Tiba-tiba orang ramai dikejutkan sekali lagi oleh isu bahasa. Ramai yang hairan dan ada
yang tersenyum sinis apabila isu ini muncul kembali. Hairan dan sinis adalah dua sifat
manusia apabila berhadapan dengan fenomena yang tidak masuk akal.
Mereka hairan kerana kerajaan (baca: Umno) mengambil masa 12 tahun untuk menyedari bahawa
pengucapan baku tidak mempunyai apa-apa makna terhadap perkembangan bahasa dan kebudayaan
Melayu. Dua belas tahun merupakan jangka masa yang lama. Pokok getah telah boleh ditoreh
untuk mendapatkan hasil yang baik. Kalau menanam durian D24, pasti ia telah berbuah lima
musim. Kalau pasukan "Malaysia Boleh" yang berkhemah di Princess Hill mula
merangkak, pasti mereka telah sampai ke kutub selatan!
Ada kumpulan yang memandang sinis arahan terakhir kabinet mengenai pengucapan baku kerana
agenda ini diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada hari ini, nama Anwar bukan
lagi satu fesyen yang chic dan trendy, maka apa saja yang diperkenalkan oleh
beliau pada satu ketika dahulu akan dilihat sebagai politik songsang. Dengan melahirkan
sikap sinis, masyarakat umum membaca tujuan tersirat daripada arahan ini - permulaan
langkah-langkah untuk mengikis imej atau ingatan kolektif orang ramai terhadap Anwar.
Kedua-dua sikap di atas tadi tergelincir jauh daripada agenda induk. Pengucapan baku ini
bukanlah satu isu bahasa yang asasi atau induk. Pengucapan dalam apa saja bahasa, untuk
bangsa siapa pun tidak pernah sama. Di Tiongkok, rakyat boleh membaca Mandarin tetapi di
antara bahagian utara dengan selatan China, ada puluhan cara pengucapan bahasa utama Cina
ini. Di Britain, penduduk Scotland, Wales, England Utara atau penduduk kota London
mempunyai cara pengucapan Bahasa Inggeris mereka tersendiri. Cara pertuturan orang Arab
Levantine (di Syria, Palestin dan Lebanon) dengan Arab Teluk amat jauh berbeza walaupun
mereka menggunakan bahasa Arab. Justeru, pengucapan adalah isu sampingan dan bukanlah satu
isu asasi.
Anwar mempopularkan agenda bahasa pada tahun 1971 melalui PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu
Universiti Malaya). Isu bahasa menjadi penting dalam agenda gerakan pelajar pasca 1969.
Ramai pemimpin pelajar pasca 1969 mengambil isu bahasa sebagai lantai loncatan untuk
memaparkan keterampilan kepimpinan dirinya di kalangan pelajar dan masyarakat Melayu.
Setelah menyertai Umno dan kerajaan, Anwar sedar orang ramai menunggu langkah beliau
vis a vis agenda bahasa. Semasa bersama parti itu, Anwar berhadapan dengan satu
struktur ekonomi dan politik yang melihat agenda bahasa hanya sebagai umpan retorik untuk
berkempen kepada orang Melayu kampung.
Sebagai langkah politik untuk mententeramkan dan meyakinkan penyokongnya bahawa agenda
bahasa akan terus diperjuangkannya, Anwar memperkenalkan pengucapan baku. Memperkenalkan
pengucapan ini memusatkan pandangan orang ramai bahawa sesuatu yang positif telah
dilakukan oleh beliau dalam bidang bahasa. Walhal, pada hakikatnya - tetapi dilupakan dan
tidak dibangkitkan - penggunaan Bahasa Malaysia yang rasmi semakin merosot. Hanya
jabatan-jabatan kerajaan yang menggunakan Bahasa Malaysia. Pihak swasta langsung tidak
mempedulikan agenda bahasa. Di IPT swasta, agenda bahasa tidak lagi ditimbulkan.
Hujah ini dapat dibuktikan dengan kukuh apabila kita mendengar rancangan radio atau
menonton televisyen. Radio dan televisyen kita bukannya memperluaskan pengucapan baku
tetapi memperkenalkan pengucapan campur aduk. Semua ini hasil dasar bahasa kebangsaan yang
sedang berjalan di negara kita.
Justeru menimbulkan isu pemansuhan pengucapan baku memberi makna yang sama dengan
memperkenalkannya 12 tahun dahulu. Kedua-duanya adalah langkah politik murahan untuk
mengalihkan pandangan orang ramai daripada agenda bahasa yang induk lagi asasi iaitu
penerapan dan pengunaan Bahasa Malaysia di semua bidang kehidupan. Menerapkan penggunaan
Bahasa Malaysia yang betul merupakan isu asasi, bukannya cara mengucapkannya.
Hingga ke hari ini, masih belum wujud satu tenaga politik yang padu, baik daripada
golongan nasionalis bahasa mahupun daripada pencinta bahasa yang berpayung di Dewan Bahasa
Pustaka atau sarjana bahasa yang berteduh di universiti-universiti. Kumpulan-kumpulan ini
tidak lagi mempunyai tenaga batin untuk menegakkan agenda Bahasa Malaysia. Mereka
sebenarnya tidak mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan modal. Mereka tidak dapat
menundukkan keghairahan terhadap modal yang lebih kuat pengaruhnya daripada sentimen
kecintaan terhadap bahasa.
Harus diakui bahawa bahasa pengucapan modal ialah keuntungan maksima. Modal dan pemodal
bergerak bebas daripada sentimen cinta bahasa. Justeru modal dan pemodal melihat bahasa
Inggeris lebih menjanjikan keuntungan. Maka bahasa Inggerislah yang mereka nobatkan.
Selagi politik negara ini berpedomankan keuntungan, selagi itulah modal dan pemodal akan
mengariskan pengucapan bahasa dan pembudayaan negara.
Jadi cakap-cakap mengenai pengucapan baku ini adalah cakap-cakap kosong seperti
cakap-cakap seekor biawak yang bercita-cita untuk membakar sebuah jambatan. Orang ramai
wajib dibawa kembali kepada agenda asasi iaitu penerapan pengunaan bahasa kebangsaan di
semua bidang - awam dan swasta.
PROPERTY