Most Read
Most Commented
Read more like this

Selepas berlaku perdebatan hangat mengenai sistem meritokrasi seperti dilaporkan oleh media arus perdana, nampaknya sebahagian besar rakyat masih kabur mengenai definisi sistem sebenarnya dasar yang dicadangkan oleh Dr Mahathir.

Dasar kemasukan pelajar Bumiputera ke IPTA berdasarkan merit itu difahamkan sebagai berikut: Pertama, sistem itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Kedua, ia tidak kena-mengena dengan sistem kuota yang sedia ada. Dan ketiga , bilangan pelajar IPTA Melayu tidak akan berkurangan apabila sistem meritokrasi acuan Dr Mahathir dilaksanakan kelak.

Seperti yang diumumkan oleh Dr Mahathir sendiri, sistem meritokrasi ini akan dilaksanakan pada semester tahun depan, maka sudah tentu Perdana Menteri sudah tahu apa yang dimaksud 'akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat'.

Dengan perkataan lain, beliau harus memberitahu orang ramai mengenai isi kandungan jadual dan proses sistem yang akan dilaksanakan itu dari peringkat permulaan hingga ke peringkat terakhir secara konkrit.

Umpamanya pada peringkat permulaan, jurusan apakah yang akan terbabit? Dan pada peringkat terakhir, adakah ia satu bentuk meritokrasi antara persaingan di kalangan pelajar Melayu saja di bawah perlindungan sistem kuota?

Ahli Lembaga Pengarah UiTM dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Wira Abdul Rahmam Arshad berkata, sehingga kini beliau masih kabur mengenai pelaksanaan sistem itu. Beliau dipetik sebagai berkata: "Saya tidak tahu apa asasnya, apa yang dipertimbangkan, dan bagaimana pelajar hendak masuk universiti". Jika tokoh pendidikan seperti beliau juga masih 'kabur', orang ramai tidak akan keliru?

Bagaimanapun, beliau lega dengan jaminan Menteri Pendidikan , Tan Sri Musa Mohammad bahawa sebarang kaedah yang akan dilaksanakan di bawah sistem itu mulai tahun depan, tidak akan menurunkan bilangan pelajar Bumiputera di universiti, atau menjejaskan sistem kuota yang sedia ada.

Sistem kuota

Namun, bukankah justeru kerana terlalu bergantung kepada sistem kuota, maka pelajar Melayu berasa lega dan selesa sehingga kehilangan daya saing bagi mencapai tahap kecemerlangan akademik dan bidang-bidang lain? Andainya sistem kuota tidak langsung disentuh, adakah ia dianggap meritokrasi ?

Jika sistem meritrokasi acuan Dr Mahathir itu merupakan satu bentuk persaingan antara golongan Melayu saja, maka sebenarnya ia sudah lama dilaksanakan di IPTA tempatan. Pendapat ini juga turut disuarakan oleh tokoh pendidik Melayu, bekas Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Diraja Ungku Aziz.

Menurut beliau, ia merupakan sistem ranking yang berdasarkan kepada prestasi peperiksaan SPM dan STPM. Setelah senarai ranking pelajar Melayu disiapsediakan oleh Unit Pusat Universiti (UPU), senarai nama itu akan diagihkan kepada universiti-universiti berkenaan berdasarkan kuota yang ditetapkan.

Sebagai contoh, Fakulti Perubatan memperuntuhkan 65 orang pelajar Melayu, maka UPU akan memberikan senarai nama 65 pelajar Melayu yang cemerlang kepada pihak universiti. Ungku Aziz berkata: "Kalau sistem ini dikatakan bukan berasaskan merit, saya tidak tahu apa lagi yang perlu ditambah!"

Di samping itu, pelajar Melayu yang mempunyai kelayakan minimum berpeluang memasuki IPTA, walaupun kelayakan akedemiknya lebih sederhana dibandingkan dengan kelayakan dikenakan oleh pelajar bukan Melayu.

Misalnya, untuk memasuki Fakulti Undang-undang IPTA tempatan satu ketika dulu, kelayakan bagi pelajar Melayu ialah pengumpulan mata 56 dalam STPM, sementara bagi bukan Melayu kelayakannya ialah 70 mata. Ini bermakna di bawah sistem kuota, pelajar Melayu tidak pernah terdedah kepada persaingan dengan pelajar bukan Melayu.

Sebaliknya jika, dengan pelaksanaan sistem meritokrasi itu, kelayakan minimum kemasukan IPTA untuk pelajar Melayu akan ditingkatkan atau kelulusan akan diperketatkan untuk memelihara pencapaian akademik yang lebih memuaskan, ada kemungkinan bilangan pelajar Melayu akan menurun sebagai bayarannya.

Bilangan menurun

Apa yang pasti, Menteri Pendidikan memberi jaminan bilangan pelajar Melayu tidak akan menurun.

Selanjutnya, ramai tokoh pendidikan Melayu berpendapat belum tiba masanya untuk pelajar Melayu kepada berpersaing selagi "padang permainan yang sama rata" bagi semua kaum masih belum wujud. Ia merangkumi pelbagai kemudahan sekolah, bilangan tenaga guru dan fasilitas pembelajaran dan kaedah mengajar.

Ia mungkin benar pada aspek-aspek yang tertentu tetapi tidak secara mutlak.; faktor itu juga wujud antara sekolah-sekolah Cina di luar bandar dan di bandar, demikian juga halnya dengan sekolah-sekolah Tamil yang serba kekurangan.

Kekurangan tenaga guru yang masih menjadi masalah besar sejak berpuluh-puluh tahun lagi wujud di semua sekolah Cina maupun Tamil. Di pihak yang lain, peruntukan wang untuk SRJK(C) dan SRJK(T) juga masih berkurangan. Sedangkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disediakan hanya untuk pelajar Melayu.

Di samping itu, beberapa kelebihan bagi pelajar Melayu juga harus diambilkira. Umpamanya kaum Melayu merupakan kaum majoriti yang dominan dan pelajar Melayu mempunyai bilangan yang terbesar sekali berbanding dengan bilangan pelajar bukan Melayu, iaitu pelajar Melayu di SK dan SMK berjumlah 4,064,835 orang berbanding dengan 609,673 orang Cina dan 91,085 orang India di sekolah menengah.

Bahasa Kebangsaan

Kelemahan pelajar Melayu dalam Bahasa Inggeris selalu ditekankan, sungguhpun sekolah-sekolah Cina dan Tamil terutamanya di desa juga menghadapi masalah yang sama. Akan tetapi kecekapan mereka dalam bahasa Melayu berbanding pelajar bukan Melayu tidak diambilkira.

Bagi pelajar bukan Melayu, Bahasa Kebangsaan yang bukan bahasa ibunda mereka, terpaksa menghadapi rintangan yang bukan mudah diatasi sejak Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar di sekolah menengah dan universiti.

Bayangkan jika pelajar Melayu diharuskan menggunakan bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah dan universiti, tentu mereka menghadapi rintangan yang sama.

Dan aneh sekali, kenapa tokoh-tokoh pendidikan Melayu yang begitu sensitif sekali terhadap ketidaksamarataan padang permainan antara sekolah kebangsaan dengan sekolah Cina itu , langsung tidak menyedari wujudnya ketidaksamarataan padang permainan antara sekolah-sekolah Kebangsaan desa dengan sekolah-sekolah kebangsaaan bandar, antara SBP dengan sekolah biasa, antara mereka yang berpeluang memasuki MRSM dengan mereka yang tidak berpeluang memasuki MRSM?

Bukankah meritokrasi antara pelajar Melayu sama pelajar Melayu juga tidak adil dan akan merugikan pelajar dari sekolah-sekolah desa dan pelajar yang tidak mendapat layanan istimewa seperti mereka yang memasuki SBP dan MRSM?

Dari huraian-huraian tersebut, terbuktilah padang permainan yang tidak sama rata padahal wujud dalam semua jenis sekolah, bukan gejala yang khusus bagi sekolah kebangsaan sahaja. Adalah tidak logik dan rasional jika teori padang permainan yang tidak sama rata itu digeneralisasikan secara mutlak, sehingga semua sekolah kebangsaan diumpamakan sebagai pasukan bolasepak negara, dan sekolah Cina sebaliknya diumpamakan sebagai pasukan Manchester, oleh itu, sudah tertakdir gagal jika pelajar Melayu dikehendaki bersaing dengan pelajar Cina.

Beberapa kelemahan

Oleh itu, sistem kuota atau sistem meritokrasi kedua-duanya juga bukan merupakan sistem pendidikan yang adil dan seimbang. Sistem pendidikan yang lebih ideal ialah tindakan afirmatif yang mengambilkira kedua-dua aspek yang sama-sama penting, iaitu kecemerlangan dan keperluan (merit and need) tanpa mengira kaum. Keperluan membabitkan kedudukan sosial-ekonomi pelajar yang mungkin mempengaruhi prestasi dan pencapaian akedemik pelajar, tetapi tidak kena-mengena dengan warna kulit pelajar yang berkenaan.

Tidak dapat dinafikan pelajar Melayu mempunyai beberapa kelemahan, tetapi bukan semua kelemahan itu merupakan ciri istimewa pelajar Melayu. Umpamanya banyak juga pelajar Cina dan India yang lemah pencapaian akedemik sehingga tercicir pada peringkat SRP atau SPM.

Yang lebih penting ialah masalah pendidikan negara kita, termasuk kelemahan pelajar Melayu, bukan terhad kepada masalah kecemerlangan akademik sahaja. Dalam aspek ini, nasihat Ungku Aziz perlu dipandang berat: "Masalah kompleks pelajar Melayu tidak boleh diubati hanya dengan sebiji Panadol".

Nampaknya, Panadol sistem meritokrasi acuan Dr Mahathir mustahil dapat mengubati masalah pelajar Melayu khasnya dan sistem pendidikan negara kita amnya!

ADS