Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Untuk mara ke peringkat akhir Akademi Fantasia (AF) 2015 bukan mudah, selain memerlukan vokal yang mantap, penerimaan dan persediaan terhadap mental dan diri sendiri juga perlu kuat.

Pada masa sama, keadaan fizikal juga kadang-kadang boleh menimbulkan persepsi salah kepada penonton.

Itulah cabaran diadahapi finalis wanita tunggal AF 2015, Bila, atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi, 19.

Namun biarpun memiliki bentuk badan gempal, Bila tetap berjaya menarik perhatian panel penilai di peringkat separuh akhir dan memasuki senarai empat pelajar terbaik AF tahun ini.

Bila akan berentap dengan tiga laki peserta lelaki - Sufi, Shahrul dan Syamel - di acara kemuncak AF malam esok.

Remaja bersuara lunak - dan seperti kata Datuk Ramli MS, tidak pernah sumbang menyanyi - memang dikenali sebagai anak sulung kepada pemain bass kumpulan Wings, Eddie.

Menceritakan cabaran dihadapi Bila, Eddie memberitahu, pada awalnya dia turut bimbang terhadap penerimaan orang ramai kerana faktor fizikal anaknya itu.

“Saya katakan kepada Bila, nanti orang ramai akan ketawakan adik. Mereka akan kata adik gemuk.

“Tetapi walaupun begitu Bila beritahu saya, adik akan cuba tahan sedaya upaya,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

"Adik" adalah panggilan Eddie kepada anaknya itu.

Ada alasan kukuh

Kata Eddie, Bila memang terkenal kerana sifat pendiam dan pemalunya tetapi dia berjaya mengejutkan kedua ibu bapanya apabila tersenarai ke peringkat kedua sesi Uji Bakat Insta AF2015.

Menurut Eddie, dia amat tidak menyangka melihat Bila begitu ceria dan berani berdepan dengan orang ramai apabila menjadi pelajar AF.

“Sedangkan kalau pergi majlis kenduri kahwin saudara-mara dan ada set karaoke, dia tidak akan menyanyi kerana perasaan malunya amat tebal.

“Sebab itu apabila melihat persembahannya di pentas AF, saya sering bertanyakan kepada isteri: Betulkah itu anak kita?” katanya.

Sebenarnya, rezeki Bila dalam AF bagaikan sudah tersurat. Dia tidak menghadiri sesi uji bakat di lokasi yang ditetapkan, sebaliknya dia hanya menghantar video nyanyian ke Instagram rasmi AF2015.

Daripada situ panel penilai menerima Bila untuk menjalani ujian dan diterima sebagai salah seorang penuntut AF kali ini.

Menurut Eddie, anak perempuannya itu mempunyai alasan kukuh yang mendorongnya untuk sampai ke tahap sekarang.

“Saya ada bertanyakan kepada Bila - mengapa dia begitu. Jawab Bila, ia adalah usahanya untuk mengubah diri sendiri.

“Dia tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung dan nak cuba pergi sejauh yang mungkin,” katanya.

Pada masa sama Eddie berkata, dia tidak menaruh harapan terlalu tinggi buat anaknya itu, namun mengharapkan orang ramai mengukur kemampuan Bila menerusi vokal dan bukan penampilan.

“Kalau menang, bagus. Kalau tidak berjaya, pun alhamdulillah. Dia dah masuk dalam kelompok empat pelajar terbaik dalam tahun ini. Itu adalah pencapaian sangat baik untuk Bila.

“Saya berharap kita memandang kepada bakat dan bukan rupa atau bentuk badan," katanya.

Eddie juga mengakui sikap peminat seni di negara ini sudah berubah dan terbuka.

"Mentaliti orang Malaysia sudah berubah. Kini mereka lebih terbuka dan boleh terima individu berbadan besar sebagai penyanyi,” katanya.

Lihat Komen
ADS