Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak enam filem yang dipertandingkan di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 boleh dipertikaikan ekoran isu pelanggaran syarat ditetapkan mengikut pematuhan peraturan Padu Citra dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Negara (Finas).

Menurut sumber, berdasarkan semakan ada sekurang-kurangnya enam kategori terdedah kepada pelanggaran itu jika senarai finalis FFM ke-27 ini diteruskan.

Kategori yang berdepan masalah adalah pengarah terbaik, pengarah harapan, cerita asal terbaik, lakon layar terbaik, penyunting terbaik, filem bukan dalam bahasa Melayu terbaik.

Pencalonan terbabit dilaporkan menyenaraikan nama pengarah yang tidak berdaftar sama ada dengan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), atau Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Surat tak menjawab

FFM ke-27 sudah berlangsung tetapi kemuncaknya diadakan pada 5 September ini mempertaruhkan lebih 25 kategori.

Senarai lima filem teratas yang diumumkan bertanding dalam FFM kali ini terdiri daripada Amir & Loqman Pergi Ke Laut (Astro Shaw Sdn Bhd), Dollah Superstar (Filmscape Sdn Bhd) Lelaki Harapan Dunia (Everythings Film Sdn Bhd), Manisnya Cinta Di Cappadocia (Astro Shaw Sdn Bhd, Global Station Sdn Bhd &Red Film Sdn Bhd) dan Terbaik Dari Langit (Astro Shaw & Playground Production).

Paling banyak mendominasi festival tahun ini ialah filem Lelaki Harapan Dunia apabila ia mencatatkan 13 pencalonan.

Malaysiakini sebelum ini menyiarkan laporan mengenai keraguan FDAM terhadap kesahihan perjalanan FFM ke-27.

Hal itu tercetus apabila FDAM mengesyaki wujudnya unsur penipuan dalam pencalonan yang boleh menyebabkan penyertaan dalam Festival Filem Malaysia ke-27 dibatalkan.

FDAM berkata, ada kemungkinan calon terbabit menggunakan nama orang lain yang berdaftar dengan persatuan untuk membolehkan mereka dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia ke-27.

Sementara itu, Finas sewaktu dihubungi Malaysiakini semalam menyatakan mereka sudah memberi maklum balas kepada FDAM mengenai perkara berkenaan dalam suratnya yang bertarikh 21 Ogos.

Bagaimanapun, FDAM mendakwa maklum balas daripada Finas gagal menjawab persoalan yang diajukan.

Lihat Komen
ADS