Paling Popular
Terkini
story images
story images

Dunia menjadi heboh. Rampasan kuasa di Turki gagal. Recep Tayyip Erdogan daripada Adalet ve Kalkina Partisi (AKP) hingga ke saat ini masih lagi duduk di kerusi presiden. AKP - Parti Keadilan dan Pembangunan - masih lagi berkuasa di Turki.

Apa sebenarnya berlaku di Istanbul? Apa sebenarnya sedang berlaku di Turki?

Untuk mendapat pencerahan mari kita lupakan heboh-heboh yang AKP ini rapat dengan PKR. Tentang Erdogan ini rapat dengan Anwar Ibrahim. Tentang Anwar jadi penasihat ekonomi Turki. Tentang ramai para YB dari Pakatan Rakyat yang dijemput ke Istanbul untuk belajar pengalaman AKP. Malah Haji Hadi sendiri tersembam jatuh dalam dewan mesyuarat ketika melawat Istanbul.

Kita juga wajib membebaskan diri daripada heboh-heboh yang mentakrif sifat garis politik PKR dan garis politik Parti Amanah ini seakan-akan sama dengan garis AKP, hingga ramai ahli PAS dicap Edorgan. Mereka lari meninggalkan PAS dan menubuhkan AMANAH.

Pada hakikatnya jika sesiapa disamakan dengan Edorgan bermakna orang ini ditakrifkan sama seperti Najib Rosmah. Sama seperti Najib Rosmah?

Betul ke apa yang saya tulis ini? Ertinya Erdogan ini Najib Rosmah. Tepat dan benar. Sahih dan betul bahawa ada persamaan antara Najib Rosmah dengan Erdogan. Pada saya, disamakan dengan Erdogan adalah satu penghinaan yang maha sangat. Ini sama jika kita disamakan seperti Najib atau Rosmah. Satu penghinaan yang maha sangat.

Jangan silap faham apabila saya menyamakan Edorgan dengan Najib Rosmah ini bukan bermakna saya menyokong rampasan kuasa tentera. Saya tidak menyokong rampasan kuasa. Kita semua wajib menentang rampasan kuasa sama ada di Turki mahu pun di Siam. Soldadu bukan pengurus dan pentadbir negara yang terbaik. Soldadu bertugas untuk mempertahan negara daripada musuh luar.

Jangan lupa, Turki moden bermula dengan keruntuhan Empayar Usmaniah. Mustapha Kemal Ataturk, seorang soldadu bersama para intelektual dan tentera melancar revolusi yang menjatuhkan sultan Turki pada tahun 1908. Apabila Perang Balkan pecah (1912-1913), Mustapha Kamal menjadi komander menpertahankan Turki daripada serangan luar. Sesudah perang, Mustapa Kamal menjadi presiden Republik Turki yang pertama pada 1923.

Justeru sejarah soldadu dan tentera merampas kuasa di Turki bukan satu yang baru. Ada rampasan kuasa pada tahun 1960, 1971, 1980 dan tahun 1993. Kelihatan setiap satu dekad ada saja soldadu akan merampas kuasa.

Pembaca wajib sedar, walaupun AKP ini diheboh-hebohkan sebagai parti Islam, parti yang memperjuangkan Islam, parti yang berteraskan keadilan Islam, sebenarnya semua ini hanyalah kulit-kulitan. AKP adalah parti Islam konservatif – anak syarikat Ikhwanul Muslimin yang menjunjung dan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Memang betul jika Islam Turki dibandingkan dengan Islam Saudi, jelas dilihat Turki lebih terbuka dan progresif. Tapi Turki adalah negara kaum kerabat Nato - perjanjian ketenteraan bawah telunjuk kuasa Zionis-Anglo-Amerika.

Malah Turki memiliki bala tentera Nato yang kedua terbesar sesudah Amerika. Hakikatnya Turki yang mengakui dipimpin oleh AKP parti Islam ini memiliki hubungan ketenteraan, diplomatik dan perniagaan rapat dengan Zionis Israel.

Najib ada 1MDB, Erdogan ada Halk Bank

Ketika Perang Dingin (1947 -1991), Turki berjalan menjadi barua setia Amerika. Di zaman-zaman ini Turki sentiasa di bawah kerajaan tentera. Justeru Turki menjadi budak suruhan Nato yang anti-Rusia dan blok Sosialis.

Pembaca akan bertanya apa dia persamaan Edorgan dengan Najib Rosmah?

Begini kisahnya: Kalau Najib Rosmah ada Jho Low, si Erdogan ini ada Reza Zarrab. Kalau Najib ada kes 1MDB si Erdogan ini ada kes Halk Bank.

Kes Halk Bank ini tidak jauh bezanya dari kes 1MDB. Kesah bermula apabila sekatan ekonomi dikenakan kepada Iran.

Dengan tipu helah licik, si Reza Zarrab ini telah berjaya ‘mengurus secara gelap’ perniagaan dengan Iran. Jual beli gas diteruskan. Jual beli emas diteruskan antara Turki dengan Iran. Ini semua dilakukan dengan bantuan kerajaan Turki walau pun ada sekatan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Akhirnya sama seperti kerja jahat di Malaysia, kes Reza Zarrab juga dibongkar. Media Turki agak bebas berbanding dengan negara ini. Berita meledak apabila dalam rumah Reza ditemui wang dolar berjumlah 4.5 bilion. Perniagaan emas berjumlah 9.6 bilion dolar. Skandal ini meledak menggegarkan politik Turki.

Halk Bank di Istanbul digeledah, sama seperti Ambank di Kuala Lumpur. Yang beebeza, di Istanbul tidak ada yang mati disimen atau ditembak.

Sama seperti kes 1MDB, FBI masuk menyiasat. Ini kerana Halk Bank telah melanggar ketetapan PBB bersangkutan dengan kerja gelap mendobi duit, rasuah, kes penipuan yang bertaraf antarabangsa. Pada bulan March yang lalu Reza Zarrab ditangkap oleh FBI. Bezanya Reza Aziz dan Jho Low tidak ditangkap.

Pada bulan Disember tahun 2015, seramai 52 orang ditangkap atas kes Halk Bank. Skandal Halk Bank ini melibatkan pucuk pimpanan AKP.

Media Turki terus membocorkan skandal skandal Halk Bank ini. Sama seperti 'bedilan' pada Malaysian Insider, si Erdogan ini juga telah menindas media. Can Dundar dan Erdem Gul, ketua biro akhbar harian Cumhuriet ditangkap pada 6 Mei 2016.

Faktanya, ketika saya menulis ini, terdapat 14 orang wartawan dalam penjara. Dua wartawan dipenjara dua tahun berikutan dengan kes Charlie Hebdo. Dua telah mati terbunuh. Ramai wartawan dari luar negara ditendang keluar. Fakta ini saya pungut dari laporan International Press Institute.

Di Turki ada undang-undang yang sama seperti Akta Hasutan. Akta di Turki ini akan menangkap sesiapa sahaja yang ‘ditakrif’ menghina presiden. Ketika ini seramai 2,000 warga Turki sedang berhadapan dengan akta ini.

Ini tidak jauh bezanya dengan tingkah laku dan tindak tanduk politik Najib Rosmah. Pada ketika saya menulis ini seramai 39 orang warga Malaysia sedang didakwa dengan Akta Hasutan. Seramai 95 kes telah dan sedang disiasat termasuk bekas Perdana Menteri Mahathir Muhamad. Dalam kes Rumah Api - pada petang sebelum BERSIH 4 - seramai 160 anak muda ditangkap dan ditahan bawah Akta Hasutan 1948.

Erdogan adalah Najib adalah Erdogan

Jelas untuk saya Erdogan ini adalah Najib Rosmah dan Najib Rosmah adalah Erdogan.

Najib Rosmah ada dua orang anak - Riza dan Nasifuddin yang membuat segala jenis perniagaan. Si Erdogan ini ada dua anak Bilal dan Borak yang juga sibuk dengan projek cepat kaya.

Pada tahun 2014, perbualan telefon si anak dengan si ayah telah bocor. Dalam percakapan telepon yang dicuri rakam ini, Erdogan telah memberi jalan kepada anaknya Bilal tentang ‘jalan kaya’. Turki meledak dengan berita rakaman telefon ini. Presiden Turki Tayyep Erdogan menafikan. Sama seperti Najib Rosmah, si Erdogan ini juga telah menyatakan kepada media bahawa semua ini adalah fitnah dan tohmah yang dijalankan oleh puak pembangkang yang gila kuasa.

Sama seperti kes Najib Rosmah, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan ini juga sedang dikepong. Dalam kes ‘perbualan telepon’ empat menteri telah dipaksa letak jawatan. Najib Rosmah membuang Muhyiddin, Mukhriz , Shafie Afdal, Zeti, Kassim, dan Hamid Bador. Najib Rosmah membuang hakim negara, si Erdogan ini juga telah membuang pendakwa kes rakaman ini. Semua kelihatan sama.

Kalau Najib Rosmah sedang dikepong oleh tujuh buah negara yang sedang menyiasat kes 1MDB, si Erdogan ini juga sedang dikepong daripada luar. Peranan Turki memberi laluan dan memberi senjata kepada kumpulan pengganas Isis telah diketahui dunia. Tanpa persetujuan presiden, mustahil Isis dapat bergerak bebas di Turki.

Dunia juga diberitahu bagaimana Bilal Erdorgan adalah ‘taiko’ yang bertanggungjawab membeli minyak milik Isis yang dibawa dengan lori dari wilayah Kurdish Iraq. Minyak mentah ini diubah suai untuk dijadikan minyak keluaran Turki untuk diekspot ke luar negara.

Semua ini menjadi berita muka depan media dunia apabila Rusia masuk ke Syria. Jet Rusia tanpa segan silu telah mengebom lori tangki milik syarikat Bilal Erdogan ini.

Kepungan daripada luar negara berterusan. Diberitakan Erdogan kini mahu kembali rujuk dengan Israel. Erdogan juga mahu minta maaf dengan Rusia. Semua ini adalah babak politik yang menjadi latar belakang rampasan kuasa ini.

Babak-babak politik ini menjadikan kenyataan Fethullah Gulen masuk akal. Fetullah Gulen adalah kawan lama Erdogan yang kini dalam buangan di Amerika. Mengikut kata Gulen, rampasan kuasa yang berlaku di Istanbul ini disusun dan diatur oleh Tayyib Erdorgan sindiri. Rampasan kuasa ini dilakukan untuk memperkuat kedudukan Erdogan. Sekali gus memusnahkan semua musuh politik Erdorgan.

Kenyataan Gulen ini masuk akal. Selepas rampasan kuasa ini gagal, seramai 6,000 orang warga Turki dari segala bentuk pandangan politik telah ditangkap. Dalam masa yang amat cepat seramai 2,700 orang hakim telah diberhentikan kerja. Nampaknya senarai tangkap telah disediakan lebih awal. Najib Rosmah juga memberhentikan musuh dalaman tapi tidak seramai apa yang sedang dilakukan oleh Erdogan.

Jawapan Erdogan cukup senang: rampasan kuasa ini adalah kerja Gulen dan pengikutnya. Kepada Erdogan, orang tua berumur 75 tahun yang tinggal di Pennsylvnia, Amerika ada ‘Ayatullah’ yang merancang rampasan kuasa ini.

Jangan lupa, Erdogan ini baru sahaja menjadi Presiden pada tahun 2014. Dari tahun 2003 hingga 2014 Erdogan menjadi perdana menteri. Kemudian dia mengubah perlembagaan untuk memastikan kerusi presiden lebih berkuasa.

Ini sama dengan langkah Najib Rosmah yang memperkasakan diri dengan meluluskan undang undang Majlis Keselamatan Negara awal tahun ini.

Semakin zalim dan semakin tebal rasuah para menteri di Istanbul dan Kuala Lumpur maka semakin kuat bunyi “ya hanana” dan retorik Islamnya. Semakin tebal ikatan serban, semakin lingkup tudung yang dipakai. Semakin selalu berumrah ke Saudi.

Jika rampasan kuasa ini berjaya maka seorang jeneral atau kolonel akan menjadi presiden Turki. Pasti Presiden baru ini akan dibaca sebagai seorang ditaktor. Tetapi wajib disedari, seorang diktator boleh juga muncul melalui pilihan raya. Diktator ini bernama Najib Rosmah. Ops, Recep Tayyip Erdogan.

Lihat Komen
ADS