Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Victoria bukan filem biasa
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 11:53 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Apakah istimewanya filem Victoria di tangan Sebastian Schipper dan Sturla Brandth Grovlen?

Mereka berjaya menghasilkan filem melalui cara pernah dicuba Alfred Hitchcock dalam Rope dan Alejandro G Inarritu melalui Birdman .

Victoria adalah filem sepanjang dua jam 18 minit yang dirakam tanpa sebarang suntingan, potongan atau muslihat.

Filem thriller itu mengisahkan seorang wanita muda dari Madrid, Victoria (Laia Coasta) yang ditakdirkan bermalam di Berlin. Dia kemudian bertemu sekumpulan pemuda tempatan di sebuah kelab.

Pada bahagian pertama filem itu penonton dibawa mengikuti aktiviti mereka berpesta di jalanan dan merokok di bumbung bangunan.

Ketegangan bermula apabila salah seorang pemuda terbabit, Sonne (Frederick Lau) meminta Victoria membantu mereka melakukan tugas misteri.

Selepas dipersetujui, barulah Victoria tahu bahawa dia adalah sebahagian daripada rancangan merompak bank - jenayah yang tidak dirancang pemuda terbabit dari awal.

Itulah yang menjadikan Victoria begitu menarik.

Filem itu yang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto bulan lalu menjadi perhatian ramai kerana penerbitannya dirancang dibuat hanya untuk rakaman tunggal. Tiada lakonan semula atau pemotongan dibuat jika berlaku sebarang kesilapan.

Sifat Victoria itu menjadikan filem berkenaan begitu bersahaja tetapi meyakinkan dan merangsang rasa cemas penonton.

Berikut adalah sesi temubual bersama Schipper.

Mula-mula, bagaimana anda melakukannya?

Kami cuma buat apa yang patut. Saya mendapat idea ini secara spontan dan apabila diceritakan kepada kru produksi, mereka menganggap ia mustahil.

Adakah ia bermula daripada idea yang "gila-gila" tetapi perlahan-lahan menjadi tidak mustahil?

Memang ia bermula daripada ilham yang tidak masuk akal. Filem ini tidak mahal dan saya menghasilkannya sendiri. Idea datang secara tiba-tiba. Misalnya, anda melihat seekor kuda liar dan timbul keinginan untuk anda menangkapnya. Akhirnya anda dapat menangkap kuda itu dan apabila memilikinya, anda melatih haiwan itu bersungguh-sungguh.

Menghasilkan filem adalah detik ketika anda dapat menguasai kuda berkenaan dan ketika melatihnya, anda bagaikan memproses filem. Ketika anda berjaya menguasai kuda itu, anda memiliki sumber kewangan untuk menyiapkan filem berkenaan.

Justeru idea membuat penggambaran filem tanpa sebarang suntingan atau pembaikan sangat mencabar dan pada masa sama ada "kegilaan" padanya.

Kesedaran terhadap realiti itu membawa kami semua melalui pelbagai kesukaran menyiapkan Victoria.

Berapa lama anda menyiapkan Victoria?

Jika dikira dari idea asas, dua tahun. Namun sejujurnya ia mungkin sekadar setahun. Tempoh pada tahun pertama digunakan untuk merancang menghasilkan Victoria dan dari detik mengumpul dana sehingga siap penggambaran, setahuun lagi.

Pernah patah semangat?

Tidak. Cuma sesekali saya rasa 'kuda' itu terlalu liar. Ia seekor kuda yang tidak boleh anda tunggang. Sering kali saya terfikir - inilah sebabnya mengapa orang tidak mahu menghasilkan filem begini. Semakin lama kami memproses Victoria, semakin banyak ia mengajar saya bahawa ini adalah mustahil.

Penyumbang dana pula menjangkakan saya akan mengalah dan akhirnya membuat filem seperti filem lain. Dan pada banyak ketika saya berasakan menyiapkan Victoria adalah sama seperti merompak bank. Ia idea yang gila tetapi anda teruja untuk melakukannya.

Saya juga terfikir orang merompak bank bukan kerana wang semata-mata tetapi terdorong untuk melakukannya kerana teruja melakukan secara spontan.

How Victoria Sebastian Schipper pulled off a bank heist drama in one take http://t.co/SmE5ubG31i pic.twitter.com/yTCvpB8OjO

— VANITY FAIR (@VanityFair) October 9, 2015

Berapa banyak potongan ( cut ) untuk menyiapkan Victoria jika menggunakan kaedah biasa?

Entah, mungkin tujuh, mungkin 300.

Berapa kali anda membuat penggambaran filem ini?

Tiga kali. Ia berjaya untuk ketiga-tiga kali tetapi secara teknikal hasil penggambaran yang kali ketiga diambil untuk dijadikan filem ini.

Apa masalah dengan dua lagi itu?

Rakaman pertama, tiada sesiapa berani mengambil risiko untuk merosakkan filem ini. Semua orang terlalu baik dan berhati-hati walaupun hati saya mahu mereka berlakon tanpa rasa takut atau teragak-agak. Langsung tidak menghiburkan.

Kemudian mereka mencipta kekecohan serius dan bermacam-macam peraturan dilanggar. Ia menjadi terlalu tidak terkawal. Ada tempoh 10 hari antara penggambaran kali pertama dengan kedua, tetapi tempoh menyiapkan yang ketiga dengan kedua, kami cuma ada 48 jam.

Saya fikir mungkin kami sudah gagal. Ketika tekanan semakin memuncak kami merakamkan filem ini untuk kali ketiga. Perasaan itu wujud sehingga babak terakhir.

Sebelum penggambaran kali ketiga bermula, saya memanggil semua pelakon dan meminta mereka melupakan watak berkenaan. Saya mahu mereka tidak berpura-pura kerana berlakon. Buat seadanya, rompak bank itu. Akhirnya mereka berjaya walaupun ketika itu kami sangat hampir kepada 'bencana'.

Maksud anda?

Semua orang sedar apa yang kami cuba lakukan adalah sesuatu yang mustahil. Namun kini saya menikmati setiap detik yang berlaku dalam filem itu. Jika anda melihat Victoria memainkan lagi Mephisto Waltz di piano misalnya, anda tahu ia sebenarnya tidak boleh dilakukan seperti itu.

Ada orang akan bertanya mengapa Victoria memainkan lagu itu begitu. Maka saya jawab, memanglah. Begitulah Victoria kerana filem ini memang begitu. Saya minta dia bermain piano dengan emosi. Saya tidak meminta dia melakukan kesilapan tetapi itulah Mephisto Waltz di tangan Victoria.

Semakin lama kami mengusahakan filem ini, semakin jauh ke dalam Laia menjadi Victoria.

Lihat Komen
ADS