Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penggiat perfileman mengambil sikap berhati-hati dengan kemungkinan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dijangka ditandatangani negara ini pada tahun depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) Datuk Abdul Rahim Awang berkata, sekiranya perjanjian membabitkan AS itu dimeterai, ia memang mendatangkan kegusaran di kalangan pihak yang terbabit dalam penghasilan filem.

Menurut Abdul Rahim, isu TPPA itu turut mengingatkannya terhadap kenyataan pernah dikeluarkan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ya, hal itu amat membimbangkan kami.

“Semalam saya membaca kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir yang mengungkit tentang kedatangan British ke Malaya,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Isu yang cuba disampaikan beliau ialah, risiko tidak langsung TPPA yang menyebabkan ruang untuk campur tangan pihak asing terbuka luas.

Draf perjanjian TPPA akan dibahaskan di parlimen sebelum mungkin diluluskan pada tahun depan.

Kekangan bahasa

Ia akan turut ditandantangani bersama 10 negara lain membabitkan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Melalui pelaksanaan perjanjian itu, pelbagai kesan jangka pendek dan panjang dijangka dirasai rakyat negara ini, termasuk membabitkan harga ubat-ubatan, isu hak cipta dan pertanian.

Kata Abdul Rahim, seandainya perjanjian TPPA diterima, ia memang akan memberi masalah terhadap aktiviti perfileman di negara ini kerana ia sama seperti industri lain.

“Lambakan filem tanpa kawalan akan berlaku. Sekarang kita ada peraturan wajib tayang, tetapi siapa tahu sekiranya satu hari nanti ada campur tangan dari luar dan syarat itu tak boleh dipraktikkan lagi,” katanya.

Abdul Rahim turut memberikan contoh lain.

Menurutnya, TPPA juga membebankan bumiputera walaupun dalam perlembagaan ia sudah termaktub tidak boleh dicabuli.

Walaupun begitu, Abdul Rahim mengakui kebimbangan itu tidak boleh berterusan untuk secara mutlak mengatakan TPPA tidak membawa kesan baik sama sekali.

Namun, katanya, dalam sektor perfileman ia dianggap masih kabur.

Memberi contoh terdekat di negara jiran, Abdul Rahim berkata, di Indonesia sendiri produksi Malaysia sukar menembusi pasaran di sana.

“Filem kita sukar untuk dibawa masuk ke Indonesia hingga sekarang kerana kawalan bahasa yang ketat.

“Kalau ada TPPA, lagi sukar kita nak pasarkan filem sampai ke antarabangsa.

“Nak pasarkan dalam negara pun tiada sambutan, bagaimana nak pasarkan ke serata dunia?” ujarnya.

Lihat Komen
ADS