Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Dalam kebejatan kepimpinan negara masa kini, saya tidak terkecuali bersama rakyat Malaysia yang lelah menaruh harapan kepada mereka yang memalu gendang politik.

Satu demi satu skandal mengejutkan keluar melibatkan “Malaysian Official 1”, seolah-olah tidak upaya menggerakkan mereka yang berada di tampuk kuasa melakukan sesuatu, selain terus selesa di belakang individu itu.

Mungkin pendedahan skandal ini ibarat membuka lampu dalam kamar yang gelap dan dingin buat si buta yang sedang lena dibuai mimpi. Kecil atau besar watt lampu tersebut tidak akan dapat membangunkan si buta itu sebaliknya terus lena diulit mimpi.

Dalam kekecewaan, saya memilih untuk menghiburkan hati dengan menatap buku Animal Farm karangan George Orwell.

Ia kisah fiksyen orientasi politik dengan karakter binatang sebagai watak mewarnai latar kisah buku tersebut.

Setelah binatang-binatang berjaya menghalau manusia yang menjadi tuan mereka, mereka mengharapkan kehidupan yang bebas dan makmur.

Namun, mereka terjebak dengan rupa kehidupan lama apabila golongan elit yang tidak berhati perut dalam kalangan mereka sendiri memegang tampuk kuasa.

Diktator ganti rejim

Bagi saya, satira politik yang menonjolkan pengkhianatan idealisme menerusi kekejaman dan penyalahgunaan kuasa ini masih segar dan relevan pada hari ini meskipun buku ini diterbitkan pertama kali pada tahun 1945.

Menerusi eksperimen di beberapa negara timur tengah, teori menjatuhkan pemimpin melalui revolusi, sama ada menggantikan presiden atau sebuah kerajaan tidak memberi apa-apa makna, malah memburukkan lagi keadaan.

Saya fikir satira-satira sebegini sudah dijangka oleh rakyat terbanyak kita dan ini menebalkan lagi rasa putus harap mereka terhadap senario yang berlaku.

Namun, dalam satira-satira politik dunia, ada sesuatu yang menarik untuk kita pelajari dari reformasi 1998 Indonesia.

Pada tahun 2011, saya pernah berkesempatan bertemu seorang tokoh politik tersohor Indonesia Pak Amien Rais dalam satu acara di Universiti Gadjah Mada.

Beliau pernah menyebut beberapa ciri keunikan reformasi Indonesia sehingga berjaya menjelmakan Indonesia yang lebih bebas, makmur, dan telus.

Reformasi Indonesia lwn revolusi Mesir

Ketika dunia bersorak dan kagum dengan kebangkitan rakyat di Timur Tengah, kita lupa untuk memberi perhatian kepada kehebatan reformasi Indonesia.

Latar negara Indonesia yang bangsanya tidak seragam seperti Mesir, kepelbagaian bahasa dan kerencaman etnik, serta keadaan geografi yang rakyatnya terpisah dengan ribuan pulau, ditambah sokongan media sosial ketika itu memustahilkan reformasi untuk berjaya.

Sebaliknya, di Mesir, bangsanya Arab, seluruh rakyatnya menggunakan hanya satu bahasa ibunda, tinggal di satu tanah besar tanpa dipisahkan oleh demografi kawasan mahupun pulau.

Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk revolusi berjaya malah ditambah dengan sokongan media sosial memperkuatkan lagi kempen untuk menjatuhkan rejim diktator.

Revolusi di Mesir yang diagungkan dunia selama ini akhirnya gagal menelurkan hasil malah hari ini Mesir kekal berada di bawah cengkaman diktator.

Reformasi Indonesia sebaliknya telah menjernihkan cermin demokrasi, kebebasan, dan ketelusan Indonesia.

Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan kunci utama kejayaan reformasi ini adalah Baharuddin Jusuf Habibie iaitu presiden ketiga republik Indonesia pasca-Soeharto.

Menurut Anies Baswedan mantan Mendikbud (menteri pendidikan dan kebudayaan), Pak Habibie adalah satu-satunya presiden di masa peralihan yang tidak memanfaatkan kekuasaannya untuk melanggengkan kekuasaannya.

Habibie memberi jalan bagi upaya reformasi yang tengah diserukan di masa peralihan tersebut.

Hari penuh keramat

Walaupun menjadi presiden hanya dalam tempoh singkat 517 hari, dari tanggal 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999, cukup untuk beliau meletakkan demokrasi Indonesia atas landasan yang konkrit.

Beliau juga mengotakan janji utama meningkatkan kehidupan politik pemerintahan yang bersih dan bebas dari praktik-praktik KKN (korupsi, kolusi, nepotisme).

Dalam tempoh 517 hari, beliau telah membebaskan ramai tapol (tahanan politik) yang dipenjara kerana mengkritik Soeharto.

Ini termasuklah Budiman Sudjatmiko, Sri Bintang Pamungkas dan Muchtar Pakpahan secara bertahap menerusi amnesti (dibebaskan karena dinyatakan tidak bersalah) dan grasi (tetap dinyatakan bersalah tetapi diampuni dan dibebaskan dari penjara).

Dalam tempoh 517 hari, beliau membataskan kuasa-kuasa presiden dan eksekutif menerusi sidang istimewa Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) yang menghasilkan 12 ketetapan.

Antaranya termasuklah memansuhkan peruntukan yang memberi kuasa besar kepada presiden dalam pemerintahan, mengehadkan tempoh maksimum presiden hanya kepada dua penggal, serta beberapa perkara lain yang melibatkan hak asasi rakyat.

Dalam tempoh 517 hari beliau telah memberi tumpuan sepenuhnya untuk membangunkan ekonomi Indonesia yang pada ketika itu merudum akibat budaya rasuah yang berleluasa walaupun terpaksa melepaskan cita-cita peribadi untuk membangunkan semula projek Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) yang ditutup Soeharto atas desakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tempoh 517 hari ini cukup bermakna dan penuh keramat bagi rakyat Indonesia kerana tempoh 517 hari ini Indonesia diperintah oleh seorang presiden yang memahami hasrat rakyat yang benar-benar mahukan perubahan.

Bilakah 517 hari yang dijanjikan akan datang untuk kita?

Dalam lumrah politik, telah termaktub janji bahawa kediktatoran dan kerosakan sang penguasa pasti akan diselang seli dengan perubahan dan pembaharuan yang lebih baik.

Namun, siapa yang dapat menentukan tanggal untuk rakyat Malaysia dianugerahkan 517 hari yang penuh keramat itu?

Lima ratus tujuh belas hari yang dijanjikan itu pasti hanya akan datang bersama seorang pengemudi yang bakal tampil sebagai pemimpin bersosok seperti presiden Indonesia yang bukan berbangsa Jawa tersebut.

Seorang pemimpin yang sederhana dan pintar yang memegang 46 paten dunia dalam bidang teknologi penerbangan.

Lebih penting lagi seorang yang benar-benar hadir ke gelanggang politik dengan hati nurani dan kesedaran bukan semata-mata kerana mahu menimba wang dan harta.

Seorang yang hadir dengan bekalan kejujuran, setia dengan sumpahnya, dan tidak retorik dalam melunaskan janji perubahan dengan menanggalkan pemusatan kuasa politik yang dipakai beliau dalam tata kelola dan urus tadbir pemerintahan.

Tempoh 517 hari yang sangat genting bagi menentukan wajah Indonesia pasca reformasi telah diwarnai dengan penuh amanah oleh beliau.

Dan 517 hari ini akan sentiasa dikenang rakyat Indonesia sebagai titik permulaan memakmurkan cabang demokrasi dan kebebasan Indonesia hingga hari ini.
 

Buat mereka yang masih lena di tampuk kuasa harus sentiasa berwaspada dengan kata-kata beliau "secepat-cepat kebohongan berlari, kebenaran pasti akan mengejarnya".

Buat mereka yang mahu menjanjikan perubahan harus sentiasa berwaspada dengan pelaksanaan kata-kata beliau.

Perubahan atau reformasi tidak perlukan satu tempoh yang panjang cukup dengan sesingkat 517 hari asalkan kehendak politik mereka selera dengan arus perubahan yang diinginkan rakyat.
 


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lihat Komen
ADS