Paling Popular
Terkini

Siapa dia Malaysian Official 1? Semua orang bertanya. Satu Malaysia bertanya. Hingga ke hari ini siapa dia Malaysian Official 1 masih menjadi tanda tanya. Ini betul-betul kisah pelik lagi ajaib. Pelik lagi memelikkan. Hairan yang menghairankan. Siapa dia MO1 ini?

Pada tahun 1981 dulu ketika Indonesia bawah Suharto ada satu kes pelik. Setiap pagi di Jakarta akan ditemui dua atau tiga mayat bergelimpangan. Semua ditembak mati. Ini berlaku berbulan- bulan. Penemuan mayat ini menjadikan Indonesia gempar. Lalu media Indonesia memanggil kes ini “Kes penembak misterius”.

Akhirnya penembak misteri ini terbongkar. Penembak ini adalah soldadu Indonesia yang diberi arahan oleh Suharto untuk membunuh ‘kaki busuk’ di Jakarta dan juga musuh politik presiden. Habis cerita.

Kita di Malaysia sekarang sedang berhadapan dengan kes misteri. Kes kita ini lebih besar dari kes Penembak Misterius Jakarta. Kes kita bertaraf global. Bertaraf dunia. Bertaraf Rumah Putih.

Kes ini bermula dengan sidang akhbar Peguam Negara Amerika Syarikat Puan Loretta Lynch pada 20 Julai 2016 yang lalu di Washington DC. Dalam sidang akhbar ini Puan Loretta telah menyatakan niat kerajaan Amerika untuk merampas harta milik Riza Aziz AKA anak Rosmah dan harta milik Jho Low AKA si tembam.

Kertas pertuduhan, atau lebih tepat lagi gua panggil buku tuduhan kerana tebalnya 136 muka surat. Biasanya di mahkamah kertas pertuduhan hanya empat lima helai. Pada hemat gua, kalau 136 muka surat ini sah sebuah buku.

Dalam hal tuduhan mahkamah dan tuduhan dari pendakwa gua agak arif. Gua telah banyak kali mendapat kertas pertuduhan tapi tak pernah sampai tiga muka surat.

Contoh terbaik kertas pertuduhan yang dapat kita lihat gambarnya ada terpampang dalam portal Sarawak Report. Ia tak sampai 10 keping. Ini kes pertuduhan terhadap Najib bukan terhadap Malaysian Official I. Gua perlu ingatkan, kertas pertuduhan ini tidak dapat dipastikan sah atau hanya fitnah. Ini kerana Kevin Morais yang dikatakan tukang draf kertas pertuduhan itu telah menjadi arwah. Habis cerita.

Buku pertuduhan 136 muka surat ini telah disediakan oleh Department of Justice America (DOJ) atau Jabatan Keadilan Amerika. Dalam buku ini ada disebut 36 kali Malaysian Official 1. Jangan tuduh gua buat fitnah. Kalau tuan tuan tidak percaya sila baca kertas pertuduhan ini di laman DOJ. Kalau tak tahu jalan sila tanya 'Lebai Google'.

Ingat atau tidak minggu lalu gua ada tulis tentang Timbalan Pengarah FBI Encik Andrew McCabe yang ada bersama dalam sidang akhbar Puan Loretta. Encik Andrew ini mengepalai satu jawatan yang besar. Anak buah dan para ejen FBI bawah Encik Endrew ini berselirat dalam dunia. Ada di Bangkok, ada di Dubai dan ada berapa orang sedang bekerja keras di Kuala Lumpur termasuk seorang yang sedang menginap di Rumah Tumpangan Gian Seng, Brickfields.

Gua sudah baca buku 136 muka surat itu. Gua sudah tonton rakaman video Puan Loretta sebanyak lima kali. Memang pelik apabila Puan Loretta hanya menyebut: Malaysian Official 1.
​​​​​​​
Penyokong MO1 tak ramai

Fikir punya fikir gua dapat pencerahan bahawa sebenarnya perkataan Malaysian Officiall 1 ini adalah kata rahsia yang memiliki banyak makna. Pada fikrah gua yang sontot ini Puan Loretta menggunakan Malaysian Official 1 dan tidak menggunakan nama seperti Muhamad Azalina bin Lebai Purtan atau Salleh bin Said Kerouk atau Rahman anak lelaki Dahlan kerana FBI tidak mahu sosok yang menjadi sasaran ini gelabah dan menghilangkan diri dalam gua Batu Belah Batu Bertangkup.

Apakah ini sahaja rahsia Peguam Negara Amerika apabila menyebut Malaysian Official 1?

Sabar dulu masih ada cerita dalam cerita. Sebaik saja Puan Loretta selesai bersidang akhbar kita mula terdengar pancutan suara ketua menteri Melaka. Mamat Lokoi ini berkata bahawa sidang akhbar DOJ itu tanda Amerika ingin melancarkan perang terhadap Bani Melayu. Amerika dikatakan ingin membantai Bani Melayu sama seperti Amerika menyerang Iraq. Hebat. Ini berita gempar lagi menakutkan.

Kenyataan ini disambut pula oleh menteri besar Kedah. Mengikut fikrah MB yang hanya didakwa bersijil LCE ini, ada warga yang telah belot menjual maklumat dan dokumen negara kepada Amerika. Pembelot ini wajib dihukum. Ini juga berita hebat lagi menakutkan kerana siapa belot akan menerima hukuman mati.

Paling menarik ialah jawapan Najib. Awalnya seperti biasa, Najib senyap menikus seperti menunggu arahan Rosmah.

Tetiba tanpa dijemput dan tanpa ditanya Najib telah menafikan bahawa dia kenal dengan Malaysia Official 1. Najib dalam ucapannya kepada hadirin mesyuarat agung parti ketuanan Melayu di Kuala Pilah telah berkata bahawa kes merampas harta Anak Rosmah dan harta si tembam oleh DOJ tidak ada sangkut paut dengan dirinya. Dia bukan orang Rembau dan bukan berasal dari keturunan China Batu Uban. Najib adalah cucu Pati dari Sulawesi.

Malah Najib telah menerangkan kepada 30 juta rakyat Malaysia bahawa anak Rosmah dan si tembam tidak akan kaitan langsung dengan dirinya dan dengan syarikat 1MDB.

Penafian dari Najib ini meleset gagal. Ia tidak mengubah apa-apa. Berita Puan Loretta Lynch dan kes rampas harta anak Rosmah dan si tembam ini tidak mudah lenyap. Media dunia terus menerus menggali dan mencungkil berita belakang berita. Hinggakan anggota keluarga Rosmah yang langsung tidak tahu menahu tentang kes ini dikatakan diburu media.

Warga Malaysia terutama yang arif Internet terus mencari dan bertanya siapa Malaysian Official 1?

Pertanyaan orang ramai, pertanyaan 30 juta rakyat Malaysia, mati tergantung. Panglima Jawa Zahid Hamidi senyap sepi. Tidak mengeluarkan jawapan. Menantu abah merangkap Ketua Pemuda United Malays National Organisation senyap menikus. Tidak bersuara melawan dakwaan DOJ.

Paling senyap terus tidak bersuara ialah Tuan Haji Ahmad Maslan dan Tuan Haji Hasan Malek. Dua sosok ini biasanya amat pandai bercakap tetapi bila berhadapan dengan Puan Loretta mereka menjadi senyap sepi. Lalu gua bertanya apakah mereka ini terlalu takut melihat muka Encik Andrew McCabe? Atau mereka telah bosan dan menyampah melihat muka Rosmah yang membuatkan mereka hilang jawatan.

Sebenarnya selama tiga minggu ini ejen-ejen FBI anak buah Encik Andrew di Kuala Lumpur terus mengumpul maklumat. Mengikut data mereka kumpulkan jelas menunjukkan penyokong Malaysian Official 1 tidak ramai.

FLOM

Kalau tidak ramai yang menyokong Malaysian Official 1 apa akan berlaku?

Celaka sebenarnya. Bijak rupa-rupanya Puan Loretta Lynch ini. Hebat taktik dan strategi Encik Andrew ini. Tanpa menyebut nama siapa dia Malaysian Official 1, FBI telah dapat tahu kekuatan Malaysian Official 1. Dari segi rancangan Amerika ini penting kerana FBI ingin tahu kalau kalau akan muncul beratus ribu warga Malaysia yang menyokong Malaysian Official 1.

FBI berwaspada sebelum membuat langkah seterusnya. Jika tangkapan hendak dijalankan maka FBI tidak mahu ada serangan balas dari penyokong Malaysian Official 1.

FBI gentar, kalau-kalau berjuta warga Malaysia yang bangun bertempik dan melaungkan “Saya Malaysian Official 1”. Atau berjuta-juta baju T akan dijual dengan tulisan: “FU Amerika I am MO1”. Atau akan muncul dalam FB atau Twitter atau Instagram yang berslogan: Kami Semua Malaysian Offical1. Macam berlaku kepada Adam Adli dahulu. Semua anak muda dan mahasiswa mengaku - We are all Adam Adli - kami semua Adam Adli. Amin.

Gua rasa pada tahap ini ejen FBI di Kuala Lumpur merasa lega, separuh kerja telah selesai. Mungkin kerana ini gua tidak ternampak lagi anak buah Encik Andrew di Rumah Tumpangan Gian Seng. Gua dengar berita dari Haji Desas bin Lebai Desus bahawa ramai anak buah Encik Andrew telah berpindah ke Rembau. Kenapa Rembau?

Untuk ejen-ejen FBI semua nampak jelas bahawa Malaysian Official 1 tidak ada penyokong. Dari sini kes 1MDB masuk ke fasa kedua. Ejen FBI akan membuka kembali arkib berita. Mereka meneliti kembali semua berita yang telah berlaku 10 atau 15 tahun yang lalu. Kerja ini amat ulit tapi inilah cara kerja ejen negara kafir. Ulit tetapi menjanjikan jawapan yang tepat.

Dari Haji Desas yang rapat dengan pegawai Arkib Negara, gua diberitahu bahawa ejen FBI sedang menyelidik berita berita yang bersangkutan dengan First Lady of Malaysia atau FLOM.

Bila perkataan FLOM ini muncul maka gua teringat jelas bagaimana Raja Petra anak raja kerabat Selangor ini menerangkan dengan tuntas siapa sebenarnya FLOM.

Perkara ini berbangkit apabila Najib mula menjadi perdana menteri dan isterinya Rosmah dikatakan telah menobatkan dirinya sebagai First Lady Of Malaysia.

Raja Petra telah menerangkan dengan panjang bulat bahawa First Lady of Malaysia ialah Raja Permaisuri Agong. FLOM mengikut Raja Petra bukan isteri perdana menteri. Ini tulisan dan pandangan Raja Petra 10 tahun dahulu. Mungkin sebelum dedak sampai. Kadangkala bila dedak sampai kita boleh beralih pandangan.Wallahhu alam.

Bila Haji Desas memberi gua tahu apa kajian ejen FBI di Arkib Negara maka gua berdebar-debar. Gua berfikir-fikir. Kalau FBI menganggap First Lady of Malaysia ini Raja Permaisuri Agong maka Malaysian Officail 1 pasti Yang Di Pertuan Agong.

Cis, mustahil! Ini semua karut. Mustahil Yang di-Pertuan Agong - raja Malaysia yang berdaulat ini ada tersangkut paut dengan anak Rosmah dan si Tembam. Mustahil. Gua tidak percaya. Ampun Tuanku.

Maka siapa dia Malaysian Officail 1 masih satu yang misteri. Masih lagi misteri. Gua yakin tim FBI – anak anak buah Encik Andrew – masih bekerja keras mencari. Tapi perkara ini bertambah pelik kerana pada Sabtu 27 Ogos ini anak Muda akan berhimpun untuk menangkap Malaysian Official 1. Apakah Malaysian Official 1 ini Pokemon Go yang boleh ditangkap? Kenapa tim FBI banyak menginap di Rembau? Tunggu minggu hadapan.

Lihat Komen
ADS