Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kapal van der Wijck 'karam' bagai cinta tak sampai

Naskhah Tenggelamnya Kapal van der Wijck sekali lagi ditawarkan untuk tontonan umum dan kali ini melalui teater di Istana Budaya.

Berlatarbelakangkan 1930-an, pengarah Azhar Zainal mengajak penonton menelusuri kisah romantik dan konflik yang tercetus di kalangan masyarakat Minangkabau lama melalui pemerhatian ulama berjiwa seni, Hamka.

Sesuai dengan kebanyakan tema karya Hamka, naskhah yang dibawa ke pentas kali ini sekali lagi mengkritik keras adat Minangkabau yang kuat mengagungkan pangkat, suku dan darjat.

Namun, di sebalik niat suci itu Tenggelamnya Kapal van der Wijck di tangan Azhar nampak seolah-olah mengalami nasib seperti cinta antara Zainuddin (lakonan Amar Baharin) dan Hayati (Nabila Huda) juga - tidak kesampaian.

Di atas pentas cerita digarap gagal merangsangkan ghairah penonton seperti sepatutnya.

Biarpun ini kali kedua Amar ke pentas teater selepas Akulah pada 2013, watak yang diserahkan kepadanya gagal meninggalkan kesan emosi kepada penonton, terutama akibat gangguan pada lafaz dialog yang diucapkannya.

Macam kurang serasi

Amar mungkin masih memerlukan masa untuk melatih dirinya melontarkan dialog dengan berkesan kerana ada kalanya patah kata-kata diucapkan tanpa penggunaan intonasi yang sepatutnya, mendatar atau kadang-kadang laju hingga ada perkataan yang kurang jelas didengari.

Pada ketika tertentu pelakon juga dikesan tersasul melafazkan dialog masing-masing.

Sudah tentu lakonan Amar yang kurang mantap memberikan kesan terhadap Nabila, sehingga antara mereka berdua dilihat bagai tiada keserasian untuk mewarnai watak Zainuddin dan Hayati.

Amyra Rosli (Khadijah), Mohd Syarul Ridzwan (Muluk) dan Khairul Shafek Ibrahim dilihat lebih berusaha menjiwai watak mereka malah mampu menyerikan naskhah ini.

Tanpa adanya pelakon pembantu seperti Liza Abdullah (Bonda), Rasdi Daud (Datuk Penghulu Garang), Bohari Ibrahim (Datuk Garang), yang dilihat membayangi watak pemain utama, sudah pasti naskhah yang dibawa ke pentas kali ini tenggelam begitu saja.

Kemampuan Rasdi dan Bohari dalam dunia teater tidak harus dinafikan lagi. Kedua-dua pelakon itu pernah terbabit dengan banyak teater malah kali ini mereka boleh dianggap sebagai penyelamat.

Pengalaman mampu menyerlahkan bakat seseorang. Tanpa pengalaman seorang pelakon tidak mampu memberikan persembahan berkesan. Mungkin itulah yang masih diperlukan oleh barisan pelakon muda yang diberi peluang menjayakan teater kali ini.

Dialog juga memainkan peranan penting untuk menghiasi lakonan.Justeru skrip yang ditulis Azhar dirasakan meleret dan babak penting yang sepatutnya menjadi titik penting dalam cerita tidak ditonjolkan dengan baik.

Lebih realistik

Babak itu ialah ketika Zainuddin yang miskin dan tidak disukai sukunya kemudian ditakdirkan menjadi penulis masyhur.

Namun bukanlah semuanya negatif pada Tenggelamnya Kapal van der Wijck ini. Tetap ada aspek lain yang boleh dipuji, seperti pergerakan atau aksi pelakon diperlahankan ketika Zainuddin membaca surat adalah salah satu daripada contohnya.

Gambar latar belakang yang dipancarkan yang menggunakan projektor juga boleh dipuji walaupun ia sebenarnya akan lebih realistik jika menggunakan gambar sebenar.

Satu lagi aspek yang menawan ialah set kostum yang dipilih, terutama ketika perkahwinan antara Hayati dan Aziz yang jelas memaparkan ketebalan budaya Minangkabau.

Di babak-babak akhir, monolog yang digunakan sebenarnya boleh diterima, cuma akan menjadi lebih mantap dan menyentuh emosi penonton jika diperkukuhkan lagi. Misalnya, tidak dihadkan dengan aksi pelakon bergulingan di atas dek kapal.

Tenggelamnya Kapal van der Wijck dipentaskan setiap malam di Istana Budaya sehingga 18 Oktober ini.

Lihat Komen
ADS