Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mungkin ada pembaca yang terlupa bahawa BERSIH adalah organisasi yang ditelur, dieram dan menetas atas tapak tangan parti politik. Parti PKR, DAP dan PAS bertanggungjawab melahirkan BERSIH pada tahun 2007. Ketika itu BERSIH dipimpin oleh Syed Shahir dari pkr. Sosok ini juga adalah pemimpin Kesatuan Buruh MTUC.

Sejarah merakamkan bahawa BERSIH dilahirkan atas keperluan parti politik yang mahukan pilihan raya bersih dan adil dijalankan. Slogan dan tuntutan BERSIH dari awal lagi ialah pilihan raya yang adil dan bersih.

Setelah berpuluh tahun mendakwa ditipu, diputar dan dikelentong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) parti politik mula mendapat pencerahan. Parti politik yang selama ini hanya terbabit dalam pilihan raya mula berfikir apakah ada jalan lain untuk mendapat kuasa.

Parti politik mula sedar, mula melihat dengan cerah bahawa kemenangan United Malaya National Organisation didakwa bukan kerana parti ini kuat tetapi kerana perancangan licik.

Selama berpuluh-puluh tahun pilihan raya umum dan pilihan raya kecil didakwa disusun dan diatur. Dengan pelbagai tipu helah yang licik, projek memastikan kemenangan parti Ketuaan Melayu didakwa berjaya dijalankan.

Parti-parti politik pembangkang telah digunakan sebagai ‘prop’ atau ‘ pelakon tambahan’ untuk memperlihatkan bahawa di Malaysia ini ada demokrasi. Demokrasi di Malaysia sihat dan subur kerana ada pilihan raya. Di Malaysia ada lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai bukti. Ini mantera United Malays National Organisation.

Sayugia dingatkan bahawa ahli lembaga yang dikatakan dipilih oleh parlimen itu sebenarnya adalah benggolan-benggolan yang ditunjuk dan dilantik oleh United Malays National Organisation. Ini kerana parti gerombolan yang berkuasa. Dengan kuasa di tangan mereka, memastikan kuasa ini tidak akan terlepas.

Cara terbaik dan teruji sepanjang zaman untuk terus berkuasa ialah melantik ‘geng sendiri’ untuk menjalankan pilihan raya. Ini samalah seperti imam melantik tok kadi dan tok jadi melantik imam. Khalas.

Kalau kita membaca tentang SPR bunyinya memang sedap. SPR adalah sebuah lembaga yang bebas mengendalikan pemilihan ahli parlimen dan ahli dewan negeri di Malaysia. Tetapi bukti semakin menonjol dakwaan bahawa SPR hingga ke hari ini ini adalah budak suruhan.

Adalah mustahil - tidak masuk akal - ahli-ahli lembaga SPR yang dilantik oleh United Malaya National Organisation akan berani melawan tauke. Ini tidak pernah terjadi. Malah mustahil ada lembaga-lembaga daulah yang bebas dalam negara dunia ketiga seperti Malaysia.

Apabila kita telah memahami semua hakikat ini maka ada lagi beberapa syarat dan hukum yang wajib kita difahami. Hukum dan syarat ini amat-amat penting untuk difahami sebelum mengambil garis politik jalan raya.

Sebelum saya menghuraikan apakah syarat dan hukum itu adalah wajib untuk saya menerangkan beberapa latar belakang dan fakta untuk memahami dengan tuntas konsep dan teori politik jalan raya.

Menapai kemarahan rakyat

Pertama, wajib disedari bahawa parti United Malays National Organisation walau pun mendakwa memiliki tiga juta ahli sebenarnya adalah sebuah parti politik yang semakin kosong dan lompong. Gembar gembur tiga juta ahli ini adalah karut. Ini samalah seperti anjing yang terus menyalak untuk menakut-nakut kita.

Hakikatnya parti Ketuanan Melayu ini menang dalam pilihan raya bukan kerana sokongan rakyat. Bukan kerana ada organisasi massa. Bukan kerana ampuh dengan penyokong. Bukan kerana mendapat dan memiliki simpati dari orang ramai. Tidak. Tidak. Tidak.

Kekuatan gerombolan Ketuanan Melayu ini bergantung kuat dengan jentera daulah atau agensi-agensi kerajaan. Jentera daulah seperti lembaga kepolisan, lembaga kehakiman, lembaga agama, lembaga pendidikan. Gerombolan ini juga dibantu kuat oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Kemas, JASA, RTM, Jakim, JAIS, JAWI. Agensi-agensi ini dibayar gaji oleh cukai rakyat tetapi secara jahat bekerja untuk memastikan gerombolan Ketuanan Melayu ini akan terus berkuasa.

Agensi-agensi kerajaan ini akan bersekongkol untuk menipu dan membelit perjalanan pilihan raya untuk memastikan parti Ketuanan Melayu ini terus menang. Justeru, kepala tahi yang mengepalai penipuan pilihan raya ini ialah siapa?

Hakikatnya United Malays National Organsiation telah lama nazak. Lihat perkembangan politik tahun 2016 dengan kemunculan Parti BERSATU dan parti WARISAN Sabah. Dua buah parti ini adalah pecahan United Malays National Organisation.

Kemunculan BERSATU dan WARISAN Sabah adalah kesinambungan perpecahan United Malays National Organisation pada tahun 1998. Anwar Ibrahim ditendang makan muncul PKR.

Warga Malaysia wajib sedar bahawa dalam PRU12 dan PRU13, parti DAP, PKR dan PAS bukan melawan atau menentang parti United Malays National Organisation. Dalam semua pilihan raya yang ditentang dan dilawan oleh parti pembangkang ialah lembaga daulah dan semua agensi kerajaan.

Fakta ini wajib sentiasa diumumkan kepada orang ramai. Fakta ini amat amat penting untuk dihayati sebelum mengambil garis politik jalan raya.

Syarat utama untuk kejayaan politik jalan raya ialah wujudnya satu barisan yang ampuh. Penyusunan yang ampuh. Telah wujud kesatuan fikrah. Telah wujud satu keberahian anak semua bangsa, bangsa semua agama, untuk menumpaskan rejim yang zalim.

Perhatikan bagaimana semenjak 1965 hingga 1998, warga Indonesia telah menyusun dan menggarap sambil mencari jalan untuk menjatuhkan Suharto yang dinobatkan oleh CIA melalui rampasan kuasa.

Lihat juga bagaimana warga Iran telah menyusun dan mengatur perjuangan melawan Shah Reza Pahlevi semenjak CIA menjalankan rampasan kuasa terhadap Mohammad Mosaddegh, perdana menteri Iran pada tahun 1953. Revolusi Iran hanya berjaya pada tahun 1979.

Proses menapaikan kemarahan rakyat mengambil masa. Proses menyusun dan memberi pencerahan mengambil masa. Proses menggalang perserikatan - united front - yang maha luas bukan satu kerja yang senang. Ia wajib dilakukan kerana menggalang perserikatan yang maha luas dengan satu tujuan adalah kunci kejayaan politik jalan raya.

Malam Portugis langgar Melaka

Pada ketika ini landskap politik kita sedang berubah. Penggalangan perserikatan barisan bersatu sedang berjalan lancar. Awalnya kita melihat Deklarasi Rakyat (DK) ditanda tangani oleh pelbagai sosok yang pada satu ketika dahulu adalah musuh politik.

Ketika Deklarasi Rakyat ditanda tangani ada kumpulan dan sosok politik yang kurang sedar bahawa DK ini hanyalah permulaan. Suara menentang dan mengkritik DK didengar. Ini kerana sosok dan kumpulan ini belum masak pemahaman politik mereka tentang teori united front dan teori politik jalan raya.

Akhirnya berlaku ledakan kemuncak DK dalam usaha penggalangan barisan bersatu. Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim bertemu di mahkamah. Pertemuan ini adalah satu babak sejarah yang maha penting. Dua musuh ketat telah berjabat salam dan bersedia untuk bekerjasama dengan satu tujuan - menjatuhkan Najib Rosmah.

Pertemuan Mahathir dan Anwar pada 5 September 2016 di Mahkamah Jalan Duta membuktikan secara ilmiah teori united front atau barisan bersatu.

Apakah semuanya telah tuntas untuk kita semua ke jalan raya?

Sabar dahulu. Kalau kita membaca Sejarah Melayu kita akan sampai ke babak Melaka diserang Portugis. Ingat apa yang dilakukan oleh panglima perang dan para hulubalang yang akan menggempur Portugis. Pada malam sebelum bertempur mereka membaca kitab-kitab perjuangan para sahabat untuk memperkukuh semangat juang.

Kita juga wajib membuat perkara yang sama. Yang saya maksudkan bukan membaca kitab perang negara Arab tetapi membaca sejarah politik jalan raya. Membaca kembali sejarah Revolusi Bolshevik, Revolusi Iran, pengalaman gerakan menjatuhkan Marcos, Suharto dan yang terbaru politik jalan raya yang berjaya menjatuhkan Zinal Abidin Ali dan Mubarak di Mesir.

Mengenali dan memahami pengalaman-pengalaman orang terdahulu amat penting. Pengalaman mereka wajib kita jadikan panduan. Wajib kita jadikan guru untuk mengajar kita apa silap dan apa yang salah dalam mengurus politik jalan raya.

Ilmu pengetahuan lahir dari pengalaman yang terkumpul. Pengalaman yang terdahulu dari kita adalah sekolah yang terbaik.

Apakah ada lagi yang diperlukan? Jawabnya pasti ada. Untuk politik jalan raya mencapai kejayaan kita wajib ada organisasi yang menganjur dan menyusun. Apakah BERSIH ini bukan satu organisasi? Bukankah BERSIH sedang menyusun BERSIH5 sekarang? Apakah BERSIH tidak dapat membawa kejayaan politIk jalan raya?

Betul BERSIH adalah satu organisasi yang sedang menyusun BERSIH5. Memang benar BERSIH telah berjaya menyusun himpunan yang amat besar dalam sejarah Malaysia. BERSIH ada beratus NGO yang telah menandatangani kesetiaan untuk menjadi kaum kerabat BERSIH. Berpuluh ratus NGO kini berpayung bawah bendera BERSIH.

Seperti yang telah saya katakan politik jalan raya ini bukan satu yang senang. Ia satu yang susah. Kerana ia susah maka saya mencampuri BERSIH. Apakah lagi yang diperlukan untuk politik jalan raya berjaya?

Memang ada lagi yang kita perlukan. Perkara ini amat penting untuk kejayaan. Perkara ini ialah organisasi yang bersedia untuk merebut kemenangan. Apa makna merebut kemenangan? Tunggu minggu hadapan. 

Lihat Komen
ADS