|
| Jangan jadikan Aidilfitri tragedi berdarah |
| Amin Iskandar | Oct 10, 07 7:07am |
Hari pertama Ops Sikap XIII yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Aidilfitri tahun ini - 20 orang telah terkorban. Angka kematian ini tinggi sedikit dari korban tahun lalu seramai 18 orang.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman SAC II Hamza Taib berkata 5,190 pegawai dan anggota polis, termasuk 4,608 dari cawangan trafik dan selebihnya dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), terbabit dalam Ops Sikap kali ini.
Hairan bin ajaib tapi itulah kenyataannya. Semakin ketat operasi dan kawalan dilakukan oleh PDRM untuk memastikan kemalangan di musim perayaan berkurangan, semakin tinggi pula jumlah kemalangan yang berlaku.
Semenjak zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi PM sehinggalah Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kuasa, masalah kemalangan maut di musim perayaan masih belum dapat diselesaikan, malahan kelihatan semakin teruk dan membimbangkan.
Sambutan Aidilfitri yang seharusnya dirayakan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran, seringkali bertukar menjadi tragedi menyayat hati yang akan ditangisi sehingga ke akhir hayat.
|
|