Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam tulisan-tulisan yang lalu saya telah menerangkan beberapa teori dan praktik politik jalan raya. Pola dan ciri-ciri politik jalan raya tidak semestinya muncul sedondon. Ada perbezaan dari negara ke negara, dari kota ke kota, dari wilayah ke wilayah. Pengaruh dan suasana tempatan memainkan peranan yang penting.

Suasana politik yang wujud pada ketika itu akan membantu kejayaan politik jalan raya. Suasana ini bukan hanya ambiance, ia lebih dari itu. Suasana yang saya maksudkan ialah real politic ketika itu. Real politic yang sedang berjalan ketika politik jalan raya disusun. Malah politik inilah juga yang boleh memangkin dan membantu kejayaan politik jalan raya.

Politik juga macam memasak. Kita memerlukan semua ramuan yang tepat dan betul. Seperti kita membuat rendang itik, semua rempah rampai, semua lada dan asam, serai dan santan telah tersedia sebelum itik direndang.

Jika ada rempah ratus tercicir, jika santan dan serai tidak bersama maka rendang itik kita tempang. Rendang itik yang kita idam-idamkan meleset gagal.

Justeru, wajib disedari bahawa Revolusi Iran memiliki ciri-ciri dan pola tersendiri. Politik jalan raya yang menjatuhkan Marcos atau Suharto atau Mubarak atau Zainal Abidin ada rupa bentuk dan pensejarahan tersendiri. Ketersendirian ini wujud dari suasana dan suhu politik setempat.

Dalam masa yang sama ada pola ciri dan hukum-hukum yang sama antara setiap negara ini. Hukum dan syarat inilah yang boleh kita pelajari untuk kita memahami bagaimana politik jalan raya berjaya di negara-negara ini. Kejayaaan inilah yang kita cuba rayakan.

Tulisan-tulisan saya yang lalu cuba mencari apakah hukum dan pola-pola itu hingga boleh mewujudkan teori dan praktik politik jalan raya. Saya telah merakamkan asas teori politik jalan raya:

  • Penggalangan barisan bersatu yang luas.
  • Satu tuntutan kompak untuk semua.
  • Garis politik tepat yang memimpin.
  • Membaca politik dengan tepat.
  • Suasana luaran /antarabangsa.

Suasana luaran antarabangsa ini bukan hanya laporan CNN, The New York Times atau The Wall Street Journal. Laporan media luar negara ini amat penting terutama di Malaysia yang medianya tidak bebas. Laporan media dunia ini akan membantu memberi semangat kepada penyokong politik jalan raya.

Jika demo kita mendapat laporan CNN, jika mendapat laporan BBC atau ABC atau Chanel News Asia, ini bererti aksi politik yang kita lakukan memberi makna politik. Bukan omong kosong. Ini membarakan lagi semangat.

Media luar negara juga membantu kita kerana media yang wujud di Malaysia hampir kesemuanya bergenre bodek. Media Malaysia dimiliki oleh cukong MCA atau oleh jaringan syarikat kerabat gerombolan United Malaya National Organisation.

Media bergenre bodek

Media bergenre bodek tidak memberi maklumat yang tepat. Mereka kaki putar alam. Tapi ia ada memberi satu yang positif untuk kita. Mereka terus menerus menyerang politik jalan raya.

Serangan terhadap kita ini adalah serampang dua mata. Pertama ia membuktikan kita sedang melakukan kerja politik yang betul. Musuh menyerang kita kerana kita berjaya mendobrak nadi jantung musuh. Justeru mereka mempertahankan diri dengan menyerang kita.

Jika kita tidak diserang ertinya kita kini hanyalah satu kumpulan manai. Ertinya kita telah jadi hampeh. Ertinya musuh tidak takut dengan kita. Ertinya kita tidak efektif. Ertinya kita telah sama selari dengan musuh justeru musuh tidak lagi menyerang.

Bila media musuh - Utusan atau TV3 - memberi liputan, maka jelas kita dengan musuh telah bersama. Atau kita telah menawarkan diri untuk menjadi tali barut musuh. Atau paha kita telah terkangkang untuk bersedia menjadi penasihat atau penyedap musuh.

Sayugia disedari bahawa serangan media musuh ini juga memberikan kita publisiti. Jangan risau dalam alam propaganda – dalam alam perang – apa saja yang tercetak untuk dibaca umum akan membantu. Berita kutukan dari media musuh akan memaksa penyokong kita mencari maklumat yang tepat untuk mengetahui apa yang kita buat. Penyokong pasti akan mencari maklumat yang lebih tepat tentang kesahihan berita.

Jangan lupa serangan musuh akan meninggikan lagi tahap juang penyokong politik jalan raya. Ini hukum sosial. Sebanyak mana kita di serang sebanyak itulah akan lahir perlawanan.

Bayangkan jika Mat Ikan Tongkol tidak menyerang maka pasti BERSIH5 tidak segempar ini. Serangan musuh ini memperkuatkan akidah dan gaya kerja kaum kerabat BERSIH. Kini satu Malaysia, malah media dunia akan berbondong-bondong turun pada 19 hari bulan November ini nanti. Semua ingin melihat apa akan terjadi di Dataran Merdeka. Apakah kita perlu berterima kasih Mat Ikan Tongkol?

Secara jujur saya katakan, saya akan kecut hati. Saya gusar gundah gulana tak dapat tidur nyenyak jika ketua Twitter negara, opps... ketua polis negara, jika OCPD Dang Wangi, jika Zahid Hamidi, jika Nur Jazlan, jika Khairy Jamaludin, jika Azalina tidak berkata apa apa tentang BERSIH. Dan tidak menyerang BERSIH5.

Kalau mereka tidak ambil pot tentang BERSIH5 ertinya BERSIH5 ini adalah hampeh sama setaraf dengan parti bow tie atau Parti Cinta Malaysia atau Parti Umat Islam Se-Malaya, atau kumpulan PKPIM atau GAMIS. Jika BERSIH tidak diserang maknanya telah sampai masanya BERSIH gulung tikar tutup kedai.

Yakinlah, musuh yang menyerang telah menimbulkan suasana yang sihat lagi rancak untuk memajukan politik jalan raya.

Jelas apa yang telah saya tulis kelihatan tuntas. Apa yang saya tulis memperlihatkan pada Sabtu 19 November nanti kita akan ada kerajaan baru. Sabar dulu. Bertenang dahulu. Ini anggapan salah.

Ada satu lagi perkara yang amat penting sebelum politik jalan raya berjaya untuk dirayakan. Apakah perkara itu?

Apa yang saya tulis di sini penting. Tapi para pembaca wajib melakukan penyelidikan sendiri untuk memahami lebih terperinci. Dalam tulisan-tulisan ini saya hanya menyebut nama-nama dan naratif. Untuk kajian mendalam wajib bertanya dengan Tuan Lebai Google.

Kata-kata akhir Rumah Putih

Dari Mesir saya saya membawa naratif Mohamed Hassanein Heikal, ketua pengarang akhbar Al-Ahram Mesir. Heikal menulis buku Iran The Untold Story pada tahun 1982. Dalam buku ini ada satu babak dikisahkan bagaiman Shah Reza Pahlevi telah bersedia untuk membantai sebanyak mungkin para demonstran yang turun ke jalan raya di Tehran.

Shah telah mengarahkan bala tentera bersedia untuk menembak dan membunuh. Tetapi Shah sedar dia memerlukan sokongan Amerika. Ketika itu Jimmy Carter duduk di Rumah Putih.

Mengikut Heikal , Raja Segala Raja ini telah menelefon Carter. Bayangkan betapa terkejutnya Ahmad Reza Pahlevi apabila yang menjawab bukan Carter tetapi pembantu presiden.

Sorry, your Royal Highness, the president sedang berehat di Camp David dan dia tidak mahu diganggu.”

Inilah kata-kata akhir dari Rumah Putih. Kata-kata akhir ini adalah ledakan nuklear yang memusnahkan takhta burung merak milik Reza Pahlevi yang dinobatkan oleh CIA pada tahun 1953.

Dari Tehran mari kita ke Jakarta. Pada 12 Mei 1998 empat mahasiswa dari Universiti Trisakti ditembak mati oleh soldadu. Trisakti adalah universiti elit tempat anak orang kaya-kaya belajar. Ketika tragedi ini berlaku ketua tentera Suharto ialah Jeneral Wiranto.

Hingga ke hari ini tidak diketahui siapa yang melepaskan dan memberi arahan tembak ini. Tragedi Trisakti menjadi ledakan nuklear yang menjatuhkan Tuan Haji Ahamad Suharto yang telah dinobatkan oleh CIA dari tahun 1965.

Kemudian mari kita lihat apa yang berlaku di Manila pada tahun 1986. Marcos telah menipu dalam pilihan raya. Rakyat telah keluar ke jalan raya. Untuk meneruskan kuasa Marcos telah bersedia untuk membantai para demonstran.

Sama seperti Shah, Marcos juga didokong dan dinobatkan oleh Amerika. Justeru Marcos perlu mendapat sokongan Rumah Puteh. Marcos telah menelefon Senator Paul Laxalt kawan baik Presiden Regan untuk mendapat sokongan Amerika.

Jawab Sang Senator, “cut and cut clean”.

Lalu, Presiden Marcos meminta Jeneral Juan Ponce Enrile rakan setia dirinya untuk membawa kereta kebal ke pusat kota Manila. Tetapi Jeneral Enrile telah enggan mengikut kata Marcos. Ini menjadi ledakan nuklear untuk Marcos.

Apa sebenarnya naratif yang saya paparkan ini? Apa makna naratif ini dalam konteks teori politik jalan raya?

Naratif ini menunjukkan bahawa di setiap kejayaan politik jalan raya, para elit politik dan elit pemerintah telah pecah. Para elit telah bergaduh sesama sendiri ketika rakyat turun ke jalan raya.

Jutaan rakyat di Tehran, di Manila , di Jakarta, di Kaherah, di Tunisia telah menakutkan golongan elit. Rakyat di jalan raya sedang memberi tekanan. Para elit takut apa yang akan berlaku. Pada hemat Wiranti, adalah lebih baik Suharto diterajang. Pada hemat Enrile adalah lebih molek Marcos dinyahkan dari Filipina. Pada hemat Amerika adalah lebih baik Ahmad Reza dibungkus hilang.

Elit politik dan elit ekonomi kembali kepada asas wujudiah manusia. Manusia wujud untuk kepentingan diri.

Lihat apa yang terjadi sesudah politik jalan raya berjaya. Sah, Wiranto memiliki cita-cita politik. Sah, Enrile juga memiliki cita-cita politik. Dua benggolan ini telah bertanding untuk menjadi presiden sesudah Suharto dan Marcos lingkup.

Pasti Wiranto berfikir, jika aku arahkan bunuh rakyat mungkin aku lingkup dibaham rakyat lebih baik Suharto yang lingkup. Aku boleh jadi pengganti Suharto.

Pasti Enrile juga berfikir, dari aku membunuh jutaan rakyat Filipina lebih baik Marcos disingkir. Aku selamat dan aku boleh menjadi pengganti Marcos.

Ini hujah dalam kepala para jeneral, para elit yang memerintah. Apa pula kepentingan Jimmy Carter? Bagaimana pula perhitungan Ronald Reagan? Tunggu minggu hadapan.

Lihat Komen
ADS