Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jam telah melepasi sembilan malam. Kami masih tersadai di tingkat tujuh Rumah Pasong Dang Wangi. Kami menunggu tim Cawangan Khas (SB) dari Bukit Aman.

YB Tian Chua dan siswa Lukman Hakim ada bersama kami. Ada apa lagi agaknya yang diperlukan oleh polis? Ada apa perlunya SB melakukan soal siasat?

Tetiba satu kumpulan polis tidak beruniform muncul dari lif. Ini pasti tim SB dari Bukit Aman. Kami dipisah-pisah. Setiap orang kena tuduh (OKT) dikawal oleh dua orang dan dibawa ke bilik masing-masing.

Ini bilik siasatan. Dinding ini berlapik dengan bahan lembut macam sponge berwarna biru. Ini untuk dua tujuan - agar perbualan tidak terdengar diluar. Jika OKT meraung pasti tidak juga kedengaran. Malah jika OKT nak hantukkan kepala ke dinding - kepala tidak akan pecah. Tidak ada kes bunuh diri ketika soal siasat.

Saya berjabat salam dengan dua lelaki Melayu berumur 40-an. Muka klise - muka SB. Mereka tidak memperkenalkan diri mereka. SB-lah konon - merahsiakan nama masing-masing.

"Tak ingat lagi ke?" SB rambut beruban yang lebih senior bertanya pada saya.

Saya cuba membawa ingatan. Gagal. Saya memutar rekod ingatan di mana saya pernah bertemu dengan Si Mamat ini. Gagal.

"Saya jurugambar yang ambil gambar untuk kad pengenalan dulu. Dah lupa ke? Kan saya yang tolong buatkan…. masa awak baru balik dulu…" dengan bangga dia memperjelas duduk pekara dengan saya.

"Wow! Ini 22 tahun dulu… minta maaf. Dah lama sangat. Apa khabar. Dah naik pangkat. Dulu jaga kamera sekarang dah jadi pegawai penyiasat."

Sepulang daripada 20 tahun berkelana saya telah ditahan di bawah ISA selama dua minggu. Sebelum dibebas pihak polis menguruskan pemberian kad pengenalan baru untuk saya. Dan SB senior ini ketika itu ditugaskan mengambil gambar.

Jadi kemarahan Reagan

Bila cerita ini terbuka, saya sekali lagi menghulurkan tangan bersalaman. Aduh! Sejarah membuatkan kami bertemu kembali. SB junior hanya tersenyum melihat dua ‘kawan’ lama.

Kami memulakan siasatan. SB senior ada membawa beberapa helai kertas bersaiz A4. Saperti telah dirancang - dia ada beberapa soalan yang wajib diajukan kepada saya. SB junior memerhatikan SB senior bertanya dan menulis.

Saya tidak tahu antara berdua ini siapa yang lebih tinggi pangkatnya dan apa pangkat mereka. Apa yang saya yakin mereka berdua bukan Ketua Twitter Negara mengikut istilah lukisan Zunar.

Paling membosankan apabila direman polis ialah pengulangan pertanyaan biodata tentang diri saya. Nama. Umur. Nama emak , ayah , abang , kakak, adik dan dan dan. Berpuluh kali pekara ini telah ditanya. Seharusnya semua maklumat ini telah ada dalam rekod polis.

Ini menjadi kemarahan kepada mendiang Ronald Reagan yang telah menghadiahkan dunia kita ini dengan sistem internet yang pada satu ketika dulu hanya dimiliki oleh Jabatan Pertahanan Negara Amerika dan CIA. Tapi kita gagal menggunakan sistem ini sepenuhnya.

Kerana saya OKT, saya dikurung, maka saya wajib melayan soalan-soalan bodoh ini. Maklumat baru yang ada pada saya hanyalah - ayah, ibu dan abang saya telah meninggal. Dan saya masih lagi belum kahwin. Justeru tidak ada anak. Kerana tak kahwin maka seharusnya SB tak perlu tanya nama isteri. Tak perlu tanya berapa orang anak - lelaki atau perempuan

Oh! Malaysiaku. Inilah hasil daripada 60 tahun proses pembebalan yang telah dilakukan oleh United Malays National Organisation terhadap anggota polis.

Kemudian diikuti dengan soalan tentang BERSIH5. Pihak SB ingin tahu dari mana dana datang. Apa hubungan dengan Soros. Kedua-dua SB ini membuka telinga untuk mendengar jawapan. Lalu saya terang bahawa saya bukan lagi anggota Jawatankuasa BERSIH. Tugas saya hanya berkempen dan menghasut.

Kemudian sampai soalan apakah saya dibayar oleh BERSIH? Apabila soalan ini muncul saya ketawa terbahak-bahak.

"Memang BERSIH sampai hari ini belum settle bil-bil saya…." Saya sengaja meninggalkan kesangsian dalam kepala dua SB ini. Mana tahu jika petir menyambar mereka hingga membolehkan mereka berfikir sekali lagi sebagai umat manusia yang cerdas. Bukan hanya mengikut arahan.

Anaki, anarko ni siapa?

Soal jawab kali ini ini agak mesra. Tidak saperti soal siasat oleh enam SB ketika saya ditahan di bilik sulit di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 2001 dahulu.

Tetiba muncul satu soalan. Soalan ini pasti telah dirancang oleh Badan Bertindak Jawatakuasa Soal Siasat SB Negara. Untuk saya ini soalan cepu emas. Ini soalan klasik yang wajib diumumkan kepada dunia. Dunia wajib tahu soalan ini. Dan dunia juga wajib tahu jawapan dari Hishamuddin Rais.

"Encik Hisham… kenapa kumpulan anaki.. ananko.. anarr ko…yang tulis-tulis cat 'A' di dinding-dinding tu… semua orang kata ini pengikut Encik Hisham... mereka sinonim dengan Hisham."

Bila soalan ini muncul mata saya beralih ke kiri dan ke kanan memerhati dua orang SB ini. Saya cuba menyusun fikrah agar mereka ini faham jawapan dari saya.

"Tuan… tolong jangan sangkut-pautkan saya dengan kumpulan anarko anaki ini. Kalau tuan sangkutkan mereka dengan saya dan tuduh mereka ini dari Bangsar, maka ini samalah saperti tuan menuduh Haji Hadi itu seorang Syiah…"

Saya berhenti dan memerhatikan muka mereka. Beberapa saat mereka cuba menghadam apa yang saya tuturkan.

"Bukan geng Cik Isham laaa…”

"Geng Bangsar panggil mereka ini anarko pening. Kalau mereka geng saya, maka Haji Hadi itu adalah geng Syiah. Kalau mereka geng saya, maka Haji Hadi dah jadi Syiah…"

Kali ini mereka terbarai ketawa. Rupa-rupanya - bodoh-bodoh alang si SB ini dapat juga mereka faham metafora yang saya utarakan.

Hampir tiga jam kami di dalam bilik itu. Tetiba masuk seorang lagi SB yang lebih muda. Mungkin dari bilik yang lain selepas soal siasatnya selesai. Atau ini tanda semua sudah beres dan boleh tutup kitab. SB senior bertanya jika ada apa-apa yang lain. Semua geleng kepala.

Kami bersalaman. Tamat episod dengan SB. Jam telah lewat. Kami dibawa kembali ke lokap. Tian dan Lokman dibawa pulang ke Jinjang. Kenapa kami dipisah-pisah seperti ini saya tidak ada teori. Walaupun semua kami yang ditahan kes BERSIH5 di bawah kawalan ASP Tan Shyong Shan dari Dang Wangi.

Kelebihan Nokia 'cap ayam'

Dalam lokap kami bertukar maklumat tetang apa yang ditanya oleh SB. Armand bercerita yang berjumpa dengan dia seorang pegawai besar dari Bukit Aman. Pegawai ini ingin tahu di mana dua orang lagi dari kumpulan Baju Merah yang dikhendaki polis.

"Aku rasa mereka dah ke Danok…" ini jawapan Armand sambil kami pecah ketawa.

"Esok Isnin kita akan bebas. Lebih baik hari Senin. Hari Senin ada media. Ahad tak ada media…" Armand Baju Merah memberi kuliah tentang pentingnya media untuk para politikus.

"Sham… minggu depan Perhimpunan Agong Umno… aku akan masuk ke dewan lambat sikit… ha ha.. bagi dia orang tengok aku masuk.."

"Biar pun saya bersama Tian Chua… bersama Hishamuddin Rais... tapi mereka gagal mempengaruhi saya…." Armand melawak seolah-olah dia sedang berucap di hadapan Persidangan Pemuda Umno Malaysia.

Esoknya - pagi Senin - pagi pembebasan pun sampai. Tapi kami tidak pula diminta menukar pakaian. Dalam kepala saya bertanya - apakah reman akan disambung?

Kami dimasukkan ke dua buah kereta dan terus dibawa bergerak. Aduh, ke mana pulak hendak dipindahkan?

Rupa-rupanya telah ada arahan agar kami tidak lagi menggunakan lif dari tingkat satu ke tingkat tujuh. Di tepi pintu lif ada ruang awam. Mungkin media telah ada di sana dan kami tidak mahu dilihat bergari.

Sesampai ke tingkat tujuh, Tian Chua, Zuraidah dan Lokman telah menunggu. Mereka tidak memakai pakaian lokap seperti kami. ASP Tan ada bersama. Dia juga tidak memakai uniform. Bila ASP Tan melihat kami masih lagi dengan pakaian lokap, dia marah kerana yang bertugas dilokap tidak mendengar arahan yang kami akan dibebaskan.

Panggilan telifon dibuat untuk menghantar pakaian kami ke tingkat tujuh. Akhirnya semua beres. Barang-barang kami dipulangkan. Fahmi Reza berasa tidak puas hati. Dia terus bertanya tentang lukisan dan telefon bimbit yang masih disimpan polis. Telefon Lokman juga ditahan polis. Telefon bimbit Nokia saya tidak diperlukan polis kerana tidak ada apa-apa maklumat. Inilah kehebatan Nokia 'cap ayam'.

"Bagaimana dengan baju ini? Kepada siapa saya nak pulangkan?"

Baju T yang saya pakai itu dipinjamkan seorang pegawai polis di IPK Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Baju T BERSIH5 saya telah dirampas sebagai bahan bukti.

"Ambillah.. tak perlu pulangkan.." kata ASP Tan. Dalam diam-diam saya juga sempat mengambil satu seluar pendek lokap sebagai kenang-kenangan.

Saya berdiri memandang ke luar dari tingkap kaca dari tingkat tujuh. Saya nampak dengan jelas banguan MARA, Kompleks Pertama, Medan Tuanku dan Maju Junction.

"Itu Isham… tempat aku cari makan… Itu bangunan yang cat putih itu.. Pejabat Giat Mara," si Armand menunjukkan pejabat dia yang tidak jauh dari tempat kami ditahan.

Kemudian nama Armand dipanggil. Dia dibebaskan lebih awal daripada kami semua. Kami bersalaman. Dari tingkap yang sama saya ternampak di seberang jalan satu kumpulan media telah bersedia menunggu.

Saya harapkan si Armand ini akan mendapat liputan. Malah saya berharap dia akan dapat tepukan berdiri di Persidangan Pemuda Umno nanti. Saya yakin PRU14 yang akan datang si Armand ini akan bertanding.

Apa yang telah dirancang oleh YB Howard, YB Tian bersama Armand saya kurang tahu. Tapi saya yakin mereka semua ini ahli politik. Tidak saperti saya tukang hasut. Untuk tukang hasut - apa yang tersurat itulah yang tersirat.

Yang tersirat sekarang ialah - sebelum ke pilihan raya PRU14 kita wajib sekali lagi ke jalan raya. Lewat tengah hari kami dibebaskan. Amin.

Lihat Komen
ADS