Selesai sudah penamaan calon. Tempoh sah berkempen sudah bermula. Kali ini tempoh berkempen diberi selama 13 hari, lebih panjang daripada pilihanraya umum 2004 selama lapan hari.
Menurut kebanyakan penganalisis politik kedai kopi, tempoh kempen ditetapkan selama 13 kerana Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi gemarkan angka 13.
Angka 13 dikatakan nombor bertuah PM. Sebab itulah, Parlimen dibubarkan pada 13 Februari. Selain itu, PM menggunakan nombor pendaftaran kereta WCU 13. Nombor pendaftaran kereta tersebut dikatakan dibeli dengan harga RM80,000 oleh Patrick Lim dan dihadiahkan kepada PM. Sejauhmana kebenaran dakwaan tersebut, tidaklah dapat dipastikan.
Proses penamaan calon kali ini berlangsung dengan meriah, terutama di beberapa kawasan “panas” dan yang ditandingi selebriti-selebriti politik, baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang.
Dalam pilihanraya kali ini, kita dapat menyaksikan banyak muka baru bertanding. Tidak ketinggalan juga muka-muka yang telah terlalu lama bertanding. Bayangkanlah, ada seorang ahli Parlimen yang juga seorang enteri mula bertanding di kawasannya semenjak tahun 1974.
Lebih menarik lagi ialah apabila kebanyakan muka baru yang bertanding adalah anak, isteri dan menantu kepada pemimpin-pemimpin politik yang masih lagi aktif ataupun yang sudah bersara.
Anak kepada Dr Mahathir, Mukhriz bertanding di Parlimen Jerlun, Kedah. Nurul Izzah, anak perempuan Anwar Ibrahim mencabar Shahrizat Jalil di Lembah Pantai manakala isterinya, Dr Wan Azizah akan mempertahankan parlimen Permatang Pauh yang disandangnya semenjak tahun 1999.
Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan yang telah menggemparkan negara dengan skandal seksnya pada pembukaan tahun baru 2008, turut mengiringi anaknya, Chua Tee Yong, untuk mengantikannya bertanding di Parlimen Labis.
Lim Kit Siang yang merupakan seorang ahli politik veteran pembangkang meluaskan pengaruhnya ke tiga negeri sekaligus iaitu Perak, Pulau Pinang dan Melaka. Beliau akan terus bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timur manakala anaknya Lim Guan Eng di parlimen Bagan dan menantunya Betty Chew di DUN Kota Laksamana.
Pertembungan di Rembau
Abdullah Badawi tidak ketinggalan untuk membawa ahli keluarganya ke dalam arena politik apabila menantunya, Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen Rembau.
Oleh kerana masa yang terhad, saya memilih untuk menyaksikan proses penamaan calon di kerusi Parlimen Rembau.
Calon pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Bad adalah nama yang tidak asing lagi dalam politik pembangkang. Bekas guru ini terkenal kerana pembabitan aktifnya dalam siri-siri demonstrasi seperti menentang kenaikan harga barang dan menuntut pilihanraya yang adil.
Calon parti pemerintah, Khairy Jamaluddin yang juga menantu perdana menteri terkenal selepas Abdullah mengambilalih jawatan PM daripada Dr Mahathir. Beliau dikatakan seorang pemuda paling berkuasa di Malaysia oleh kerana pengaruh bapa mertuanya sebagai PM.
Penamaan Calon di Rembau berjalan dengan meriah. Tambahan lagi, selain daripada Cikgu Bad dan menantu PM, Mohammad Hassan yang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum pembubaran Parlimen dan DUN, turut bersama dalam penamaan calon tersebut. Mohammad bertanding DUN Rantau dalam Parlimen Rembau.
Pada awal pagi, sebelum bermulanya penamaan calon, dua buah kapal terbang kecil yang membawa bendera Umno dan BN berlegar-legar di udara dengan penuh megah. Entah berapa kos menyewa dua kapal terbang kecil ini tidak pula diketahui.
Saya sempat bersarapan di sebuah kedai kopi yang dipenuhi penyokong BN dan parti pembangkang. Yang menariknya, suasana sarapan pagi berjalan dengan penuh harmoni tanpa sebarang masalah. Cuma pembuat roti canai yang tidak cukup tangan kerana terlalu banyak pesanan!
Di Dewan Merdeka Rembau, tempat penamaan calon berlangsung, penyokong kedua-dua belah pihak memeriahkan suasana. Slogan demi slogan dilaung berterusan selama lebih tiga jam. Panas matahari sedikitpun tidak melunturkan semangat mereka. Pihak polis yang lengkap dengan gas pemedih mata, ditugaskan untuk mengawal lokasi penamaan calon untuk memastikan keamananan.
Wartawan-wartawan dari dalam dan luar negara tidak ketinggalan hadir untuk membuat liputan di Parlimen Rembau. Slogan-slogan yang dijeritkan oleh penyokong-penyokong calon yang bertanding menghiburkan hati mereka.
Pesta demokrasi
Beberapa bantahan dibuat oleh calon pembangkang terhadap calon parti pemerintah. Namun semua bantahan ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Pilihanraya umum 8 Mac depan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Parlimen Rembau dan semua kerusi DUN di bawahnya.
Selepas pegawai SPR mengumumkan pengesahan pertandingan bagi Parlimen Rembau dan DUN di bawahnya, penyokong kedua-dua belah pihak beredar dengan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Terbukti rakyat Malaysia semakin matang berpolitik. Dakwaaan bahawa demokrasi tulen tidak sesuai untuk rakyat Malaysia adalah tidak berasas sama sekali.
Rakyat Malaysia yang dinafikan hak untuk berhimpun secara aman, tidak melepaskan peluang untuk merayakan pesta demokrasi yang disambut lima tahun sekali. Senyuman, gelak ketawa dan keceriaan terlihat di wajah hadirin yang bersama dalam proses penamaan calon, tidak kira penyokong parti pemerintah mahupun parti pembangkang.
Bila bercakap soal pilihanraya, sudah pasti ramai yang mempunyai harapan besar. Mereka yang tertekan dalam kehidupan di bawah pemerintahan BN, berharap majoriti kerusi BN di Parlimen dapat dikurangkan agar suara pembangkang menjadi lebih lantang. Manakala yang selesa dengan pemerintahan BN pula berharap agar pencapaiannya bertambah lebih baik dari tahun 2004.
Tidak salah untuk berharap tetapi harapan janganlah diletakkan terlalu tinggi. Ini kerana harapan yang terlalu tinggi, jika gagal dicapai, akan meninggalkan kesan yang mendalam. Sebaik-baiknya hadapilah pilihanraya ini dengan penuh kegembiraan.
Walaupun ketelusan, kebersihan dan keadilannya masih boleh dipertikaikan, tetapi tidak salah untuk memanfaatkan peluang dan ruang yang ada. Walaupun terlalu singkat, ianya lebih baik daripada tiada. Gunakanlah waktu yang singkat ini sebaik-baiknya.
Kepada yang sering menjadi mangsa penipuan pilihanraya, ini adalah waktunya untuk mencari sebanyak mungkin penipuan dan kecurangan pilihanraya. Persiapkan kamera dan kamera video agar penipuan pilihanraya dapat dirakamkan dalam bentuk gambar dan video.
Rayakanlah pilihanraya ini dengan penuh kegembiraan walaupun kita tahu banyak “hantu raya” yang akan terpilih untuk masuk ke Parlimen dan DUN.
