Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tonton Polis Evo sambil beramal esok
Diterbitkan:  Oct 3, 2015 3:23 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Esok, orang ramai dipelawa menyertai program tayangan amal yang diadakan untuk membantu keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik di Shah Alam.

Selain menderma, mereka berpeluang menonton filem 'terhangat' ketika ini, iaitu Polis Evo pada jam 9 malam di Space U8, Shah Alam.

Sebelum ini tayangan amal berkenaan dirancang diadakan di Bukit Raja, Kelang.

Harun adalah salah seorang pelakon yang menjayakan filem arahan Ghaz Abu Bakar itu.

Setakat ini filem berkenaan dilaporkan sudah mengumpul lebih RM8 juta sejak ditayangkan kurang dari dua minggu lalu.

Pernah menang anugerah

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata selain membantu waris Harun, program santai itu turut diadakan untuk menjadi pentas kepada mereka berkongsi karya terakhir artis serba boleh itu dengan anak muda yang 'kaki panggung'.

Artis pelbagai bakat yang memiliki nama sebenar Haron Aminar Rashid Salim itu mula dikenali ramai melalui drama bersiri Rumah Kedai yang disiarkan selama beberapa musim sepanjang Ramadan pada awal 1990-an.

Pada 2001 Harun memenangi Anugerah Skrin 2001 dalam kategori pelakon lelaki terbaik melalui drama Hangatnya Salju Dinginnya Bara.

Pemuda AMANAH sebelum ini pernah menganjurkan konsert amal untuk mengumpul derma bagi membantu pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad.

Semasa hayatnya, Harun pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Shazni berkata, Polis Evo adalah lakonan terakhir Harun sebelum meninggal dunia akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 8 Mac lalu.

"Rakan media, peminat Harun serta anak muda dijemput bersama-sama dalam tayangan amal tersebut," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi pengarah program, Muriza Hazrul 014 - 605 8697.

Lihat Komen
ADS