Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon, kru pencetus idea AADC 2
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 6:22 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Biarpun sudah lebih sedekad kisah cinta Rangga dan Cinta ditamatkan di layar perak, penerbit filem itu, Mira Lesmana, yakin aura romantika mereka masih belum pudar.

Sejujurnya, akui Mira, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menggarap sekuel Ada Apa Dengan Cinta (AADC) walaupun filem itu mendapat sambutan hangat daripada penonton ketika ia ditayangkan pada 2002.

Kemudian pada 2012, kata Mira ( gambar ), pelakon dan kru produksi AADC mengadakan pertemuan dan sempena itu, filem berkenaan ditayangkan selama seminggu di Blok M, Jakarta.

"Saya tak menyangka reunion (pertemuan semula) dan tayangan semula filem kami masih berupaya mendapat sambutan hangat peminat," katanya kepada media tempatan hari ini.

Bagi Mira, 51, ia satu kenyataan cukup jelas bahawa peminat masih setia dan menyukai lakonan mantap Dian Sastowardoyo - Nicholas Saputra.

Dalam AADC, Dian membawa watak Cinta yang dipertemukan dengan Rangga (Nicolas) oleh suatu kebetulan - minat bersama terhadap puisi.

Lebih lima juta kali

Bermula sebagai rakan biasa, hubungan Cinta dan Rangga kemudian berubah menjadi romantik.

Selain itu, filem berkenaan turut menyelitkan kisah yang berlaku di sepanjang persekolahan membabitkan beberapa rakan dan teman rapat Cinta.

Kata Mira, hasil pertemuan semula kru dan pelakon AADC, mereka melihat bahawa cerita menarik mengenai kehidupan Rangga dan Cinta selepas 12 tahun perlu dibuat.

“Pada penghujung 2014, kami sepakat untuk menghasilkan Ada Apa dengan Cinta 2,” katanya.

Tahun lalu "AADC 2" muncul seketika apabila sebuah aplikasi komunikasi, Line, menerbitkan klip ringkas memaparkan watak dalam filem berkenaan, termasuk Rangga dan Cinta.

Line ketika itu mahu mempromosikan produk terbaru mereka, Find Alumni.

Filem berdurasi 10 minit yang dimuatnaik di YouTube itu ditonton hingga lebih lima juta orang.

Respon begitu tinggi daripada peminat turut membakar semangat kakitangan produksi filem berkenaan untuk menghasilkan sekuel AADC.

AADC 2 sekali lagi akan diarah oleh Riri Riza dan penggambaran dijadual bermula sekitar Oktober ini.

Lihat Komen
ADS