Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam tulisan-tulisan awal saya cuba memberi pencerahan tentang teori dan praktik politik jalan raya. Saya nyatakan dengan jelas bahawa politik jalan raya memiliki teori untuk difahami. Jika gagal memahami teori politik jalan raya maka politik jalan raya akan membawa kekecewaan.

Pasti ada yang akan bertanya dari mana datangnya teori?

Seperti ilmu pengetahuan, teori juga wujud dari pengalaman. Pengalaman yang terkumpul - yang dibukukan dan yang ditulis - menjadi teori. Pengalaman yang terkumpul juga menjadi asas kepada ilmu pengetahuan.

Sebelum pengalaman itu menjadi satu hukum atau undang-undang atau syarat sosial ianya hanyalah teori. Wajib disedari bahawa teori adalah pandangan dan pendapat yang cuba menerangkan sesuatu. Pandangan ini berasaskan prinsip tentang apa yang ingin diterangkan.

Hakikatnya teori bukan hukum. Teori bukan undang-undang yang terus menerus betul dan tepat. Teori bukan algebra, bukan ilmu hisab bukan Matematik. Justeru ia dipanggil teori.

BERSIH akan mengadakan perhimpunan mega pada Sabtu 19 November di Dataran Merdeka. Pada ketika ini para aktivis BERSIH dari pelbagai NGO bersama parti-parti politik sedang menggelodak Malaysia untuk mengajak, untuk menjemput anak semua bangsa turun ke jalan raya bersama BERSIH5.

Dari segi teorinya langkah pertama telah tuntas direalisasikan. Penggalangan barisan bersatu yang maha luas telah dilakukan. United Front ini wajib diwujudkan untuk kejayaan politik jalan raya. Ini langkah paling asas dalam teori politik jalan raya.

Dengan persetujuan asas, dengan program paling minimum, semua NGO, semua parti-parti politik telah bersetuju menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Barisan bersatu ini telah meninggalkan jubah dan baju politik parti masing-masing untuk bersatu hati dalam satu tuntutan.

Semua telah bersetuju menuntut Najib-Rosmah mengundur diri. Tuntutan ini telah dimulakan dari BERSIH4 tahun lalu.

Tuntutan Najib-Rosmah berundur berpunca dari masuknya 2.6 bilion ringgit ke dalam akaun bank peribadi Najib di AmBank. Apa yang menjadikan kaum kerabat BERSIH marah dan naik minyak ialah duit ‘rompakan 1MDB' dikatakan digunakan untuk ‘membeli’ PRU13. Ini diakui oleh Najib sendiri. Menurut logik Najib duit ini bukan untuk kegunaan peribadi tetapi untuk PRU13.

Justeru kemenangan United Malays National Organisation dalam PRU13 ialah dengan ‘membeli undi’. Sah dan sahih PRUI3 telah dicuri oleh Najib dan gerombolan Ketuanan Melayu melalui dana yang amat lumayan - 2.6 bilion ringgit.

Justeru, berdasarkan pandangan BERSIH, berdasarkan pandangan kaum kerabat dan parti politik yang bersama menyokong BERSIH, Najib-Rosmah adalah pembawa malapetaka politik negara kita hari ini.

Najib telah menjadi punca yang sedang menimbulkan suasana budaya politik kacau. Suasana politik kacau ini sedang mempengaruhi kedudukan ekonomi.

Hakikatnya ekonomi Malaysia sedang merudum.

Ekonomi ialah nadi kehidupan. Bila ekonomi jatuh maknanya kehidupan warga menjadi susah. Jika dikaji dari lensa ekonomi, malapetaka ekonomi yang kita hadapi sekarang berpunca daripada kerenah dan perangai Najib-Rosmah. Kes rompakan 1MDB adalah bukti yang sahih. Ini rompakan bertaraf global.

Rompakan ini sedang menimbulkan politik kacau. Hampir setiap bulan, hampir setiap minggu ada sahaja berita buruk yang melaporkan perkembangan tentang rompakan 1MDB. Laporan berita Wall Street Journal. Atau laporan siasatan Peguam Negara Swiss. Atau laporan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura. Atau laporan FBI sedang mencari Jho Low dan Riza Aziz.

Semua laporan berita ini menambahkan suasana tegang politik kacau yang berpunca dari Najib-Rosmah.

Justeru menjadi tanggung jawab BERSIH menuntut Najib-Rosmah berundur. Menjadi tanggungjawab anak semua bangsa turun ke jalan raya menuntut Najib- Rosmah berundur.

Dengan penyingkiran Najib-Rosmah barulah kedudukan dan keyakinan ekonomi dapat dipulihkan kembali. Jika Najib-Rosmah terus berkuasa maka Malaysia akan tergelincir pantas ke landasan negara gagal. Terbukti pada ketika ini Malaysia bawah Najib sedang menuju ke taraf Zimbabwe, Pakistan atau Somalia.

Dalam tulisan saya yang terakhir minggu lalu saya ada menulis tentang konsep berani merebut kemenangan. Bunyinya cukup senang. Bunyinya amat enteng – merebut kemenangan. Tapi hakikatnya merebut kemenangan dengan garis politik jalan raya bukan semudah memesan sepinggan nasi goreng kampung.

Kepimpinan yang mengajukan perjuangan politik untuk menjatuhkan kerajaan lama dan mendirikan kerajaan yang baru wajib miliki kekuatan fikrah. Menghamburkan retorik politik amat mudah. Meraban dengan sumpah seranah politik juga amat senang. Mengutuk sosok politikus juga bukan satu yang susah.

Yang susah ialah merebut kemenangan.

Asas utama merebut kemenangan ialah bijak membaca nadi dan suasana politik. Membaca nadi politik ini amat-amat penting dalam garis politik jalan raya. Malah dalam politik pilihan raya juga membaca nadi politik cukup penting.

Apa makna membaca nadi politik?

Membaca nadi politik bermakna kita tahu masa dan saatnya telah sampai untuk merebut kemenangan. Atau masa dan saatnya belum ranum untuk merebut kemenangan. Sama seperti pak tani melihat padi di sawah, pemimpin gerakan politik – jalan raya mahu pun pilihan raya - tahu bila padi itu telah masak. Bila padi itu wajib dituai. Jika terlewat tarikh dan harinya maka semuanya akan gagal.

Bagaimana untuk mendapat tahu bila masanya telah sampai untuk merebut kemenangan itu? Apa tanda-tanda dan syarat-syarat yang menunjukkan kemenangan akan sampai.

Merebut kemenangan juga sama seperti menanam padi. Kita bekerja keras membajak. Menanam benih. Membubuh baja. Memastikan air yang cukup. Melihat cuaca yang tepat dan betul. Semua semua ini diatur hingga akan sampai masanya untuk kita menuai merebut kemenangan.

Dari mana dapat kita tahu? Macam mana kita hendak tahu bila kita wajib menuai?

Semua ini datang dari pengalaman. Pengalaman adalah guru. Pengalaman adalah buku yang mengajar kita untuk membaca saat dan waktu tepat untuk merebut kemenangan. Pengalaman yang telah dibukukan wajib menjadi bacaan rujukan untuk kita merebut kemenangan.

Saya mahu membawa para pembaca kepada apa yang berlaku di Filipina pada awal 1980-an dahulu. Sila rujuk dan baca kembali bagaimana media antarabangsa sedikit demi sedikit, tetapi berterusan, membuat laporan tentang kerenah Presiden Marcos. Media dunia mula tertarik hati dengan kerenah Imelda Marcos. Tentang gaya hidup mewah bekas ratu cantik yang bernama Imelda.

Untuk saya, laporan media dunia, adalah tanda tanda awal bahawa hari-hari akhir untuk Marcos telah sampai.

Saya masih ingat lagi bagaimana media antarabangsa mula melaporkan tentang kesihatan Presiden Marcos. Begitu kerap sekali laporan media dunia ini sehinggakan telah memaksa Presiden Marcos berbuat sesuatu.

Ketika lawatan resmi ke Amerika, Presiden Marcos pergi menziarahi Cancun. Cancun adalah kota peranginan tepi laut untuk golongan elit yang kaya raya berfoya-foya. Di pantai Cancun, Marcos main ski air. Ini untuk menunjukkan kepada dunia, kepada media dunia, bahawa tubuh badan Marcos sihat walafiat. Enam tahun kemudian Marcos diterajang keluar dari Manila.

Jika surah saya ini yang agak kuno maka mari kita buka surah Saddam Hussein. Lihat bagaimana media antarabangsa membuka kisah Saddam Hussein seawal tahun tujuh puluhan. Dunia diberitahu tentang kuih hari jadi Saddam yang beratnya lebih satu tan.

Bila saya membaca laporan ini maka saya anggap inilah permulaan hari-hari akhir untuk Saddam.

Mungkin babak Marcos dan Saddam masih terlalu jauh untuk ingatan para pembaca yang masih muda. Biar saya buka surah yang kita semua tahu. Yang kita semua masih ingat. Surah ini ialah bagaimana Mahathir Muhamad telah dinyahkan dari tampuk kerajaan setelah Anwar Ibrahim dimasukkan ke penjara pada tahun 1998.

Lihat bagaimana media dunia, ingat kembali kepada media antarabangsa, yang membuat laporan Reformasi 1998 di Kuala Lumpur. Ingat kembali kepada imej demo yang dimainkan oleh CNN setiap kali berita CNN dimulakan. Malah ketika imej Presiden Clinton memeluk ceweknya Monica Lewinsky, telah diselitkan juga gambar demo di Kuala Lumpur. Setiap jam ada gambar demo reformasi. Ini berulang-ulang. Ini menjadikan Mahathir tidak selesa. Malah akhirnya Mahathir telah bersuara mempertikaikan sikap CNN dan media dunia.

Untuk saya ini adalah tanda hari-hari akhir untuk Mahathir. Ramalan saya tepat. Mahathir dengan bijak sebelum dilingkupkan telah meletak jawatan. Mahathir bijak dan licik untuk menyelamatkan diri.

Kenapa saya berani menjadikan laporan berita luar negara ini sebagai tanda-tanda hari hari akhir untuk Saddam, Marcos atau Mahathir?

Ini kerana ada berpuluh-puluh presiden, ada berpuluh-puluh perdana menteri - dari Afrika, dari Amerika Latin, dari Eropah Barat dan Timur – kita tidak dengar berita mereka. Hanya berita Najib yang terus menjadi induk berita.

Mustahil para presiden di Afrika tidak rasuah. Mustahil perdana menteri Zambia bersih suci tidak ada skandal seks atau tidak ada kes bunuh model atau bunuh pegawai kerajaan dalam tong simen. Mustahil tok Arab di negara Teluk baik dan suci belaka.

Tetapi media antara bangsa memilih Najib. The Wall Street Journal, The New York Times, The Guardian, Financial Times dan, dan, dan… memilih Najib untuk dijadikan berita.

Lalu akhbar dunia melaporkan biras Rosmah tidak membayar beg Hermes di New York. Lalu media melaporkan bakal menantu Rosmah menipu kelulusan untuk memasuki Universiti Colombia.

Untuk saya ini amat amat jelas. Untuk saya ini adalah tanda-tanda padi telah ranum. Untuk saya musim menuai telah sampai.

Apakah ini yang dikatakan masa dan saat merebut kemenangan telah sampai? Sabar dahulu. Masih ada lagi tanda tanda yang wajib dilihat. Tunggu minggu hadapan. 

Lihat Komen
ADS