Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Secara umum, Sinister 2 adalah kisah seram yang mendedahkan kaedah pembunuhan menyelubungi karakter momok ( bogeyman ) bagi menghasilkan mitologi lebih baik, kaya dan padat dari jujukan pertama.

Jika tidak pernah menonton Sinister pertama (2012), pasti sekuel ini membuat anda termangu-mangu kerana plotnya saling berkaitan.

Ia menggabungkan watak bekas timbalan syerif dengan gelaran “So & So” (James Ransone) sebagai watak utama dari Sinister asal untuk menguatkan naratif pada sekuel ini.

Sinister 2 diarah oleh Ciaran Foy dan skrip ditulis Scott Derrickson dengan kerjasama C Robert Cargill.

Penceritaan Sinister 2 bermula selepas detik kematian keluarga Ellison Oswalt - yang juga rakan So & So - apabila anggota keselamatan itu terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawabnya memusnahkan rumah kosong pernah didiami mangsa dalam kitaran pembunuhan berpunca daripada Bughuul.

Namun usaha So & So terhalang apabila rumah yang disangka kosong itu rupa-rupaya didiami secara senyap oleh seorang wanita, Courtney Collins (Shannyn Sloan) bersama dua anak lelakinya yang masih kecil Dylan Collins (Robert Daniel Sloan) dan Zach Collins (Dartanian Nikolai Sloan).

Lebih seram daripada asal

Courtney dan anak kembarnya itu melarikan diri dari suami, Clint Collins (Lea Coco) yang terkenal kerana kaya dan berpengaruh tetapi baran, malah kuat mendera.

Ketika pendekatan naratif Sinister 2 dilihat cuba merungkai fenomena Bughuul lebih mendalam, maka terhasillah kisah seram yang lebih menggerunkan berbanding Sinister asal, khususnya membabitkan babak yang memaparkan adegan snuff film.

Bagaimanapun, Sinister 2 kurang menonjolkan unsur saspens malah kurang seram berbanding filem pertama, kerana kali ini Bughuul dan kanak-kanak yang pernah menjadi mangsanya lebih banyak menjelma pada waktu siang.

Namun, Foy dengan bantuan sinematografer Amy Vincent ada memaparkan beberapa visual menakutkan dan berkesan pada waktu malam, terutama di tempat seperti gereja tinggal (satu daripada tapak pembunuhan) dan tingkat bawah tanah rumah.

Plot dalam Sinister 2 juga tidak terjalin baik untuk memberi impak kepada filem ini apabila pengarah dilihat gagal memberi penekanan secukupnya kepada dua isu utama filem ini iaitu usaha So & So memusnahkan rangkaian tempat pembunuhan Bughuul dan perang psikologi antara adik-beradik Collins.

Hasilnya semua watak dilihat gagal dikembangkan dengan baik dan kurang diberi penekanan.

Penyelamat serba boleh

Selain itu, babak penderaan ke atas Courtney dan kedua anaknya juga boleh dikembangkan lagi.

Pada karakter Sinister 2 , watak So & So diangkat sebagai penyelamat. Ia amat berbeza berbanding wataknya pada kisah terdahulu yang begitu kecil – timbalan syerif.

Watak So &So kali ini banyak memfokuskan pada kajian dan penyelidikannya terhadap motif pembunuhan Bughuul selain 'penyelamat' yang serba boleh.

Courtney pula - selain ibu yang cuba membesarkan anak tanpa bantuan suami - juga dilihat pandai mendidik anak biarpun melakukan tugas itu seorang diri. Namun, watak itu tersepit di antara wanita yang mahu kebebasan dan sifat pendera suaminya.

Namun kemuncak cerita ini ada di penghujung filem apabila berlaku penamat yang diluar jangkaan.

Lihat Komen
ADS