk kekalnya agama ini menerusi jalan interaksinya yang berterusan dengan perbezaan zaman dan tempat.

“Para pembaharu (mujaddid) itu lebih banyak wujud pada zaman kegemilangan dan sedikit sahaja pada zaman kejatuhan.”

Hari ini walau sudah diangkat tema “Islam rahmatan lil ‘alamin” menjadi wacana malah slogan perjuangan sebahagian pihak, mengapa Islam masih menjadi sesuatu yang ditakuti dan dibenci?

Hakikat kegagalan kita menterjemah kerahmatan ini sebagai jawapan kepada setiap permasalahan akibat dari kejumudan kita dari meneroka pembaharuan adalah sesuatu yang perlu diinsafi.

Selain itu, sikap kita yang meletakkan acuan dan tafsiran sendiri sehingga membatasi kerahmatan Allah hanya untuk golongan tertentu menjauhkan lagi umat manusia bahkan seluruh penghuni alam dari sentuhan rahmat ini.

Sedangkan sepertimana dinyatakan Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, umat manusia hari ini amat memerlukan kepada sentuhan rahmat Allah ini sebagai jawapan kepada pelbagai persoalan.

Ia diperlukan ketika mereka sedang berada dalam kegelisahan dan kebingungan di padang-padang gurun kebendaan yang menyesatkan, terperangkap dalam neraka peperangan dan tersepit dalam ketandusan roh dan hati.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ Setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lihat Komen
ADS