Di negara kita, identiti kaum dan agama boleh merupakan unsur yang penting dalam sesuatu kontraversi. Kes terbaru ialah peristiwa rakaman video wanita yang diarah berbogel dan dipaksa ketuk-ketampi di lokap polis.

Pada mulanya, ramai menyangka dia adalah wanita warga China, tetapi kemudiannya telah disahkan berketurunan Melayu oleh siasatan awam Suruhanjaya Menyiasat Prosedur Tetap Operasi, Kaedah-kaedah atau berkenaan Penangkapan dan Penahanan oleh Polis.


Seperti kata Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Datuk Sharizat Abdul Jalil, isu utama siasatan suruhanjaya bebas itu sewajarnya mengenai maruah dan integriti wanita terbabiat, dan bukan keturunannya. Dengan kata lain, siapakah gerangan wanita itu, adalah tidak relevan.

Namun, ia bukan saja menjadi salah satu daripada empat bidang siasatan suruhanjaya tersebut selepas wanita berkenaan disahkan keturunan Melayu, bukan warga China maka pihak polis tiba-tiba menjadi tidak bersalah, dan sebaliknya yang bersalah ialah orang yang mendedahkan rakaman tersebut, ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan DAP.

Perkembangan terbaru yang tidak masuk akal ini sepatutnya tidak berlaku. Namun kata Senator Sharifah Azizah Syed Aziza Syed Zain: "Sekarang ini Teresa Kok begitu diam, kalau betul nak bela wanita bantulah dia. Kalau dari awal identiti wanita ini telah diketahui mungkin perkembangan kes ini berbeza." Yang tersirat ialah Teresa Kok tidak akan membantu wanita terbabit jika beliau mengetahui dia wanita Melayu.

Senator Datuk Dayang Mahani Tun Penglima Ahmad Raffae pula menuduh tindakan Teresa itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menyebabkan polis dihukum terlalu awal tanpa pemeriksaan yang teliti, dan telah memaksa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid ke China untuk memohon maaf, malahan menjejaskan imej negara di mata dunia.

Teresa menafi beliau pernah mengatakan wanita terbabit adalah warga China. Sekalipun beliau pernah tersalah anggap wanita itu sebagai warga China, itu juga tidak menghairankan, kerana tindakan terburu-buru Azmi yang ingin segera ke republik itu untuk meminta maaf selepas pendedahannya dibuat, memang membawa mesej bahawa wanita berkenaan adalah warga China.

Membela maruah

Menuduh Teresa memilih bulu atau bersikap perkauman untuk membantu mangsa polis, juga tidak beralasan, kerana tujuan pendedah beliau itu tetap tidak berubah demi membela maruah wanita yang terbabit, tidak kira ianya warga China atau wanita Melayu tempatan.

Analisis lamanweb Tranung Kite pada 17 Desember 2005 memang tepat. Saya petik: "Sepatutnya mereka memuji Teresa Kok kerana mendedah perkara tersebut tetapi nampaknya yang sebaliknya pula terjadi. Jadi, bagi para senator dan juak-juak Umno, kalau wanita tersebut warga China maka wajar didedahkan sebab memalukan negara. Oleh kerana wanita itu Melayu maka Teresa bersalah. Nampak benar bengapnya kotak otak mereka. Apa bezanya jika wanita itu Melayu atau China asing? Wanita Melayu bukan manusiakah? Wanita Melayu tak ada maruahkah?"

Agak lucu juga bila Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dikatakan telah "dipaksa" ke China untuk memohon maaf. Jika beliau percaya pihak polis tidak bersalah, jadi buat apa beliau terburu-buru ke China untuk memohon maaf? Jika sudah memohon maaf, bermakna sudah mengaku polis kita sudah bersalah kepada wanita warga China terbabit, jadi apa yang hendak dikecohkan lagi?

Seperkara lagi, awal-awal lagi pihak polis telahpun mengetahui identiti wanita itu. Namun, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak sesiapa yang akan percayakan polis jika mereka mendedahkan identiti sebenar wanita yang diarahkan berbogel dan ketuk-ketampi di lokap itu. Kenapa polis kita sudah tidak boleh dipercayai lagi?

Jika identiti wanita terbabit begitu penting sekali sehinggakan boleh menjejaskan hubungan baik negeri kita dengan China, dan jika Suruhanjaya Siasatan berupaya mengesahkan identiti wanita itu berketurunan Melayu, kenapa pihak polis tidak berupaya mendedahkan identiti sebenarnya?

Atau anggapan Kit Siang memang berasas, iaitu pihak polis enggan mendedahkan identiti sebenarnya wanita terbabit atas pertimbangan politik bimbang angkara polis itu akan dijadikan bahan kempen PAS dan mengakibatkan kekalahan calon Barisan Nasional di pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

Aspek kaum dan agama

Kepada mereka yang mementingkan aspek kaum dan agama, pendapat blogger (timbuktu) berikut mungkin boleh membuka fikiran mereka:

"Sebagai seorang Melayu, saya betul-betul berasa terhina oleh episod ini. Mangsanya adalah seorang Melayu, yang lebih buruk ialah polis juga Melayu dan wanita pula.Yang (curi) mengambil gambar juga orang Melayu. Di manakah maruah bangsa kita jika kita sendiri menjatuhkan maruah bangsa sendiri. Apakah pendirian Pemuda, Puteri dan Wanita Umno dalam perkara ini. Siapakah yang akan membela maruah perempuan Melayu tersebut? Saya jarang setuju dengan ProArte, tetapi kali ini saya setuju dengan kenyataan akhir beliau bahawa cakap-cakap agama tanpa tindakan bermoral adalah tidak bermakna."

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita semua kaum dan agama tidak kira dari dalam atau luar negeri masing-masing mempunyai maruahnya. Jadi, jika yang hendak dibela adalah maruah wanita yang diaibkan, maka memang tidak penting atau langsung tidak relevan, identiti kaum dan agama wanita terbabit.

Jika identiti kaum atau agama dapat mengubah haluan sesuatu isu, maka terbuktilah wujudnya diskriminasi kaum dan agama. Jika wanita terbabit disahkan keturunan Melayu, ia tidak mengubah tujuan pendedahan Teresa yang ingin membela maruah wanita yang diaibkan.

Kini pemimpin Umno cuba menyalah Teresa, cuma kerana yang diaibkan adalah wanita tempatan yang berketurunan Melayu, seolah-olah Teresa hanya layak membela wanita keturunan China pemikiran tipikal ala Barisan Nasional yang berasaskan politik kaum.

Selain menyerang Teresa dan DAP, kenapa Umno tidak tampil ke depan untuk membela maruah wanita yang disahkan sebangsa dan seagama dengan mereka?

Umno patut belajar daripada pendirian bersama yang diambil oleh beberapa badan bukan kerajaan wanita, termasuk WDC, Awam, dan kaum wanita Dewan Perhimpunan Cina Selangor , Jemaah Islah Malaysia (Jim), PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dengan tegas menentang perbuatan tahanan wanita dibogelkan dan dipaksa ketuk ketampi dalam lokap polis, tidak kira yang terbabit itu keturunan Melayu, Cina ataupun India.

Dalam menangani kes terbabit, dwi-standard yang diperlihatkan oleh kerajaan BN terlalu menonjol. Apakah logiknya seandainya wanita terbabit warga China, maka kita akan pergi ke China memohon maaf dan apabila wanita terbabit disahkan sebagai warga Malaysia yang berketurunan Melayu, maka perbuatan polis itu dianggap tidak bersalah?

Bukankah wanita negara kita juga bermaruah?