Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya menyambung kembali persoalan nasional yang sedang menghantui badan politik Malaysia. Saya telah merakamkan bagaimana kemasukan yang lain ke Tanah Melayu telah mengubah roh bumi Melayu ini. Hari ini yang lain telah dijadikan sebab musabab dalam setiap langkah ekonomi kerajaan dan garis politik semua parti-parti politik Malaysia.

Minggu lalu saya telah menerangkan bahawa projek Malaysia ini ialah projek neokoloni Inggeris yang bersangkut paut dengan persoalan nasional.

Projek ini dirancang untuk menggagalkan niat dan cita-cita Melayu Raya. Konsep Melayu Raya ini pernah dilambung-lambung sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua oleh para nasionalis di tanah seberang dan di tanah semenanjung.

Nama-nama seperti Bung Karno, Ahmad Boestamam, Dr Hatta, Dr Burhanuddin, AM Azahari, Ishak Muhamad, Ibrahim Yacob, Tan Malaka, Yamin, Harun Aminulrashid adalah antara nama-nama yang dihayati oleh Bani Melayu Nusantara sebagai mewakili kesedaran nasional mereka. Nama-nama ini dilihat sebagai pemimpin Nusantara yang mengajukan garis bangun berjuang menentang kuasa kolonial Inggeris dan Belanda.

Justeru generasi hari ini jangan merasa pelik atau buat-buat tidak faham atau tidak mahu sedar tentang apa dia Melayu Raya yang saya tulis ini walau pun fakta dan data sejarah terpampang di hadapan mata.

Jangan pula buat-buat terperanjat atau tertanya-tanya apabila di Jakarta terlihat bendera Parti Demokratik Indonesia memakai lambang kepala lembu yang sama seperti lambang logo bendera Parti Rakyat Malaya (PRM). Logo kepala lembu ini telah diguna pakai oleh PRM bawah pimpinan Boestamam. Juga jangan buat buat tidak faham apabila saya beri tahu bahawa logo yang sama ini juga telah digunakan oleh Parti Rakyat Brunei bawah Azahari semasa menentang Inggeris.

Wajib juga diberitahu kepada generasi hari ini bahawa Parti Rakyat Brunei yang diharamkan oleh Inggeris pada tahun 1963 asal berasal daripada cawangan Parti Rakyat Malaya Semenanjung. Ini fakta sejarah, bukan kelentong Hishamuddin Rais.

Fahamilah sekarang bahawa di belakang logo kepala lembu ini adalah tanda dan niat induk serta falsafah perjuangan yang sama di bumi Nusantara. Ini adalah tanda, simbol dan cita-cita para nasionalis untuk mendirikan Melayu Raya.

Malaysia yang diuar-uarkan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 dijaja sebagai cara untuk mengimbangi Bani Cina dari Singapura yang akan bersama Malaysia. Jelas projek ini muncul sebagai jawapan kepada persoalan nasional.

Projek Malaysia ini telah ditentang oleh Parti Rakyat Malaya, oleh Parti Islam Malaya (PMIP), Parti Komunis Malaya, Parti Buruh dan Parti Rakyat Brunei. Malah projek ini juga telah ditentang oleh Filipina dan Indonesia. Filipina menentang tetapi tidak sekeras tentangan Bung Karno dari Indonesia.

Mereka yang menentang Malaysia mahu Kalimantan Utara (Sabah, Sarawak dan Brunei) merdeka dan berkerajaan sendiri. Manakala parti politik Semenanjung menolak Malaysia kerana ini dikatakan projek neokolonial Inggeris.

Singapura adalah sebahagian

Untuk PRM, PKM, Parti Buruh dan PMIP, Singapura tidak perlu menyertai Malaysia kerana Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Ini sama seperti cakap-cakap bangang yang mengusulkan agar Pulau Pinang perlu masuk Malaysia.

Indonesia bawah Bung Karno sedar pada rancangan Anglo-American untuk mengepung Indonesia. Indonesia bawah pimpinan Bung Karno adalah negara antiimperialis bergaris politik nasionalis kiri. Indonesia menjalankan dasar bebas, berkecuali dan merdeka. Justeru secara senyap-senyap Indonesia telah menyokong garis anti-Malaysia yang wujud di Tanah Melayu.

Pada 16 September Malaysia diumumkan wujud. Jawapan Indonesia ialah secara terbuka telah melancarkan dasar konfrontasi dengan Malaysia.

Konfrontasi ini hanya ditamatkan setelah CIA berjaya melakukan rampasan kuasa di Jakarta. Presiden Sukarno hilang kuasa dan anak buah CIA yang bernama Suharto menjadi presiden.

Wajib juga diberitahu Parti Rakyat Brunei (PRB) menang 16 dari 33 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya Ogos 1962. Parti ini diharamkan. Pemimpin PRB ditangkap. Pada 8 Disember rakyat Brunei bangun angkat senjata melawan British. Sultan Brunei akhirnya enggan menyertai Malaysia. Baginda terus ingin menjadi 'raja Shell' hingga ke hari ini.

Setelah projek Malaysia diumumkan Singapura kini menjadi wilayah Malaysia, tetapi sikap People Action Party (PAP) bawah Lee Kua Yew cukup menjelikkan. Sikap PAP dan Lee Kuan Yew inilah yang melahirkan psisik Melayu hingga ke hari ini.

Lee Kuan Yew mendabik dada dan berkata bahawa dalam Malaysia Bani Melayu hanya 39 peratus manakala Bani Cina 52 peratus. Maka perdana menteri Malaysian Malaysia wajib jatuh ke tangan Bani Cina.

PAP dan Lee Kuan Yew mengatakan bahawa Melayu juga adalah pendatang di Bumi Melayu. Kata-kata lucah PAP dan Lee Kuan Yew ini akhirnya meledakkan kemarahan Bani Melayu.

Suasana politik Bani Melayu dengan Bani Cina ini menjadi tegang apabila PAP mula mengembangkan sayap untuk bertanding di Semenanjung Tanah Melayu dalam pilihan raya 1964. Sentimen Bani Melayu dibakar oleh United Malays National Organisation. Sentimen Kecinaan dibakar oleh PAP Lee Kuan Yew.

Anak muda segala bangsa hari ini wajib diberitahu tentang fakta pensejarahan ini. Saya menuliskan perkara ini untuk memberi tahu susur galur dan salasilah dari mana datangnya psikik Melayu yang tidak yakin kepada yang lain.

Fakta sejarah menunjukkan bahawa pertempuran Bani Melayu dengan Bani Cina bukan bermula di Kampung Baru atau di Setapak atau di Chow Kit pada 13 Mei 1969.

Ledakan pertama berlaku apabila di Geylang dan Kallang, daerah Singapura pada 21 Julai 1964.

Retak menunggu terbarai apabila sambutan Maulud Nabi menjadi bentrokkan Melayu-Cina. Sebenarnya ini adalah suasana politik dan hasil kerja politik PAP dan Lee Kuan Yew.

Perlu dirakamkan secara jelas dan tuntas dalam tulisan ini bahawa laungan Malaysian Malaysia itu bukan bermula dari Demokratik Action Party (DAP). Adalah salah besar apabila sesiapa sahaja menuduh laungan Malaysian Malaysia itu adalah kerja asal DAP atau laungan yang bermula dari Lim Kit Siang.

Laungan Malaysian Malaysia

Parti dan orang yang pertama melaungkan Malaysian Malaysia ialah Lee Kuan Yew dari Parti PAP. Ini fakta sejarah bukan labun Hishamuddin Rais.

Suasana politik di Tanah Melayu pada ketika itu menjadi tegang. Akhirnya pada 8 Ogos 1965, Singapura keluar dari Malaysia. Bila Singapura terkeluar dari Malaysia dan berkerajaan sendiri, maka sah dan afdal akhirnya projek Malayan Union yang mahu Singapura tersendiri. Ini adalah strategi awal dari pandangan berjangka jauh kuasa kolonial Inggeris.

Dari istilah politik, Singapura adalah apa yang dipanggil dalam bahasa Inggeris settler state atau negara pendatang. Contoh terbaik negara pendatang ialah Australia, New Zealand dan juga Israel.

Pemisahan Singapura dari ibunda semenanjung memberi impak yang amat besar kepada psikik Melayu. Tunku Abdul Rahman dari awal sejarah telah dibaca dan dianggap oleh garis politik kiri sebagai budak suruhan Inggeris yang setia.

Setelah Singapura keluar Malaysia, Tunku yang menjadi perdana menteri dan juga presiden United Malays National Organisation . Beliau bagaimanapun dianggap oleh beberapa orang kuat parti seperti Syed Jaafar Albar sebagai pemimpin lembik dan telah menjadi pembelot Melayu.

Ketika semua ini berlaku apa telah terjadi kepada para nasionalis Melayu Raya dari Parti Rakyat, Parti Buruh, Parti Islam dan Parti Komunis? Tidakkah ada pada ketika itu sosok yang dapat memberi pencerahan?

Jawabnya Inggeris telah menyediakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk memastikan kerajaan neokoloni ini selamat ditakhta.

Ahmad Boestaman, Dr. Buhanuddin Hilmy, Hasnul Hadi, Ishak Haji Muhamad antara pembawa garis Melayu Raya telah dipenjara dalam tahun-tahun 60-an. Mereka dipenjara atas tuduhan menyokong parti Komunis Malaya yang masih berjuang mengangkat senjata.

Jika tidak komunis mereka dituduh bersubahat dengan Sukarno menentang Malaysia atau berniat untuk menubuhkan kerajaan buangan di Jakarta. Manakala yang lain seperti Ibrahim Yacob, Shamsiah Fakeh, Mokhtarudin Lasso telah lama lari menghilangkan diri.

AM Azahari dari Parti Rakyat Brunei (PRB) telah melarikan diri ke Indonesia. Partinya diharamkam. Ramai pemimpin dan kader PRB telah dipenjara oleh Inggeris setelah mereka menang pilihan raya pada tahun 1962.

Kenapa saya membangkitkan semua ini. Kenapa saya menimbul fakta-fakta ini?

Semua ini saya lakukan untuk mencari susur galur asal usul dan teromba salasilah psikik Melayu. Seperti yang telah saya tulis lebih awal bahawa psikik ini bukan datang mengejut. Ia terkumpul dalam arus perjalanan tamadun kita semua.

Terkeluarnya Singapura dari ibunda semenanjung adalah babak yang amat menyedihkan untuk Bani Melayu. Kehilangan Singapura sama maknanya seperti Palestin telah kehilangan Gaza kepada Israel. Singapura terkeluar dari semenanjung sama seperti terdirinya Israel pada tahun 1948.

Isreal adalah settler state yang diwujudkan dalam alam Arab dengan tugas dan perancangan yang diatur oleh kuasa Anglo-Amerika. Alam Arab dipecah-pecah agar senang diperintah. Singapura pula peranan dan tugasnya dalam alam Melayu.

Apakah peranan settler state atau negara pendatang ini dalam badan politik Malaysia? Betulkah apa yang Hishamuddin Rais tulis ini? Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS