Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Beberapa minggu lalu, kita diuar-uarkan dengan tiga filem tempatan yang 'berbeza' intinya berbanding apa yang telah ada sejak berzaman dulu.

Ia sebenarnya bukan asing, malah telah pun ada cubaan membuat pembaharuan sejak dulu. Percubaan demi percubaan dilakukan, ada yang tepat disambut penonton, tidak kurang juga yang dihempas ke bawah.

Cuma kemunculan ketiga-tiga filem itu - Bravo 5, Polis Evo dan Kapsul datang tepat pada masanya ketika udara Malaysia bukan sahaja dilanda jerebu yang kronik, malah 'jerebu' oleh lambakan filem bertajuk yang sangat melemaskan.

Kedatangan ketiga-tiga filem ini berjaya membangkitkan selera penggemar filem, baik tempatan dan antarabangsa di Malaysia. Ketiga-tiga filem itu bagai menyambung tali yang dihulurkan oleh filem Terbaik Dari Langit, The Journey, Kil, Sam dan lain-lain.

Saya teringat pesanan sahabat baik saya di Facebook yang merupakan pengkritik filem tersohor. Dia meminta supaya saya terus menyokong filem tempatan dengan menyaksikan ketiga-tiga filem itu di pawagam.

Saya agak beliau juga teruja dengan kehadiran filem-filem itu. Terasa ingin saja memberi komen di status beliau, tetapi saya batalkan niat tersebut kerana tidak mahu mengganggu aliran keterujaan yang sedang beliau rasai.

Tidak kecewa

Tetapi saya ingin membalasnya di sini - kita bukan tidak mahu menyokong filem tempatan. Sebagai penggemar filem, memang perlu kita menyokong filem tempatan tetapi persoalannya, adakah perlu kita menyokong secara membuta tuli, atau menyokong kualiti dan kepuasan selepas menonton?

Penonton boleh sahaja pergi menonton filem-filem tempatan, tetapi pembikin filem harus memastikan produk mereka dapat memberi imbalan setara dengan masa dan duit yang dikeluarkan penonton.

Jangan mudah menempelak penonton gemar memilih filem di pawagam. Sebagai pengguna, penonton ada hak untuk memastikan duit dan masa mereka tidak sia-sia dengan menonton filem yang tidak menjanjikan apa-apa kecuali perasaan tidak puas hati selepas menonton.

Malangnya, saya tidak sempat menonton ketiga-tiga filem tersebut kerana masa yang terhad. Saya hanya berpeluang untuk memilih salah satu dari ketiga-tiga filem baru itu. Dan ia adalah satu keputusan yang sukar.

Akhirnya setelah dipertimbangkan, saya memilih Kapsul. Alhamdulillah, keputusan saya tidak mengecewakan. Saya memilih Kapsul kerana dua sebab: Pertama kerana adanya unsur futuristik, dan kedua kerana ada Faizal Hussein. Sudah lama tidak melihat Faizal berlakon.

Apa bagusnya Kapsul ? Mengetepikan sementara ideologi yang cuba disuap Kapsul, saya beranggapan filem itu wajar ditonton semua, terutama pemimpin Melayu. Kapsul sebenarnya mengejek kerana kita sedang dilekakan dengan perkara remeh-temeh dan membuat perkara sia-sia, bertelagah pada isu yang sangat kuman dan mengambil mudah dalam semua perkara baik jati diri, pekerjaan, keluarga, agama, pelajaran dan tanggungjawab.

Kita boleh lihat di sekeliling betapa kita telah tersasar jauh. Melayu kini bagaikan Sisyphus yang telah dihukum oleh Zeus untuk menolak seketul batu besar dari bawah bukit sehingga ke puncak, kemudian batu itu dilepas ke bawah semula dan diulangi tanpa sempadan masa.

Metafora kerja sia-sia

Sedang bangsa lain sibuk memantapkan diri dan negara, kita masih selesa untuk menyalahkan bangsa lain, dan pemimpin kita masih selesa untuk mengeluarkan penyataan bodoh daripada memacu bangsa dan negara ke arah kegemilangan, bersikap telus dan merendah diri.

Kapsul membawa empat cerita di dalamnya. Cerita pertama berkisar pada masa kini, dengan mempersembahkan kepada penonton, empat Melayu dengan tiga daripadanya berpangkat besar dan seorangnya lagi pencuri profesional. Mereka mempunyai hobi berjudi bagi mengisi masa lapang.

Pertaruhan yang ditunjukkan kepada penonton adalah metofora kepada pekerjaan sia-sia yang seringkali kita lakukan hari ini.

Cerita kedua, di zaman penjajahan Jepun. Di sini, penonton disuntik kembali dengan semangat juang dalam dos yang tinggi. Semangat untuk melepaskan kepala sendiri daripada dipijak penjajah.

Di sebalik penceritaan dan adunan watak yang di bawa oleh Faizal tidak diserlahkan secara maksimum, tetapi maksud yang cuba dibawa itu sampai kepada penonton.

Cerita ketiga, penonton dibawa menjelajah ke zaman Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Di sini semangat untuk merdeka cuba disemarakkan oleh pengarah tetapi malangnya dirasakan kurang menjadi.

Begitu juga pada cerita keempat. Sedulang semangat untuk bangkit bersaing yang dihidangkan agak tawar. Paling berjaya daripada Kapsul adalah elemen humor.

Datang dari mana?

Lakonan Faizal sangat baik dan menghiburkan dalam filem ini. Cuma kesedihan dan keperitan yang cuba Faizal lakonkan kurang menjadi.

Satu perkara yang saya tidak bersetuju dalam filem ini ialah, betapa mudahnya kapsul itu dicari dan dicuri oleh Faizal, sedangkan penonton telah diberitahu kapsul tersebut sangat berharga dan tiada siapa pun tahu dimana ia disimpan.

Ada yang mengatakan filem ini tersasar jauh daripada standard perfileman paling asas, namun percubaan yang berani dan kelainan ini harus diberi perhatian.

Walaupun ada kelemahan seperti kesan grafik, jalan cerita tidak rinci, peningkatan watak yang kurang berkesan dan pengabaian pembetulan kepada kesilapan remeh, filem ini masih wajar untuk ditonton lebih-lebih lagi jika kamu adalah pemimpin atau menteri di negara ini.

Kerana sebenarnya yang banyak lupa pun, adalah kamu juga. Semoga Kapsul, Polis Evo, Bravo 5, Terbaik Dari Langit, The Journey dan filem lain yang setaraf menjadi dorongan untuk kita menghasilkan lebih banyak filem pelbagai genre daripada terus menguliti tema cinta yang semakin pudar.

Sampai hari ini saya masih hairan. Jika (kononnya) kapsul itu dicipta oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dari mana datangnya teknologi tersebut?

Dan jika Dr Mahathir mampu untuk mencipta kapsul yang sangat canggih itu - ya lah, sehingga mampu membuat Faizal merentasi empat masa - kenapa teknologi itu tidak digunakan untuk mencipta telefon bimbit pintar buatan Malaysia?

Apa pun, ini cuma filem saja, kan?

Filem Kapsul bersama Tun Mahathir Mohamad. Sebuah filem yang penuh dengan sejarah dan iktibar serta hiburan keluarga. Saksikan di pawagam 17.9.2015. Khamis ini...... www.filemkapsul.com #filemkapsul

Posted by Kapsul Wawasan Bangsaku on Sunday, September 13, 2015


MUHD IQBAL seorang mekanik kapal terbang dan pakar bateri pesawat udara yang menikmati manga, filem dan sastera. Kini memburu 'hujan emas' di Doha.

Lihat Komen
ADS