Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Duda tunjuk kemaluan di rumah Siti dipenjara
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 6:11 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Seorang duda anak dua yang disabitkan kesalahan menunjukkan kemaluannya di kediaman Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, didenda RM5,000 atau penjara enam bulan, hari ini.

Amiruddin Sulaiman, 48, didakwa menyebabkan gangguan di kediaman penyanyi berkenaan di Bukit Antarabangsa pada 4 Oktober lalu.

Media melaporkan kejadian bermula apabila Amiruddin muncul di pekarangan rumah Siti Nurhaliza kira-kira jam pukul 5 petang dan cuba untuk memasuki kawasan kediaman berkenaan.

Bagaimanapun tindakan tertuduh dihalang pengawal keselamatan warganegara Indonesia yang hanya dikenali sebagai Alias, 61.

Ekoran kecewa kerana tidak dapat menunaikan ‘hajat’ itu Amiruddin menunjukkan kemaluannya di hadapan pengawal keselamatan terbabit.

Menurut Bernama Amiruddin gagal membayar denda seperti diarahkan majistret Noorfarah Hazwani Osman. Justeru, dia diperintah untuk menjalani hukuman penjara.

Membahayakan keluarga

Amiruddin dipercayai pernah beberapa kali melakukan perbuatan berkenaan di kawasan rumah Siti Nurhaliza sebelum ini.

Peguam Amiruddin, Dony Abdullah dalam hujahnya meminta hukuman diringankan atas alasan pesalah adalah penganggur dan duda beranak dua.

Anak tertuduh masing-masing berusia 19 dan 21 tahun.

Kata Dony, mahkamah perlu mengambil kira sabitan itu adalah kesalahan pertama Amiruddin untuk menjatuhi hukuman.

Amiruddin didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu timbalan pendakwa raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhi hukuman penjara ke atas tertuduh kerana ia menyebabkan risiko keselamatan kepada keluarga Siti Nurhaliza.

Sementara itu Bernama melaporkan Amiruddin didakwa terhadap pertuduhan dengan niat menghina kesopanan pengawal keselamatan rumah penyanyi itu, warga Indonesia bernama Alias, 61, dengan menunjukkan kemaluannya sehingga mengganggu kesantunan mangsa di hadapan rumah milik suami Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohd Jiwa di Bukit Antarabangsa.

Lihat Komen
ADS