Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Resipi bapa 'senjata' hadapi saingan filem aksi

Bagaikan mahu menyambung legasi orang tuanya, pengarah Shamyl Othman mengaku menggunakan 'resipi' bapa bagi berdepan saingan filem aksi yang kebelakangan ini lebih mendapat tempat di hati peminat.

Justeru Shamyl nekad mempertaruhkan filem bergenre komedi tanpa menghiraukan cabaran daripada filem tempatan mahupun antarabangsa yang mempunyai hasil kutipan mencecah box office seperti Polis Evo, Fast & Furious 7, Mission: Impossible - Rogue Nation, dan Terminator Genisys.

“Walaupun sekarang penonton lebih ke arah filem aksi, komedi filem Rembat ditampilkan dengan membawa rentak lain dan tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Mungkin ia satu risiko, tetapi saya mahu melakukannya untuk membuat rakyat Malaysia terhibur,” katanya kepada Malaysiakini .

Rembat adalah filem kedua arahan Shamyl selepas Kami Histeria yang berjaya mendapat pencalonan di Festival Filem Malaysia September lalu.

Tak pernah diarah bapa

Rembat mengisahkan Chin Chye dan Malik yang datang dari latar belakang berbeza serta cita-cita berlainan, namun disatukan oleh minat mendalam terhadap pasukan bola sepak kebangsaan.

Kedua-dua pemuda itu juga mempunyai impian sama - menyaksikan sendiri perlawanan bola sepak antara Harimau Malaya dan Thailand secara langsung di stadium.

Dua watak utama itu dijayakan Shaheizy Sam (Malik) dan Tan Kheng Seong (Chin Chye) serta diperkuatkan lagi oleh Zizan Razak, Zara Zya, Arja Lee, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Biarpun tidak banyak membicarakan soal perfileman dengan bapanya - Othman Hafsham - Shamyl mengakui ada meminta pandangan daripada pengarah terkenal itu secara tidak langsung.

“Saya tidak merancang untuk membikin filem sebegini.

“Apabila bersembang dengan bapa dan melihat komedi yang dihasilkannya, maka lahirlah idea Rembat," kata Shamyl.

Othman, 74, adalah pengarah filem veteran yang sering menampilkan karya bercorak komedi Melayu, antaranya Adik Manja (1980), Mekanik (1983), sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1.

Othman juga pernah menghasilkan filem seram, Rahsia pada 1987.

Menurut Shamyl lagi, beberapa babak dalam Rembat memang diispirasikan oleh komedi bapanya.

“Memang tidak dinafikan saya ada ambil ilham komedi daripada bapa. Ia semacam throwback kepada Mekanik dan sitkom 2+1,” katanya.

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai impian Shamyl menghasilkan karya yang menyentuh mengenai kepentingan persefahaman antara kaum dalam negara.

Menurut Shamyl, dia memang dibesarkan dalam persekitaran yang terdiri daripada kaum berbeza kerana ibunya sendiri berketurunan India walaupun Othman adalah Melayu.

Maka sedikit-sebanyak diri dibesarkan bersama penerapan nilai percampuran budaya.

Namun di sebalik itu Shamyl menegaskan bapanya tidak pernah mengarahkan dia membuat sesuatu ketika menghasilkan filem.

"Ayah saya bukan jenis orang yang mengarahkan saya buat itu ini. Dia tidak pernah melampaui batas dan saya ras bertuah kerana beliau begitu," katanya.

Tahniah @harimaumalaya_fc ! @5afee Malaysia menang󾆶🏽 Rembat pawagam hujung minggu ni #rembatjustduit @grandbrilliance @...

Posted by Rembat - 球发财 on Thursday, October 8, 2015

Lihat Komen
ADS