Selepas membaca rencana Ahmad Lutfi Othman "IFC: Jangan dijolok sarang tebuan" (Forum Harakah, 17 Mei, 06), Lutfi yang saya kenali sebagai individu yang begitu gigih memperjuangkan hak kebebasan bersuara, rasanya telah terpesong daripada pendiriannya.
Tidak dapat dinafikan bahawa bantahan Badan Bertindak Anti-IFC (Badai) telah mengakibatkan forum terbuka anjuran Kumpulan Artikel 11 dan Aliran yang bertajuk "Federal Constitution: Protection For All" di Hotel Cititel Pulau Pinang pada 14 Mei yang lalu terpaksa ditamatkan.
Menurut Harris Ibrahim, ahli jawatankuasa penganjur (New Sunday Times, May 21), pada jam 9.40 pagi hari tersebut, beliau dan Rama dari Aliran, telah diberitahu OCPD tentang percubaan pembantah merempuh sekatan polis untuk memporak-perandakan forum terbabit.
Mereka dinasihatkan agar menghentikan forum terbabit kerana pihak polis mungkin tidak dapat menjamin keselamatan peserta forum. Pihak polis telah memberi masa 15 hingga 30 minit untuk pihak penganjur menghentikan forum terbabit.
