Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu lalu saya telah memperkenalkan apa itu oligarki. Saya juga telah memberi pencerahan bagaimana oligarki Amerika sedang berkomplot untuk mengelincirkan dasar Presiden Amerika Donald Trump. Saya telah cuba memperlihatkan bagaimana oligarki ini dengan kerjasama media bukan hanya berjaya mengolah persetujuan rakyat Amerika malah rakyat dunia untuk melihat Trump sebagai musuh.

Saya juga telah memaparkan bagaimana daulah terpendam atau deep state sedang menjalankan jarum halus untuk memastikan dasar-dasar Trump gagal. Dasar utama yang sedang diserang untuk digagalkan ialah niat dan akidah Trump yang mahu mengadakan hubungan yang menguntungkan antara Amerika dengan Rusia.

Oligarki dan daulah terpendam mahu Amerika terus melihat Rusia sebagai musuh. Ini agenda induk oligarki. Jika ini pecah maka akan terbarai kuasa oligarki Amerika.

Trump mengangkat sumpah pada Jumaat 20 Januari 2017. Sabtu esoknya telah berlaku politik jalan raya yang amat besar di Amerika dan juga kota-kota besar lain dalam dunia. Kaum feminis, perempuan, betina dan anak gadis Amerika telah menganjurkan tunjuk perasaan. Mereka membantah dan menolak Trump sebagai presiden Amerika ke-45. Politik jalan raya ini telah juga disertai oleh anak muda lelaki, pondan, mak nyah, jantan dan sida.

Hakikatnya lebih dari satu juta rakyat Amerika di bandar, pekan besar dan kota-kota besar dunia telah keluar ke jalan raya. Dengan jumlah yang begitu ramai keluar, pasti ada yang merasakan bahawa kumpulan feminis ini sedang membawa garis politik yang betul dan tepat.

Bertenang sebentar. Heboh-heboh dalam media bukan bermakna perkara itu membawa kebenaran. Bising-bising itu hanyalah manifestasi agenda yang wajib saya rungkai untuk kita sesama fahami.

Memahami politik Amerika ini terus penting. Pertama kerana apa yang berlaku di Amerika akan mempengaruhi dunia termasuk Malaysia. Kita tidak ambil pot apa yang berlaku di Fiji atau Sri Langka kerana ia tidak akan mempengaruhi arus politik Malaysia.

Kedua, memahami politik Trump adalah senaman untuk fikrah kita. Kita perlu mendidik fikrah agar kita dapat melihat sesuatu perkara di hadapan mata dengan lebih tuntas, lebih dalam dan lebih jelas.

Hakikatnya memahami politik Amerika dan dunia adalah proses persekolahan agar kita memiliki daya fikir yang kritikal, bukan hanya melihat apa yang tersurat. Kita juga wajib dan perlu berjaya melihat yang tersirat. Yang tersirat tersorok ini ialah ibu kepada yang tersurat.

Dalam ilmu falsafah, yang tersurat itu hanyalah manifestasi. Yang tersirat ialah penyebab. Yang tersurat hanya kulit. Yang tersirat ialah isi. Kita wajib memahami kulit dan isi. Apa dia hubungan kulit dengan isi? Atau apa itu bentuk dan apa itu isi?

Satu juta warga Amerika keluar ke jalan raya adalah manifestasi. Yang tersirat ialah bagaimana daulah terpendam bersama media berjaya mengolah persetujuan. Bagaimana media menjaja Trump sebagai musuh Amerika. Bagaimana warga Amerika bersedia membeli hujah yang dijaja CNN dan CBS serta media arus perdana Amerika.

Bagaimana ini berlaku? Apakah kaum feminis dan kumpulan-kumpulan lain tidak memiliki pemikiran kritikal?

Feminis, mak nyah, lesbian, gay

Sekali lagi saya ingatkan bahawa dunia kita hari ini sedang didominasi oleh enam syarikat media gergasi. Syarikat-syarikat ini memiliki ribuan anak-anak syarikat yang menjual dan menjaja garis politik anti-Trump.

Di Amerika, malah dalam dunia kita hari ini telah diwujudkan satu lembah politik baru yang amat subur. Untuk memahami kenyataan – lembah politik baru – maka biarlah saya bersurah membuka sejarah silam. Tanpa pemahaman sejarah kita tidak akan dapat memahami isi.

Semenjak tahun-tahun 60-an daulah terpendam Amerika telah membina satu lembah wacana politik baru. Kemunculan wacana baru ini berlaku dengan gerakan antiperang Vietnam sebagai latar.

Ketika gerakan antiperang Vietnam berlaku, anak-anak muda Amerika dan anak muda semua bangsa di seluruh dunia telah mengampuh turun ke jalan raya. Anak muda kaum mahasiswa anak semua bangsa turun ke jalan raya dengan kesedaran kelas.

Garis politik gerakan antiperang Vietnam di Amerika adalah garis politik kiri - garis politik kelas. Organisasi anak muda mahasiswa seperti SDS - Student for Democratic Society - yang menjuarai gerakan antiperang amat jelas. SDS membawa garis kiri yang berlatarkan kesedaran kelas. Black Panther pula yang mengembangkan kesedaran kelas warga paling tertindas di Amerika kepada para Negro.

Rujukan gerakan antiperang Vietnam ini ialah kitab-kitabMarx, Lenin, Stalin, Trotsky, Bakunin, Kropotkin, Rosa Luxemburg, Mao dan Che.

Kesedaran kelas ini amat-amat bahaya untuk kaum pemodal. Ia amat bahaya untuk elit politik. Anak-anak muda ini bukan hanya menentang perang tetapi mereka mengajukan satu dunia baru yang lebih adil dalam satu sistem ekonomi yang dinamakan ekonomi sosialisme.

Maka dengan licik dan terancang daulah terpendam melalui FBI dan CIA telah memecahbelahkan gerakan kiri ini. Kita lihat Malcolm X dimatikan. Kita lihat Martin Luther King dibedil. Kita lihat pemimpin Weather Underground diburu, dipenjara, ditembak dan dimatikan. Kita membaca bagaimana Soledad Brothers dihancurkan. SDS terbarai pecah. Gerakan antiperang Vietnam menjadi mandul.

Hari ini kita boleh membaca dokumen COINTELPRO. Dokumen ini akan memperlihatkan sejarah bagaimana gerakan kiri Amerika pada tahun-tahun 60-an disabotaj. Sila tanya Lebai Google apa dia COINTELPRO untuk penerangan yang tuntas dan jelas.

Arkib juga telah dibuka tentang taktik dan strategi daulah terpendam untuk memecahkan gerakan anak muda pelajar Amerika. Dokumen-dokumen ini bukan lagi satu rahsia daulah Amerika.

Untuk mengarahkan tenaga, niat dan idealisme anak-anak muda Amerika ketika itu maka dimunculkan apa yang dipanggil politik identiti. Identiti politik ialah badan induk. Manifestasinya ialah kumpulan feminis, kumpulan mak nyah, lesbian dan gay.

Projek COINTELPRO berjaya memusnahkan Black Panther. Justeru warga kulit hitam diberi kesedaran kulit. Kesedaran warna kulit ini mengebumikan kesedaran kelas.

Si jantan kasar, lucah

Dari satu kumpulan yang ampuh, kini anak muda pelajar mahasiswa di Amerika menjadi terpencar-pencar. Mucul puluhan kelompok yang masing-masing tidak seirama. Mungkin tidak sekulit atau tidak sejantina dan tidak sekatil.

Hari ini politik identiti telah menular dan merebak ke seluruh dunia. Kesedaran anak muda pelajar dan mahasiswa bukan lagi kesedaran kelas tapi kesedaran identiti.

Dalam dunia pasca moden, dalam dunia pasca kebenaran yang ditonjolkan ialah identiti. Kamu ini jantan ke betina? Berahi kamu pada siapa? Pada lelaki atau pada wanita? Kulit kamu warna apa? Hitam atau putih?

Semua soalan-soalan ini sengaja ditimbulkan dengan tujuan yang amat jelas - untuk meminggirkan kesedaran kelas.

Justeru sehari sesudah Trump mengangkat sumpah kita melihat pemain utama dalam gerakan anti-Trump berkiblatkan politik identiti. Mereka ke jalan raya berpandukan kepentingan identiti.

Justeru kita melihat kumpulan feminis, kumpulan pondan dan kumpulan sida dalam gerakan anti-Trump. Mereka ini dijerat, terperangkap dengan laporan berita bagaimana Trump ini seorang jantan seksis. Trump ini seorang lelaki yang belalai gajahnya tidak terkawal. Trump ini pelanggan pelacur. Trump ini suka kepada wanita yang cun dan bergetah. Trump ini suka meraba punggung perempuan genit.

Pengamal identiti politik ini telah gagal untuk membaca dan meneliti ucapan dasar pertama ketika Trump mengangkat sumpah. Biar saya terjemahkan salah satu isi ucapan Trump.

“Telah begitu lama negara kita ini telah dihisap madunya oleh kerajaan, walhal yang membayar ialah orang ramai. Washington kaya bergemerlapan, tetapi kita warga biasa tidak dapat bersama mengecap kekayaan kita. Ahli politik jadi kaya raya tapi warga tanpa kerja dan kilang-kilang ditutup. Para elit mempertahan hak mereka tapi bukan untuk warga biasa. Yang penting hari ini bukan parti mana yang memerintah tapi apakah kerajaan ini dikawal selia oleh rakyat.”

Sekali imbas kita lihat ucapan Trump ini ada membawa unsur naluri kesedaran kelas. Satu ucapan yang belum pernah didengar dari politikus Amerika, jauh sekali dari mulut presiden Amerika.

Jangan silap faham saya sedar Trump bukan buruh pembuat kereta dari Detroit. Trump adalah kontraktor besar yang kaya raya. Trump seorang billioniare. Dari istilah kaum kiri, Trump ini mustahil akan menjadi seorang proletariat.

Politik identiti ini sebenarnya tidak mengancam kedudukan yang sedia ada. Heboh-heboh Obama membenarkan lelaki kahwin lelaki atau perempuan kahwin perempuan adalah heboh-heboh untuk memperkukuh politik identiti.

Perkahwinan jantan dengan jantan ini tidak mengubah apa-apa asas ekonomi Amerika. Ia tidak membuka kembali kilang kereta di Detroit. Politik identiti akan membawa perubahan jika kilang di Amerika kembali beroperasi. Kaum buruh mula menyusun kesatuan sekerja yang kukuh dan ampuh. Atau buruh kilang mengambil alih kilang dan menjalankan kilang tanpa pemilik. Ini radikal. Tapi ini bukan politik identiti ini politik kelas.

Justeru apa sebenarnya yang dibawa oleh jantan kasar yang kadang kala bercakap lucah ini. Pertama cakap kasar dan cakap lucah Trump ini hanya manifestasi. Lihat isi kandungan apa yang sedang diajukan oleh Donald Trump. Baca, dengar dan teliti isi kandungnya.

Nasionalis ekonomi

Presiden Trump sebenarnya ialah sosok pemodal nasionalis. America First adalah slogan nasionalis. Trump mahu menjadikan Amerika great again. Apabila Trump menghalang kemasukan warga Mexico ke Amerika sekali baca dilihat rasis.

Hishamuddin Rais membantah kemasukan Bangla, Negro, Myamar dan dan dan ke Malaysia dibaca sebagai manifestasi rasis. Manifestasi rasis ini lahir dari wacana politik identiti.

Sebenarnya menghalang warga Mexico datang mengambil kerja di Amerika bukan rasis dari politik kelas. Ia bertujuan agar kerja kaum buruh Amerika tidak diambil oleh warga Mexico. Anak tempatan didahulukan. Ini dasar Trump.

Menolak masuk Negro, Bangla, Indonesia, Vietnam dan dan dan bukan rasis tetapi untuk memastikan gaji kaum buruh di Malaysia mendadak naik. Ini pandangan kaum kiri yang berasaskan kelas dan bukan politik identiti.

Politik identiti sedang menghalang kelahiran dunia baru yang mahu dicipta oleh Trump. Apakah Trump seorang nasionalis ekonomi ini akan berjaya dengan dasarnya? Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS