Paling Popular
Terkini

Asiaweek pada 1 November 1985 ada melaporkan kenyataan kerajaan Malaysia tentang kemasukan pendatang baru - dari Indonesia dan Filipina. Kerajaan Malaysia secara rasmi berkata, ada lebih kurang 20,000 pendatang baru masuk ke Malaysia.

Dalam laporan Asiaweek yang sama, kenyataan kerajaan Malaysia ini telah disangkal oleh pemimpin DAP Lim Kit Siang. Kit Siang berkata ada ‘…800,000 ke 1 juta atau hampir 7 peratus dari jumlah penduduk 15.5 juta…”

Kenapa Lim Kit Siang menimbulkan hal ini?

Ini berlaku pada tahun 1985. Saya menimbulkan persoalan sama pada tahun 2017 ini.

Soalan saya ialah pada tahun 1957 kenapa tidak ada suara pemimpin Melayu seperti Lim Kit Siang yang berani menimbulkan kemasukan Bani China dan bani India ke Tanah Melayu? Kenapa pada ketika itu suara Melayu senyap. Apakah pemimpin Melayu pada tahun 1957 telah mandul dan diserap candu hingga tidak menyedari projek Inggeris yang sedang memecahkan polity dan lanskap Tanah Melayu.

Apakah yang pertanyaan saya ini benar dan betul?

Bila saya menulis, bertanya, menyoal dan menimbulkan hal ini maknanya saya sedang menimbulkan persoalan nasional yang masih menghantui negara ini. Yang masih belum selesai. Yang masih belum jelas dan tidak tuntas.

Tujuan saya menimbulkan persoalan nasional ini adalah dengan niat untuk melahirkan kerangka perbincangan dalam usaha membina dan mendirikan negara bangsa.

Pada hemat saya negara bangsa Malaysia belum wujud. Jauh dari wujud. Malah pada hemat saya projek Inggeris mendirikan Malaysia telah jelas terbarai dan gagal.

Setelah 60 tahun Inggeris meninggalkan Tanah Melayu - jelas kelihatan projek Inggeris ini telah memudaratkan Bani Melayu.

Ketika saya menggarap tulisan ini, Malaysiakini (27/3/17) telah melaporkan satu kenyataan Lim Kit Siang.

Kali ini Lim Kit Siang telah berkata ‘ …. ..Hadi bukan berniat untuk menyelamatkan Malaysia tetapi mahu menyelamatkan Najib…’

Sebenarnya kenyataan Lim Kit Siang ini menusuk kepada apa yang saya namakan - PSIKIK MELAYU.

Minggu lalu saya menyebut sepintas lalu tentang psikik Melayu. Maka pada minggu ini saya akan cuba membuka wacana tentang apa itu psikik? Dan apa dia psikik Melayu.

Psikik ini bersangkutan dengan fikrah, minda. Ia di luar dunia yang kita pegang, yang kita cium dan yang kita rasa. Psikik ini tidak fizikal. Ia roh, jiwa, perasaan dan pandangan dunia.

Maka psikik Melayu adalah roh, jiwa, semangat, perasaan, dan pandangan dunia bani Melayu di Tanah Melayu. Orang puteh selalu menggunakan - sensibility. Atau terjemahan - sensibiliti - yang membawa makna perasaan halus.

Jiwa, roh, perasaan dan pandangan dunia ini juga lahir kerana sebab dan musabab. Mustahil satu pandangan dunia atau satu perasaan itu lahir dengan tersendiri. Mustahil jiwa dan roh bani Melayu wujud tanpa sebab. Walau pun ada kemungkinan pandangan atau perasaan atau emosi itu tidak ilmiah, tidak masuk akal dan tidak rasional tetapi ia tetap satu pandangan dunia.

Kenyataan Lim Kit Siang dalam Malaysiakini menerangkan kepada warga Malaysia bahawa Hadi bukan mahu menyelamatkan Malaysia tetapi mahu menyelamatkan Najib. Kenyatan ini amat tepat dan betul. Apa yang dikatakan oleh Kit Siang ini 100% tepat. Tidak salah melainkan benar dan sahih.

Masa telah sampai

Kenyataan Lim Kit Siang dibuat dengan tujuan agar warga Malaysia sedar bahawa Hadi yang pada satu ketika dahulu dalam satu saf bersama Lim Kit Siang kini telah belot. Melalui kenyataan ini Kit Siang meminta agar warga Malaysia tidak lagi menyokong Hadi. Tidak menyokong Najib. Tidak akan memberikan undi mereka kepada Hadi dan Najib.

Memang betul Hadi mahu menyelamatkan Najib.

Untuk saya ini tidak penting. Menyokong Najib - jelas tersurat. Gerak, perangai dan tindak tanduk Hadi jelas menunjukkan bahawa Hadi kini sahabat baik Najib. Ini bukan omong kosong atau fitnah tohmah. Hanya yang bebal dan yang baral sahaja yang tidak memahami tidak tanduk Hadi ini

Tetapi, apa yang penting untuk saya ialah apa yang tersirat. Yang terpendam dan tersorok. Yang inilah yang wajib saya gali dan fahami. Saya menimbulkan persoalan - kenapa Hadi mahu menyelamatkan Najib. Kenapa? Kenapa Najib wajib diselamatkan. Apa yang wujud dalam kepala Hadi. Apa dalam fikrah Hadi sehinggakan dia mahu menyelamatkan Najib.

Untuk saya merungkai apa yang tersirat - apa yang terpendam - lebih penting dari menghayati kenyataan tersurat Lim Kit Siang. Kenyatan Kit Siang saya anggap hanya kulitan. Satu kenyataan politikus yang selalu kita dengar. Kenyataan setengah jalan tidak menyeluruh kerana tidak menerangkan secara tuntas kenapa pekara ini berlaku.

Justeru, masanya telah sampai untuk kita semua menuntut satu analisa yang tepat dan tuntas kenapa pekara ini berlaku. Kenapa fenomena ini terjadi. Kenapa Hadi menyokong Najib.

Menyokong Najib bermakna Hadi telah meninggalkan perjuangan amal makrof nahi mungkar yang menjadi tali ikatan perjuangan Parti Islam Pas. Menegakkan keadilan dan membasmi kemungkaran adalah rukun, pedoman dan kepercayaaan agama yang dianuti oleh Hadi. Kenapa ditinggalkan?

Pada hemat saya Hadi menjadi Hadi kerana psikik Melayu. Hadi kembali kepada garis Melayu. Jiwa Hadi menjadi Melayu bila berhadapan dengan yang lain. Pandangan dunia Hadi menjadi sensibiliti Melayu bila berhadapan dengan Lim Kit Siang. Hakikatnya Hadi tidak memiliki keyakinan dengan Bani Cina yang diwakili oleh Lim Kit Siang.

Ada kesangsikan dalam fikrah Hadi terhadap Bani Cina. Ini psikik Melayu. Bani Melayu selama ini sangsi dan was-was terhadap pendatang dari luar ini.

Inilah roh dan perasaan yang dimiliki oleh Hadi. Inilah yang saya namakan sebagai psikik Melayu. Lalu persoalan timbul dari mana psikik Melayu ini muncul?

Psikik Melayu sedia wujud. Psikik Melayu ini ada terpendam. Setiap bangsa , setiapa bani memiliki psikik masing-masing. Ini bukan hanya unik kepada Bani Melayu. Psikik inilah yang menjadi sebahagian dari hukum sosial yang mewujudkan Bani Melayu.

Pecah belah Tanah Melayu

Apakah selama ini psikik Melayu tidak wujud. Salah. Psikik dan roh Melayu ini sentiasa wujud. Ia sentiasa berada dalam sanubari sosok yang dipanggil Melayu.

Psikik Melayu terhadap Bani Cina dan Bani India ini wujud semenjak Yang Lain ini datang menetap di Tanah Melayu.

Dari pensejarahan kita saksikan bagaimana penjajah yang memiliki kekuatan senjata telah memendekkan tamadun Melayu. Apabila Portugis dan Belanda datang dan mengambil alih Kota Melaka maka tamadun Melayu dibantutkan.

Apabila Inggeris membawa masuk Bani Cina dan Bani India ke Tanah Melayu - tamadun Melayu yang telah bantut itu terus dimandulkan.

Kesampain Yang Lain - yang membawa bahasa, budaya dan agama yang asing kini telah mengkacau bilaukan tamadun Melayu. Hakikatnya kekuatan senjata Inggeris ini tidak memadam psikik Melayu. Psikik Melayu direndam, mengenap, landai dan damai. Tapi yakinlah psikik Melayu terus melihat yang lain ini dengan penuh kesangsian.

Pada 1 April 1946 - sekali lagi secara terancang Inggeris telah memecah belahkan Tanah Melayu. Kali ini dengan projek Malayan Union. Melaka, Pulau Pinang dan Singapura telah lama diuruskan melalui Straight Settlement. Kini dengan Malayan Union, Singapura akan dipisahkan.

Projek ini telah digagalkan oleh gerakan psikik Melayu yang merasa curiga bukan hanya kepada Inggeris malah kepada pendatang baru.

Pada ketika ini muncul United Malays National Organisation. Gerakan ini bukan satu parti politik seperti yang wujud dan diguna pakai hari ini. Gerakan ini adalah kumpulan para nasionalis Melayu yang sama berjuang untuk menentang Malayan Union. Justeru slogannya Hidup Melayu.

Jelas gerakan ini tidak mahu menerima kemasukan Bani Cina dan Bani India ke dalam polity Tanah Melayu. Hakikatnya psikik Melayu telah wujud apabila berhadapan dengan The Other/Yang Lain disusun dan mula bersuara.

Jika kita membuka kitab sejarah kita akan bertemu pula dengan satu lagi babak sejarah - Perlembagaan Rakyat 1947. Ini adalah satu dokumen sejarah yang amat penting. Perlembagaan Rakyat ini adalah bukti bahawa persoalan nasional yang saya timbukan hari ini telah juga ditimbulkan pada tahun-tahun 40’an.

Perlembagaan Rakyat ini adalah jawapan garis kiri terhadap persoalan nasional.

Telah terbukti bahawa generasi terawal, mereka yang berjuang menentang Inggeris, para nasionalis Melayu telah membincangkan persoalan Bani Cina dan Bani India. Tentang kemasukan Yang Lain ini ke dalam Tanah Melayu. Persoalan ini wujud dan persoalan inilah yang membina psikik Melayu.

Perlembagaan Rakyat 1947 adalah satu percubaan untuk melahirkan negara bangsa. Satu percubaan untuk meredakan psikik Melayu yang tidak mahu menerima Yang Lain sebagai warga negara Tanah Melayu.

Perlembagaan Rakyat 1947 yang didraf oleh Pusat Tenaga Rakyat - PUTERA dengan All Malaya Council of Joint Action - AMCJA telah mentakrifkan sesiapa sahaja boleh dianggap Malayan atau Melayu. Fasal ini jelas menunjukan bahawa psisik Melayu memainkan peranan yang penting.

Apakah cadangan Perlembagaan rakyat 1947 ini akan memadamkan atau meredakan kesangsian psikik Melayu? Apakah psikik Melayu dapat diyakinkan untuk menerima Bani Cina dan Bani India melalui Perlembagaan Rakyat 1947.

Sayangnya gerakan Perlembagaan Rakyat 1947 PUTERA-AMCJA - digagalkan apabila Inggeris melancarkan Darurat pada 20 Jun 1948.

Ramai pemian utama dalam PUTERA- AMCJA ditangkap, dipenjara atau ada yang sempat lari ke hutan untuk mengangkat senjata melawan Inggeris.

Apabila masuk zaman darurat, Inggeris mula merancang dan mencari jalan terbaik untuk undur. Tetapi dalam masa yang sama masih lagi menjadi ‘tuan’ kepada Tanah Melayu. Penentangan Malayan Union menyedarkan Inggeris bahawa psikik Melayu ini jika tidak dikawal, tidak diatur dan tidak disabotaj akan menghancurkan kepentingan enonomi British di Tanah Melayu.

Dalam senyap senyap Inggeris merancang. Apakah rancangan itu? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS