Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dugaan hidup jadikan Salman pelakon lebih baik
Diterbitkan:  Oct 3, 2015 3:51 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Pelakon Bollywood Salman Khan tidak menyangkal kehidupannya sering berhadapan dengan saat kesukaran, namun ia tidak pernah mematah semangatnya untuk mengubah hidup dan kerjayanya menjadi lebih baik.

Bintang pujaan India itu kini sedang giat mempromosi filem terbarunya, Prem Ratan Dhan Payo arahan Sooraj Barjatiy.

Salman sendiri membawa dua watak dalam filem berkenaan.

“Saya selalu terpaksa mengharungi waktu sukar, tetapi ia tidak bermakna akan menjejeskan prestasi saya,” kata Salman.

Dia ditemui media ketika majlis pelancaran filem Prem Ratan Dhan Payo di India.

Salman menjelaskan, pelbagai dugaan hidup tidak pernah mempengaruhi hidupnya untuk berasa gagal, sebaliknya menjadikan dia pelakon lebih baik.

“Selepas saya melalui saat sukar dalam hidup, hasil lakonan saya kian meningkat.

“Jadi anda harus ingat perkara itu. Jangan biarkan kepincangan dalam hidup saya menjejaskan filem ini kerana kami bekerja keras untuknya walaupun melalui kepayahan,” katanya.

Hidup mesti terus

Salman dijatuhi hukuman penjara lima tahun sebelum ini kerana terlibat dalam kemalangan maut.

Insiden itu mengakibatkan satu kematian dan empat yang lain cedera dalam kes langgar lari - pada 28 September 2002 - di Bandra.

Namun, pelaksanaan hukuman berkenaan ditangguhkan dan dia dibenar diikat jamin.

Sebelum ini Salman muncul dalam filem Bajrangi Bhaijaan arahan Kabir Khan dan ia menjadi satu antara filem paling laris di India.

“Saya masih melalui dugaan hidup dan akan meneruskannya kerana ia sebahagian daripada karma,” katanya.

Prem Ratan Dhan Payo turut dibarisi pelakon Sonam Kapoor, Anupam Kher, Swara Bhaskar and Neil Nitin Mukesh. Ia akan ditayangkan 12 November ini.

Lihat Komen
ADS